Halaman

Ahad, Ogos 15, 2010

MALANGNYA nasib bekas tahanan ISA

SELALUNYA dalam bulan Ramadan ini jiwa yang tersentuh disebabkan rasa pilu mengenang derita seseorang, seperti kemiskinan sesebuah keluarga atau juga penderitaan mangsa bencana alam seperti di Pakistan.  Tidak terduga juga sebelum ini, pada Ramadan saya tersentuh dengan ‘keputusan yang sangat adil’ yang dihadiahkan kepada orang yang mengemis keadilan di hadapan hakim yang arif lagi bijak sana.


Sebagai manusia yang ada perasaan dan fikiran, Abdul Malek Husin tersentak dan marah dengan tindakan kerajaan pada tahun 1998.  Dia bersama ribuan rakyat lain membuat demontrasi, menyatakan rasa tidak puas hati yang tidak boleh ditangguh-tangguh lagi melalui pilihan raya.  Ya, berdasarkan undang-undang dia boleh didakwa bersalah, tangkaplah dia dan hadapkanlah ke hadapan hakim.  Dia akan memberitahu hakim sebab apa dia menyemburkan rasa amarahnya di khalayak.  Tidak begitu, pihak berkuasa memilih untuk menangkapnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan soal siasat tertutup dan tahan tanpa bicara.

Sebagai rakyat biasa, Abdul Malek rasa sangat terhina maruahnya apabila diperlakukan secara tidak berperikemanusiaan oleh penyaisat. Dia membawa kes penahanannya ke mahkamah dengan menghujah dirinya dipaksa meminum air kencingnya sendiri.  Tentu ini dalam sesi soal siasat.  Tidak ada sesiapa yang berakal percaya sesi soal siasat adalah musyawarah atau diolog peradaban!  Soal siasat terhadap orang yang memarahi pihak berkuasa adalah tekanan.  Bersumpahlah dengan nama Allah untuk sesiapa yang mahu menafikannya jika benar-benar beriman kepada Allah yang satu dan hari akhirat.

Mahkamah Tinggi (2007) memihak kepada Abdul Malek dan meminta pihak yang menahan dan menderanya membayar RM2.5 juta.  Dia gembira, bukan sangat dengan wang jutaan itu, tetapi kerana berjaya memberitahu dunia ada kezaliman terhadap orang yang tidak mempunyai apa-apa akses untuk membela diri dalam ISA.

Pihak kerajaan merayu ke Mahkamah Rayuan supaya keputusan hakim Mahkamah Tinggi itu dikatakan tidak betul. Dan rayuan ini diterima. Ini bermakna penderitaan Abdul Malek dalam tahanan adalah sah.  Betul, soal siasat bukan musyawarah dan dialog.  Opss, malang Abdul Malek bertambah apabila mahkamah ini memerintahkan dia membayar RM50,000 sebagai kos legitasi. Senang cakap, awak yang mulakan kes, memakan masa masa mahkamah kemudian didapati tidak betul, awak kena denda!

Abdul Malek merayu pula ke Mahkamah Persekutuan, mahkamah paling aulia yang tidak boleh diusik-usik lagi. Tanggal 12 Ogos 2010 takdir Tuhan tidak memihak kepadanya.  Ops, ada lagi iaitu Abdul Malek diwajibkan membayar RM20,000 pula kepada tiga responden yang hendak dikenakannya iaitu pegawai yang menyiasatnya, Ketua Polis Negara semasa dia disiasat dan Kerajaan Malaysia.  Nah, sudahlah Abdul Malek gagal dalam tuntutannya yang mahu dunia melihat dirinya didera, dia dipaksa pula membayar sejumlah RM70,000 setelah bertahun-tahun naik-turun mahkamah.

Moral cerita ini agaknya ialah jangan sewenang-wenang hendak mengadu ke mahkamah mencari keadilan sekalipun semasa di sekolah diberitahu dalam sistem demokrasi, mahkamah merupakan badan yang bebas dan adil. Maka mengadulah ke mahkamah untuk mendapatkan keadilan. Banyak masalah rupanya dunia ini. Retorik ahli demokrat saja.

Pembesar negara pun pernah memberi amaran akan menggunakan ISA terhadap pihak yang cuba mencetus suasana huru-hara.  Saya cuma hendak faham ‘amaran’ itu ialah keperitan dalam tahanan tanpa bicara dan soal-siasatnya.  Kalau ditahan saja dan diberi makan-minum, beriadah, membaca buku dan berSMS, cukup 60 hari atau dua tahun kemudian dibebaskan, itu bukan amaran keras!  Menteri pun tidak berselera memberi amaran dengan ISA sebegitu. Yalah, tentu Abdul Malek benar-benar dipaksa menerima keperitan, maka dia pun mengadu kepada mahkamah.

Itulah dia, undang-undang dan sistem pengadilan mahkamah sebenarnya sangat teknikal.  Kesilapan teknikal boleh menyebabkan perubahan keputusan sesuatu kes.  Jangan mudah percaya keadilan dan kebenaran ada di mahkamah.  Seperti juga jangan percaya kebenaran ada pada parti-parti politik.  Inilah keadilan dunia.  Nak buat macam mana, tunggu dunia ini kiamat sajalah.

Keadaan ini menguatkan lagi keimanan saya bahawa Hari kebangkitan atau Hari Akhirat atau Hari Pembalasan benar akan wujud kelak untuk membalas yang terlepas di dunia ini.  Kelak, yang berkata-kata sebagai saksi bukan mulut, tetapi kulit, kuku, bulu dan sebagainya.  Tidak ada putar belit cakap peguam dan saksi atau ‘bias’ manusia dalam pengadilan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan