Halaman

Rabu, November 11, 2009

MENSUNAHKAN Islam arus perdana

ISLAM arus perdana? Maksudnya amalan Islam yang menjadi keutamaan masyarakat Islam dalam negara. Hal ini bermakna apa yang difahami sebagai ajaran agama Islam yang begitu lama dan banyak diamalkan oleh anggota masyarakat diertikan Islam arus perdana.


Istilah Islam arus perdana ini ditimbulkan kerana para elit agama (pegawai dan ilmuan agama) berpandangan apa juga hasrat untuk mengubah semua amalan yang sebati dalam masyarakat dipercayai akan menimbulkan kekeliruan. Isu ini timbul kerana melalui maklumat yang bertaburan dalam media ada anjuran untuk menyelidiki amalan agama turun-temurun, untuk disesuaikan dengan amalan sunah Rasulullah.



Berdasarkan kenyataan dalam media oleh beberapa individu dan pertubuhan berkaitan Islam, mereka ertikan Islam arus perdana ini seperti amalan berzikir beramar-ramai selepas solat, solat hajat, bertahlil kirim arwah, berdoa dalam sebarang majlis, membaca surah yasin malam Jumaat dan bertalqin di kubur. Oleh kerana kebanyakan masyarakat muslim telah sebati dan percaya semua ini merupakan amalan Islam yang dikategori amal salih, maka wajib dipertahankan sesuai dengan tahap pemahaman agama masyarakat.


Ada kumpulan yang giat menyelidik amalan sunah nabi (Rasulullah) mendapati apa yang dinyatakan sebagai amalan Islam arus perdana ini sebenarnya bukanlah amalan Rasulullah dan para sahabat baginda. Oleh itu mereka menyarankan supaya masyarakat berfikir mengenai kesahihan semua amalan ini demi menjaga kemurniah agama. Pendek kata, mereka yang menggelar aliran Sunah atau Salaf cenderung meninggalkan amalan yang dipercayai tidak ada dalam sunah baginda nabi.


Eloklah diadakan dialog atas semangat surah an-Nisa ayat 59 iaitu kembali kepada Allah dan rasul-Nya jika benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Apabila isunya ibadah khusus, maka tidak ada pilihan lain mestilah dirujuk kepada sumber asal iaitu al-Quran dan Sunah nabi. Inilah kerja-kerja mulia ulama dan ilmuan Islam untuk menjelaskan sama ada apa yang disebut amalan Islam arus perdana ini merupakan Sunah nabi atau tidak. Semua muslim yang beriman tentu tidak mahu ada keraguan dalam meninggalkan atau mengamalkan apa-apa ibadah, kerana ini soal hubungan khusus antara manusia dengan Allah swt.


Kita tidak mahu meninggalkan amalan itu akhirnya rugi dan mengamalkannya pula menjadi sia-sia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan