Halaman

Khamis, Februari 03, 2011

AMAL sedekah yang gugur ke bumi

SEORANG rakan mengkhabarkan adanya pemberi wakaf surau pada masa dahulu yang ‘terkilan’ (keciwa?) kerana bangunan asal daripada wakafnya telah diruntuhkan untuk dibina sebuah surau baru yang lebih besar.  Tentunya si pewakaf tadi menganggap yang pahala wakafnya terhenti apabila rumah Allah itu telah tiada.


Lama sebelum ini saya membaca dalam ruangan facebook mengenai ahli keluarga yang telah mewakafkan sebidang tanah sebagai tapak surau.  Sebagai ahli waris, dia masih merasa ada hak untuk menentukan apakah yang sepatutnya dilakukan oleh para pentadbir surau berkenaan.  Antara ayat yang membayangkan pemikirannya ialah dia tidak reda jika pentadbir surau melakukan hal-hal yang tidak cocok dengan pendiriannya sebagai salah seorang waris pewakaf berkenaan.

Kembalilah kepada erti sedekah atau wakaf.  Seseorang yang telah memberikan sebagian hartanya untuk seseorang atau organisasi demi kelangsungan pihak penerima, mestilah ikhlas kerana Allah.  Guru saya mencadangkan erti ikhlas dalam menderma seumpama membuang air besar, yang setelah melepaskannya (membuang najis) tidak lagi dikenang-kenang atau diungkit-ungkit pada masa akan datang.  Mengenang semula, membangkit-bangkitkan untuk merasai sumbangannya dan memberi tunjuk ajar pula kepada pihak penerima, lebih diertikan sebagai pemberi yang tidak ikhlas.  Pemberi itu masih ada kepentingan, seolah-olah dia pemilik saham yang ada pengaruh menentukan tuju hala harta yang disumbangkannya.

Apa akan jadi jika pemberi masih merasa ada kepentingan terhadap harta yang telah diserahkan atas nama sedekah, sumbangan ikhlas atau wakaf?  Jawaban terbaik dan analogi mudah telah dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran.

Ayat 264 surah al-Baqarah bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu merosak sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan penerimanya), seperti orang yang menginfakkan hartanya kerna pamer kepada manusia dan tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.  Perumpamaannya seperti batu yang licin yang di atasnya ada debu, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, maka tinggallah batu itu licin semula.  Mereka tidak memperoleh sesuatu apa pun dari apa yang mereka kerjakan.  Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang ingkar.”

Cabaran yang besar: Mungkin saja pada saat dia mewakafkan harta, dia benar-benar dalam keikhlasan, namun entah setelah berapa puluh tahun ada emosi yang terganggu sehingga sedikit sebanyak disebut-sebut semula pemberiannya dahulu.  Oh, ruginya peribadi ini di sisi Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan