Halaman

Jumaat, Oktober 08, 2010

AYAT 79 al-Wa'qiah haramkan sentuh al-Qur'an tanpa wuduk?

MENJADI kefahaman umum dan luas dalam kalangan umat Islam Nusantara menghukum haram jika dalam keadaan hadas besar atau kecil menyentuh al-Quran.  Dalam majalah SOLUSI isu 24 juga seorang ustaz menjawab soalan pembaca berkaitan hal ini.  Panel penjawab soalan itu telah memberikan pendapat-pendapat ulama mengenai pangharamannya. Antara petikan dalam kolumnya ialah pendapat ulama yang disertakan dalil al-Quran ayat 79 surah al-Wa’qiah sebagai sandaran utama pengharaman daripada Allah.  Ayat itu bermaksud: Tidak boleh menyentuhnya kecuali orang-orang yang suci.  Maksud ayat itu saya tulis tepat berdasarkan yang dicatat dalam majalah Solusi muka surat 43.

Ayat yang sama dalam Tafsir al-Azhar oleh Hamka ialah: Tidak dapat menyentuhnya kecuali orang-orang yang telah disucikan.

Ayat yang sama dalam Al-Quran dan Terjemahannya (Bahasa Indonesia) hadiah kepada semua jemaah haji tahun 2001 daripada Pelayan kedua Tanah Suci, Raja Fahd Ibd Abd al Aziz al Saudi: Tidak menyentuhnya kecuali hamba-hamba yang disucikan.


Benarkah maksud ayat berkenaan ialah Allah tidak memberi izin al-Quran disentuh (dipegang / dibawa ke mana-mana) kecuali seseorang itu suci daripada hadas. Erti mudah, mesti berwuduk barulah halal menyentuh al-Quran.

Terjemahan dalam majalah Solusi nampaknya seperti tepat untuk memberi faham bahawa Allah melarang (haramkan) al-Quran disentuh oleh orang tidak ada wuduk.  Tetapi terjemahan yang biasa ditemui dalam mana-mana edisi terjemahan Bahasa Melayu / Indonesia ialah frasa ayat orang-orang atau hamba-hamba yang DISUCIKAN. Perkataan disucikan ialah terjemahan daripada kalimah muthaharuun.  Jika diertikan orang berwuduk, tentulah terjemahannya ialah orang-orang yang menyucikan dirinya, iaitu kata kerja transitif. Manusia melakukannya sendiri.  Kalau erti disucikan, itu ialah kata kerja intransitive atau manusia diperlakukan, manusia disucikan (diwudukkan oleh siapa?)  Mungkin dianggap manusia muslim sudah suci zahir batin kerna beriman dengan Allah, maka orang kafir dilarang menyentuh al-Quran.  Jika itu pilihan erti sebenar, tidak pula boleh dikaitkan dengan dalil haram menyentuh al-Quran tanpa wuduk.

Dalam tafsir al-Azhar, Hamka ada mencatat mengenai sebab ayat 79 (dan ayat-ayat sebelumnya) diturunkan.  Beliau mencatat daripada Ibnu Zaid bahawa kaum kafir di Makkah menuduh al-Quran diturunkan kepada syaitan. Maka turunlah ayat ini (bermula ayat 75 hingga 79).  Kita lihat maksudnya:  Aku bersumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang. Sesungguhnya sumpah itu adalah sumpah yang sangat besar kalau kamu mengetahui.  Sesungguhnya al-Quran itu adalah bacaan yang sangat mulia.  Pada kitab yang terpelihara (di Lauhul Mahfuz).  Tidak menyentuhnya kecuali hamba-hamba yang disucikan.

Hamka mengatakan sumpah Allah sangat besar kerana mempertahankan kesucian al-Quran daripada tuduhan sudah disentuh oleh syaitan.  Sumpah itu dengan edaran bintang (selalunya bintang dijadikan petunjuk perjalanan malam/gelap).  Allah menyatakan al-Quran terjaga rapi (di Lauhul Mahfuz) dan hanya diberi hak kepada malaikat untuk menyentuhnya. Daripada Jibril, al-Quran dibawakan kepada Rasulullah. Malaikat adalah hamba-hamba Allah yang disucikan Allah, taat setiap detik.

Oleh itu ayat 79 patut dibaca bersama ayat-ayat sebelumnya untuk diketahui maksud sebenar.  Daripada itu tidaklah tepat ayat 79 dijadikan dalil haramnya orang dalam hadas memegang al-Quran. 

Wacana ini hanya membincangkan pemilihan ayat 79 surah al-Wa’qiah sebagai dalil berwuduk.  Mengenai adanya hadis-hadis lain sebagai jalan menguatkan hukum itu, tidak bermaksud dibincangkan di sini.  Isunya ialah pemilihan ayat alquran yang tidak tepat untuk sesuatu hujahan.
Wallahu aklam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan