Halaman

Selasa, Mei 25, 2010

DOKTRIN abuya, bukan agama

MENURUT Kamus Dewan, perkataan doktrin ialah prinsip atau kepercayaan yang dianggap benar, dan hanya itu yang diyakini benar. Doktrin pula bukanlah prinsip dogma agama, kerana dogma suatu yang sangat asas. Jika dogma merupakan hal yang sangat asas dalam agama, doktrin yang menjadi satu kepercayaan adalah hasil pemikiran atau pemahaman seseorang daripada dogma!

Daripada situ banyaklah doktrin yang muncul daripada agama. Pertikaian jawatan khalifah antara dua sahabat Nabi, Sayyidina Ali dan Sayyidina Muawiah telah melahirkan doktrin kekhalaifahan Ali dalam kalangan kumpulan Syiah. Doktrin kekhalifahan Ali ini membawa pembentukan akidah baru yang mengkultuskan Ali Abi Talib. Maka janganlah kaget jika dalam doktrin ini malaikat Jibril dikatakan tersalah pilih menyampaikan wahyu. Kata mereka, sepatutnya Jibril menyampaikan wahyu kepada Ali bukan kepada Muhammad bin Abdullah. Tidak cukup itu, ditambah pula bahawa berlaku penggabungan roh Ali terhadap Allah. Ini dinamakan hulul dalam jiwa tarekat tasawuf.

Bagi kumpulan tarekat aurad muhammadiyah yang dijaga dan dikembangkan oleh kumpulan al-arqam dahulu telah memuja Syeikh Suhaimi, orang yang memulakan ajaran tarekat ini. Dalam mana-mana ajaran tarekat, aspek Imam Mahdi merupakan isu besar dan menjadi ratib mereka. Oleh itu doktrin Imam Mahdi menjadi lagu popular dalam dunia tarekat. Kata arwah Abuya Asaari dahulu, Syeikh Suhaimi yang sudah meninggal dunia itu akan bangkit sebagai Imam Mahdi. Kelak sewaktu Imam Mahdi datang, dialah pembantu kanannya yang dikatakan Pemuda Bani Tamim. Sebab itu pengikut Abuya percaya Abuya Asaari tidak mati, kerana dialah yang akan menyambut kedatangan Imam Mahdi!

Dalam psikik masyarakat di Pulau Jawa dahulu, doktrin Imam Mahdi diterjemah sebagai Ratu Adil atau Gatotkaca. Maka untuk mendapat sokongan orang-orang Jawa melawan Belanda, Putera Diponegoro telah mengisytiharkan dirinya sebagai Ratu Adil yang ditunggu-tunggu orang Jawa. Dengan itu, mudah saja Diponegoro menggerakkan manusia Jawa melawan Belanda (1825-1830) demi kehidupan yang aman tenteram penuh keadilan! Namun Diponegoro tertawan Belanda juga! Doktrin Imam Mahdi ini tertanam kuat kerana kelancaran kaum tasawuf seperti Wali Songo (Wali Sembilan) dalam penyebaran Islam, Islam yang berorientasikan tasawuf.

Tidak mengejutkan jika pengikut Abuya Asaari mengatakan orang tua itu tidak mati, tetapi hanya ghaib. Ghaib ini mereka fahami sebagai pergi sementara ke alam sana dan akan pulang kemudian dengan kehebatan berpuluh ganda. Inilah doktrin kaum tarekat tasawuf dalam usaha pemujaan terhadap ketua-ketua mereka. Dalam sastera, pembaca akan menemui banyak cerita mitos seperti keturunan raja berasal dari buih mulut lembu atau keluar dari mayang pokok kelapa bali. Cerita-cerita mitos ini untuk menampakkan hebat raja-raja Melayu agar ditaati seratus persen oleh masyarakat. Kaum tarekat tasawuf juga menggunakan kaedah mitos suci untuk mendapatkan kepatuhan seratus persen pengikut.

Dalam dunia tarekat tasawuf tidak ada perkataan ilmiah dan demokrasi. Yang mereka pegang dan gigit ialah ikut membuta tuli atas nama keberkatan syeikh. Mereka menyerah diri sepenuhnya kepada syeikh seperti kanak-kanak enam tahun mengharap bimbingan guru sekolah! Sebab itulah ada yang berpendidikan tinggi tetapi berubah seperti lembu dicucuk hidung dalam dunia tarekat. Beberapa tahun sebelum ini, terbit satu video yang menceritakan kepandaian Abuya Asaari merundingkan tarikh kematian para pengikutnya. Penceramahnya ialah orang yang pandai ilmu komunikasi, tetapi mindanya sudah disihir oleh syeikh tarekat.

Bagi masyarakat luar tarekat akan tertawa apabila seorang manusia boleh merundingkan tarikh kematian orang lain, tetapi para pengikut syeikh tarekat itulah nikmat dalam beragama! Inilah dunia goblok kagak ketulungan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan