Halaman

Isnin, September 13, 2010

BUKU: ALlah Antara Tasawuf dengan Akidah

PERTANYAAN: Adakah anda sembahyang menghadap ka’abah bermakna Allah di Ka’abah?  Jika jawabannya Tidak, maka di manakah Allah? Abdulfatah Haron Ibrahim penulis buku ALlah Antara Tasawuf Dengan Akidah mendedahkan tidak banyak yang dapat menjawab dengan betul pertanyaan itu.  Malah, menurutnya lagi berdasarkan kajian, ramai juga yang tidak dapat membuat keputusan untuk menjawab pertanyaan itu.


Menurut Abdulfatah Haron lagi, antara punca kegagalan umat Islam menjawab di manakah Allah itu kerana kegagalan aliran Asya’irah menyediakan jawaban dan pengaruh aliran tasawuf yang menyediakan jawaban terseleweng daripada al-Quran dan Sunnah.  Sebagai makluman, manhaj utama muslim Malaysia mengenali akidah ialah Asya’irah.

Buku Allah Antara Tasawuf Dengan Akidah setebal 299 muka surat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2008) mendedahkan perbedaan yang ketara antara akidah yang benar dengan pemahaman tasawuf wahdatul wujud.

Perkara yang mudah didedahkan dalam buku ini ialah:

Berdasarkan al-Quran dan Sunnah, akidah muslim ialah membedakan antara zat Allah, sifat-sifat-Nya dan perbuatan-Nya.   Aliran tasawuf wahdatul wujud pula tidak memisahkan antara zat Allah dengan sifat-sifat-Nya.  Wahdatul wujud ini menyamai aliran Muktazilah yang menyatakan zat dan sifat Allah bersatu, sebab itu majoriti mereka yang beraliran Muktazilah akan menjawab “Allah ada di mana-mana”. Jawaban ini sama seperti ahli tasawuf wahdatul wujud.  Kaum tasawuf mengatakan Allah di mana-mana sebab mereka menyamakan sifat Allah yang meliputi segala-salanya dengan zat-Nya.  Maka jangan kaget apabila mereka akan mengatakan Allah itu ada dalam dirinya.

Berdasarkan al-Quran dan Sunnah, matlamat muslim ialah mendapat keredaan Allah.  Para sahabat nabi dan golongan salaf (generasi 200 tahun setelah zaman Nabi Muhammad) atau salafiah (golongan yang hidup selepas salaf yang mengikuti cara generasi salaf) tidak menyamakan antara Allah dan makhluknya.  Namun pengajaran aliran tasawuf wahdatul wujud berpegang bahawa matlamat muslim ialah fana atau melebur dalam Allah.  Fahaman ini dinamakan hulul atau penyatuan Allah bersama manusia sebagaimana fahaman akidah Kristian, Allah itu Jesus.  Dalam Hindu juga, akhir roh penganut Hindu ialah bersatu dengan Tuhan, yang diertikan sebagai puncak nirvana.

Kaedah penulisan Abdulfatah Haron mungkin membosankan pembaca, tetapi itulah cara beliau hendak menjelaskan perkara yang rumit dalam aliran tasawuf.  Penulis ini terpaksa membuat pengulangan terhadap analogi antara zat dengan sifat Allah dari sudut manhaj salaf, Asya’irah, muktazilah dan tasawuf wahdatul wujud. 

Walaupun penulisnya ahli akademik dan pengkaji profesional, sebagai seorang muslim beliau tidak dapat mengelak daripada membuat kesimpulan manhaj yang betul atau sah ialah salaf dan memuji salafiah dalam memahami akidah.  Oleh kerana tujuan buku ini ditulis untuk mendedahkan temberang tasawuf wahdatul wujud (Martabat Tujuh), maka hujah-hujah dalam buku ini jelas menyalahkan ajaran sesat wahdatul wujud ini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan