Halaman

Selasa, Ogos 03, 2010

MOTIVASI apa lagi untuk belajar?

RAKAN-rakan guru mengeluh murid-murid kurang berminat untuk belajar.  Yang terjadi, belajar dengan rasa terpaksa dan tidak bersungguh-sungguh. Nasihat, ceramah motivasi, kursus kesedaran, amaran dan apa lagi? Sudah dilaksanakan.  Kesannya begitu jugalah, tidak banyak berubah.

Dahulu anak-anak desa mudah diberi motivasi perbandingan antara berjaya dalam pelajaran atau gagal.  Sebagai anak desa, saya merasa payahnya kehidupan keluarga.  Sampai umur saya 15 tahun rumah depan masih tidak berdinding. Sejak umur tujuh tahun saya sudah diasuh berbasikal sejauh 6-7 kilometer ke sawah padi, sama ada balik petang atau menginap di dangau. Sampai umur saya  20 tahun kerja bersawah masih secara tradisi: membuat tapak semaian menggunakan lumpur, menanam satu persatu dan memikul padi dalam guni dari sawah ke tepi jalan.  Jentera yang ada hanya pembajak jenis Kubota. Sewanya mahal, maka guna tajak sajalah untuk menghapuskan rumput di sawah!  Di desa, tanaman kelapa. Upah RM3.00 mengupas 100 biji kelapa dan membawanya sampai ke kedai cina.  Kelapa yang dikupas dari kebun yang jauh jalan memaksa saya memikulnya hampir 200 meter. Tiada jalan tar, jalan tanah liat saja. Tiada motorsikal, gunakan basikal tua!  Kalau bulan puasa terasalah penatnya, nafas termengah-mengah. Dapat RM10.00 pun perit.


Merasai jerih payah sebagai anak desa,  guru memberi tahu dengan pelajaran tinggi, kelak tidak kerja di desa, tidak membanting tulang empat kerat yang upahnya kecil. Kelak kalau ada digri pendapatannya jauh lebih tinggi.  Dahulu saya melihat perbandingan dengan mudah:  Kerja guru tidak berpeluh-peluh dan nafas separuh mati, namun  pendapatan tinggi. Kerja desa pula sangat susah dan upahnya kecil.  Itulah agaknya orang desa miskin dan orang bandar kaya.  Kerja analogi itu mudah masuk dalam fikiran saya untuk lebih tekun belajar, mahu dapat kerja yang upahnya lebih tinggi.

Sekarang, sosio ekonomi dan sosial penduduk di desa dan bandar tidak lagi boleh dibanding seperti antara hitam dan putih. Di bandar pun ada yang miskin melarat sama seperti di desa. Di desa pun ada yang kaya seperti di bandar. Di mana-mana terdapat bukti mereka yang tidak ada diploma atau digri boleh menikmati kekayaan asalkan rajin bekerja dan berpeluang.  Jiran desa saya yang hanya ada sijil SPM, asalnya pekerja kilang biasa, kini  sudah hampir menjadi jutawan!

Situasi semasa yang jauh dari zaman saya kecil telah menyusahkan guru-guru memberi rangsangan untuk murid-muridnya cemerlang dalam akademik sampai masuk universiti. Ibu bapa yang kerap bercakap mengenai lepasan universiti yang tidak ada kerja setarafnya, mesti mempengaruhi fikiran anak-anak.  Pengalaman saya sebagai anak, tutur kata orang tua walaupun hanya basi-basi sangat member kesan kepada pemikiran anak-anak.  Jadi, anak-anak sekarang pun ada yang sudah membuat kesimpulan: belajar sampai tinggi pun kerja apa nak dibuat?

Ibu bapalah yang menjadi motivasi utama kemajuan pendidikan anak-anak.  Ibu bapa yang telah berpendidikan tinggi sekalipun memberi kehidupan mewah dan selesa kepada anak-anak masih mampu mendorong anak-anak bekerja keras dalam pendidikan.  Logiknya anak-anak mereka yang biasa selesa dan tahu akan mewarisi harta pusaka tidak akan bersusah payah seperti ayah dan ibunya dahulu.  Sebaliknya ibu bapa yang kurang berpendidikan lebih banyak membiarkan nasib pendidikan anak-anak hanya diasuh di sekolah-sekolah.  Berjaya atau gagal, betul-betul diamanahkan kepada sekolah.

Kesimpulannya, keberkesanan jaya atau gagal pendidikan anak-anak bermula dari rumah dan disiplin ibu bapanya.  Banyak juga orang desa yang tahu pentingnya pendidikan dan mendisiplinkan anak-anak untuk maju belajar, akhirnya anak-anaknya mendapat kejayaan pelajaran.  Cara mendisiplinkan anak-anak belajar tentu berbeda berdasarkan cara hidup dan pengalaman ibu bapa, yang penting ialah anak-anak memahami tuju arah kehidupan sejak kecil lagi.

Akhirnya, pekerjaan bukanlah sekadar makan gaji, malah lebih luas daripada itu.  Jika ibu bapa hanya berfikir pekerjaan anak-anaknya kelak ialah makan gaji, dari situlah mereka mula keciwa dengan masa depan anak-anaknya.  Kekeciwaan itu ditandai dengan sikap tidak peduli terhadap pendidikan anak-anak terutama apabila di sekolah menengah.  Anak-anak yang diabaikan oleh ibu bapanya, memilih jalan pemikiran sendiri berdasarkan isu semasa dan kehendak rasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan