Halaman

Khamis, Disember 10, 2009

TAJDID sekolah agama



JANGAN mudah lupa sejarah tasawur Melayu bahawa anak-anak perempuan tidak perlu diberi pendidikan seperti anak-anak lelaki.  Pandangan ini bukan dipegang oleh masyarakat dalam hutan yang tidak mengenal ilmu dan wahyu, malah dikongsi oleh golongan yang kuat melakukan ibadah solat dan puasa.  Seolah-olah Islam memang tidak menggalakkan wanita mendapat pendidikan setaraf dengan lelaki.

Lalu datanglah anak-anak muda mengubah minda masyarakat Melayu supaya meneliti ajaran al-Quran dan sunnah serta sejarah Islam.  Gerakan Islah oleh kelompok Kaum Muda menekankan masyarakat Melayu wajib mendalami ilmu keduniaan yang dimiliki kaum Eropah.  Anak-anak perempuan wajib diberi pendidikan untuk menjadi isteri dan ibu yang berilmu.  Maka gempar awal abad ke-20, tetapi seruan Islah terus menjalar maka hasilnya inilah yang ada.  Hari  ini kaum wanita menguasai peratusan jumlah di kebanyakan pusat pendidikan.  Malah yang pergi ke Makkah untuk menunaikan haji juga jumlah wanita lebih banyak berbanding lelaki.

Masihkah ingat kes anak-anak lelaki dibuang dari sekolah kerana ibubapanya mempertahankan serban yang dipakainya.  Juga seorang penuntut sekolah agama pondok yang rela memilih dipenjara kerana mahu dikatakan pejuang sunah apabila didapati bersalah kerana memakai serban ketika menunggang motorsikal. Yang terbaru seorang pemimpin sebuah parti politik Islam sebuah negeri mahu setiap keluarga Islam mesti menghantar seorang anak mereka belajar untuk menjadi ulama.  Di samping itu, tidak pula ada agenda untuk mewujudkan setiap keluarga seorang ahli sains atau pakar rekacipta walaupun dalam kehidupannya sangat dilingkungi oleh hasil penemuan ahli sains dan pakar rekacipta.

Tidak ada pendedahan terbuka bahawa produk sekolah-sekolah berorientasikan agama tidak secemerlang produk sekolah-sekolah aliran pemikiran saintifik.  Sebagai seorang yang terlibat dalam pendidikan di negeri Selangor yang mempunyai banyak sekolah aliran agama, sebahagian hasil perbandingan ini ada dalam pengetahuan saya.  Sekalipun banyak ketewasan dalam akademik dan aktiviti bukan akademik, masyarakat tetap menganggap sekolah agama menengah sebagai pilihan pendidikan anak-anak mereka.  Mengapa? Jawabnya ialah keyakinan Islam sebagai penyelamat.  Ibu bapa memang risau dengan masalah sosial zaman kini dan sangat berharap sekolah agama dapat mengatasi kebimbangan ini.

Isu ketidakmandirian produk sekolah agama bukan kerana kelemahan Islam, tetapi tasawur umahnya.  Cuba anda buat soal selidik ringkas terhadap murid di sekolah menengah yang sebelumnya sudah enam tahun bersekolah rendah agama di samping sekolah kebangsaan.  Anda akan dapati mereka tidak tahu apa erti bacaan solatnya dalam bahasa Melayu, sama sahaja dengan yang tidak bersekolah agama.  Oleh itu, apa tujuan anak-anak dihantar ke sekolah agama jika apa yang dilafaz dalam ibadah pun tidak difahami?

Saya sedih dan malu untuk memaparkan banyak sekolah agama menengah yang tidak setaraf dengan sekolah menengah kebangsaan.  Jangankan hendak mencari makmal sains di sekolah agama, tetapi mencari tapak pusat kaji cuaca untuk mata pelajaran Geografi pun susah.  Mereka ambil mata pelajaran sains tetapi hanya menghafal teori sedangkan murid di sekolah lain dapat menjalankan kajian praktikal.  Mungkin tiada dana, sekolah agama diabaikan.  20 tahun akan datang pun inilah alasannya!

Beberapa lama sebelum ini ada sebuah SMKA (anak saya pernah bersekolah di sana selama enam bulan) yang sengaja mengabaikan sukan terhadap murid-murid perempuan.  Sekolah ini tidak menghantar peserta perempuan dalam semua acara sukan di luar sekolah atas alasan ‘tidak syar’ie’.  Senang cakap, suasana sukan yang tidak Islam.  Malanglah, sepatutnya sekolah ini menjadi contoh pengurusan sukan yang sangat Islami.

Saya terpaksa menarik keluar anak lelaki saya daripada terus belajar dari sana.  Apabila anak saya dimasukkan ke sekolah menengah kebangsaan barulah dia dapat membedakan antara dua sekolah ini manakah yang tangkas dan perkasa memajukan pendidikan.   Ini soal sikap dan pemikiran, yang meletakkan alasan agama untuk tidak mahu pantas dan mencapai piawaian kecemerlangan.  Dan pegawai-pegawai pelajaran akan ‘malu alah’ dengan ustaz-ustaz ini.  Maklum ustaz, jangan disanggah cakapnya!

Tidakkah pemikiran orang agama dalam pengurusan dan pendidikan ini perlu ditajdidkan?

2 ulasan:

  1. Penulis mempunyai anak di smka mendapat tempat ke -6 keseluruhan tingkatan 1 tetapi gagal matematik dan sains. Mengamuk penulis bertanya kenapa jawab si anak tak ada masa kerana menumpukan penguasaan bahasa arab dalam semua subjek agama. Pelajar terbaik pun gagal salah satu subjek teras. Nampaknya penulis terpaksa campurtangan kena 'cover' semula seperti yang dijangka ada risiko atau kos lepas menghantar sekolah agama.Tertanya adakah sekolah mengabai subjek teras. Namun penulis belum bercadang nak anak tukar sekolah.

    BalasPadam
  2. dari SMKA saya masukkan anak ke SMART Kuantan. Dua2 sekolah ini utk murid cemerlang UPSR, tapi nyata smart lebih cemerlang. Ini bukan soal salah Islam, tapi salah pengurusan di smka. saya berani cakap antara smart dgn smka itu, smart adalah sekolah menengah islam, patut jadi contoh. Adakah ustaz yg jadi pengetua dan gpk di smka berfikir hal ini?

    sekali lagi Islam hanya dijadikan umpan dan retorik, dn org yang dikatakan lebih beriman kurang berjaya dalam pengurusan. maaflah ustaz2....

    BalasPadam