Halaman

Khamis, Ogos 19, 2010

JUMPA, cinta, zina, hamil dan buang bayi

MEDIA bagai sengaja menyiarkan siri pembuangan bayi.  Isu ini tetap menjadi pelaris berita kerana emosi orang ramai mengenainya.  Namun, kalau tidak ada bayi yang dibuang, tidak ada berita yang dikeluarkan. Ini bermakna ada perbuatan jahat itu dilakukan setiap kali ada beritanya. Aduh, banyaknya bayi sudah dibuang sama ada yang masih hidup atau yang ditemui sudah mati.


Secara umum pula diketahui hampir semua bayi itu lahir daripada manusia keturunan Melayu atau pendatang asing Melayu.  Dikatakan juga semua bayi ini adalah hasil zina. Bayi dibuang untuk mengelak malu kepada masyarakat.  Masyarakat Melayu, sejahat mana pun masih tidak boleh menerima adanya bayi tanpa ayah dalam keluarganya.  Perkara ini dalam pengetahuan remaja Melayu, sebab itu jika remaja Melayu terhamil, pilihannya sama ada bernikah dengan teman lelakinya atau menghapuskan bukti zina itu.  Maka bayi suci itu dijadikan mangsa.

Kes ini adalah masalah Melayu.  Dalam hal ini, sangat dikaitkan dengan Islam kerana rasa malu mempunyai anak tanpa ayah itu kesan pemahaman kejinya gadis berzina.  Persoalan utama ialah mengapa zina berleluasa atau tanpa kawalan?

Punca utama ialah krisis akidah.  Banyakkah orang Melayu yang faham mengapa untuk menjadi muslim kena mengucapkan syahadah? Tiada Tuhan Melainkan Allah, dan Muhammad adalah Rasulullah.  Tak faham?  Minta maaf, sekadar menghafal Sifat 20 yang menjadi pedoman belajar akidah oleh orang Melayu tidak cukup membawa pemahaman syahadah yang membawa perubahan perilaku manusia.

Orang yang lemah akidahnya, sudah tidak perduli sangat soal halal haram.  Soal batas hubungan antara lelaki dan perempuan, adab wanita berpakaian di luar rumah, kawalan ibu bapa terhadap anak-anaknya dan 1001 satu hal dalam kehidupannya sudah terabai.  Anak lelaki membawa gadis menaiki motorsikal, tak apa…, mereka sekolah tinggi, tahu baik buruknya.  Anak gadisnya pulang lewat malam, apa nak buat…, memang anak zaman sekarang perlu kebebasan.  Anak-anak muda dengan senang hati memperkenalkan pasangan masing-masing kepada ibu bapa kerana pemikiran ibu bapa sudah menerima pergaulan bebas atas nama cinta.  Pesannya mudah, “berkawan saja, jangan buat apa-apa.”

Semua di atas merupakan contoh akibat rosak atau lemah akidahnya.  Orang yang lemah akidah, pemikirannya pun cetek, kontot dan keanak-anakan.  Patutlah rosak kehidupannya!

Pakaian wanita yang menutup aurat seperti arahan Allah dalam surah an-Nur ayat 31 dimain-mainkan.  Asalkan pakai tudung kepala, dikatakan sudah ikut wahyu Allah. Bertudung kepala ya. Baju sendat, tak berlengan dan seluar ketat itu orang yang kuat akidahnya?  Perempuan muda yang berpakaian tapi macam telanjang adalah cermin akidahnya yang rosak.

Hubungan cinta gelap antara lelaki dan perempuan kemudian disertai pertemuan-pertemuan sulit itulah puncanya zina. Maka hamil pula si gadis. Lalu dimusnahkan bayi yang konon memalukan diri dan ibu bapanya.  Orang yang benar akidahnya tidak akan melakukan perbuatan yang memulakan zina lagi.

Akidah atau tauhid mudah saja dipelajari.  Terima Allah itulah Tuhan, satu-satunya Tuhan yang berkuasa terhadap segala-galanya.  Oleh kerana kita sudah menerima Allah sebagai Tuhan, terima saja apa yang diarah atau ditegah oleh-Nya. Laksanakan arahan-Nya perlu dilakukan dengan perbuatan.  Tinggalkan larangan-Nya, kita diam sajalah, apa susah-susah.

Sudah, jangan perdulikan apa-apa kalau sudah menerima Allah sebagai Tuhan.  Jangan ingatkan apa kata teman-teman jika sudah mahu tinggalkan larangan Allah iaitu jumpa berdua-duaan, bersentuhan dan memadu asmara.  Memang ada dilema atau persimpangan antara terus berlepak-lepak bersama teman sehingga jauh malam atau tinggalkan mereka kerana takut terjebak dalam zina.  Kuat akidah kepada Allah, tinggalkan teman-teman yang merangsang nafsu cinta remaja.  Lemah akidah, terima ajakan teman-teman bergelandangan atau bercumbu mesra mengisi makna cinta!

Orang kata jangan drastik, perlu perlahan-lahan. Berilah mereka bertemu sekali dalam seminggu, selepas itu jumpa sekali dalam dua minggu, kemudian bolehlah sekali jumpa dalam sebulan! Adusss, malangnya sekali zina boleh terus hamil! Bayi itu nanti apa nasibnya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan