Halaman

Ahad, Ogos 22, 2010

HUDUD: Karpal Singh patut berikan hujah.

HUDUD bergema lagi, tidak lain daripada Pas. Menteri Besar Kelantan TG Nik Aziz sinonim dengan pelaksanaan Hudud, iaitu undang-undang jenayah syariah berteraskan al-Quran dan Sunnah.  Isu ini timbul semula apabila kes pembuangan bayi sehingga membawa kematian yang kian sadis, merentap nurani semua pihak.  Semua pihak (agaknya termasuk yang dahulunya pernah terjebak dalam zina) mahu masalah pembuangan bayi ditangani segera. Ertinya selepas ini dengan cara apa pun tidak ada manusia membuang keturunannya sendiri.  Maka itu Mursyidul Am Pas mencadangkan undang-undang syariah.


Di Malaysia, yang konsisten mahukan Hudud ialah  TG Nik Aziz itu. Dan yang konsisten menentang hudud hingga ke titisan darah terakhir ialah si Penegerusi DAP, Karpal Singh.  Begitulah berulang kali seperti pusingan roda.  Kedua-duanya telah tua renta, entah siapa selepas ini yang akan mempusakai siri TG Nik Aziz dan Karpal ini.

Hak TG Nik Aziz untuk mencadangkan yang terbaik dalam menyelesaikan masalah jenayah.  OK katakanlah hak Karpal juga dalam negara demokrasi untuk menolak Hudud, tetapi janganlah menolak secara teknikal. Kata karpal, "Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini. Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud.”  OKlah, karpal peguam, secara teknikal dia betul.

Dalam dunia ilmiah dan demokrasi, menerima dan menolak perlukan hujah.  Malangnya si Karpal, tidak berani memberi hujah penolakan. Orang mahu tahu apa masalah besar atau kepincangan hudud itu.  Hujah balas ini perlu supaya kita semua dapat membanding antara kehebatan hudud dan Kanun Keseksaan yang diterima sekarang.

Ambil contoh cara menyebat pesalah mengikut Kanun Keseksaan yang dilakukan secara tertutup sedangkan hudud membenarkan hukuman itu dilaksana ditempat terbuka, disaksikan orang ramai supaya menjadi pendidikan. Dalam dunia global, senang cakap,  boleh dibuat siaran langsung seperti bolasepak Piala Dunia!  Hujahlah sepuas-puasnya mana yang baik dan buruk, mana yang memberi manfaat kepada orang ramai dan mana yang tidak.

Penyokong Hudud atau puak TG Nik Aziz pun janganlah cepat emosi apabila puak si Karpal memberi hujah yang memperlekeh Hudud.  Seperti Presiden MCA mendakwa negara Islam lain (baca yang berdasarkan Islam) banyak kes rasuah, malangnya penyokong Pas tidak membalas dengan hujah.  Mereka emosinal dengan mengatakan Chua Soi Lek tak faham Islam dan hanya berguru dengan Umno.  Respon ini bukan bijak malah menunjukkan watak muslim yang sombong.  Pada pandangan bukan muslim, konsep Islam tidak boleh dibahas dan hanya dipaksa terima.

Kepada pihak Karpal dan TG Nik Aziz, semua patut belajar mendengar dengan tekun hujah masing-masing.  Jangan pilih medium debat kerana itu bukan memberi manfaat, kecuali mempertajam perselisihan.

Malangnya isu hudud hanya dijadikan modal politik pihak yang berkepentinan. Jika budaya ini berterusan, 50 tahun akan datang pun masih keadaan seperti hari ini.  Inilah minda Malaysia!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan