Halaman

Rabu, Februari 17, 2010

FELDA: walau tanpa panel syariah...

KERAP sangat mendengar ucapan: Islam adalah satu sistem yang lengkap. Oleh kerana telah bergema sejak lebih 20 tahun yang lalu, maka saya secara peribadi sedang melihat apakah Islam telah mapan dalam semua ruang kehidupan, khasnya muslim. Yang paling kuat menjeritkan Islam sebagai pilihan ialah ahli-ahli politik, terutama apabila berhadapan dengan lawan-lawan politiknya. Maaf, ini bukanlah tanda Islam sudah mapan dalam segenap ruang.
Prof Dr Mahmood Zuhdi dalam catatan di sebuah majalah mengatakan bahawa institusi kewangan dan perbankan di negara kita begitu cepat memberi ruang kepada sistem kewangan Islam. Sekalipun dimulai dengan Bank Islam akhir tahun 1980-an, tetapi sekarang yang nyata aktif dalam kewangan Islam bukanlah bank Islam berkenaan. Maybank dan Public Bank sangat aktif dalam sistem kewangan Islam. Tentulah bank atau instirusi kewangan ini mempunyai panel syariah untuk mengawasi perjalanan perniagaan.
Di manakah lagi ada dilantik panel syariah supaya agensi atau institusi berkenaan bergerak atas landasan syariah Islam? Media Prima Berhad yang menguasai TV3, TV7, TV8 dan TV9 ada panel syariahkah? Kementerian Pelajaran ada panel syariahkah?
Saya tertarik membaca berita Felda sudah membangunkan lima loji biogas dan bakinya ada 51 buah loji lagi dalam proses pembinaan. Tahukah ulama apa itu logi biogas dan kepentingannya kepada manusia sejagat? Kalau di masjid, penceramah hanya mengatakan syariah Islam itu satu keperluan yang memenuhi kepentingan hidup manusia sejagat.
Loji biogas adalah kilang kitar semula gas methane yang terhasil daripada pemprosesan minyak sawit. Pelepasan gas methane ke atmosfera menghasilkan 21 kali ganda kepanasan berbanding gas karbon dioksida. Ertinya, selama ini semua kilang minyak sawit di negara kita melepaskan begitu saja gas methane yang menyumbang kepada kenaikan suhu bumi. Kenaikan suhu bumi secara berterusan bererti kehidupan manusia (dan makhluk lain) dalam keadaan semakin terancam. Senang cakap, hidup semakin panas, rimas, dan serba menyusahkan. Bukankah Islam menawarkan kesejahteraan? Kesejahteraan itu gagal dikecapi jika suhu bumi terus-terusan membahang.
Felda tidak ada panel syariah untuk menasihati agensi kerajaan itu supaya membina logi gas bagi mengitar gas methane yang selama ini dibazirkan. Felda menerima cadangan Protokol Kyoto yang menggariskan usaha menjaga kesejahteraan suhu bumi. Malaysia menandatangani protokol ini pada tahun 2002 dan sekarang bersama 187 negara berusaha mengurangkan pelepasan apa juga gas ke atmosfera.
Mesej catatan ini ialah: Selama ini orang-orang agama hanya memberitahu Islam yang menyelamatkan manusia dunia akhirat. Namun yang berfikir dan melaksanakan misi menyelamat bukanlah orang-orang berpendidikan agama. Memang ulama tidak tahu nama-nama gas yang terlepas ke udara, tetapi apakah dakwah mereka kepada manusia sama mementingkan usaha menyelamatkan alam sekitar yang dimantapkan dengan susunan nas-nas wahyu dan sunah? Kuliah-kuliah mereka di masjid dan surau ada menekankan soal kebersihan dan kitar semula? Muslim selalu ketinggalan kereta api, berbanding bangsa-bangsa lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan