Halaman

Khamis, November 05, 2009

KAUM Muda, Salaf, Sunah atau Wahabi?

APABILA WTC di New York diserang pada 11 September 2001 dan yang dituduh membuat kerja ini ialah orang Islam, akibatnya orang yang ada akal dan berfikir mahu tahu apa itu Islam. Mereka mahu tahu benarkah ajaran Islam yang ada dalam alquran menggalakkan umatnya berperang seperti menjadi penyerang-penyerang pengebom bunuh diri (berani mati?) itu? Selepas itu di mana-mana kitab alquran dalam pelbagai bahasa dibeli orang, khasnya yang berfikir. Mereka mahu tahu Islam.


Kini tiba-tiba didebatkan aliran wahabi dengan tertangkapnya Dr Mohd Asri oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Alasan mengajar tak bertauliah itu mungkin hanya alasan, tetapi kebanyakan pegawai agama (ustaz dan ulama) memang sudah mengecop Dr Mohd Asri ini beraliran wahabi. Orang-orang agama ini percaya yang Wahabi tidak boleh dibawa masuk ke Malaysia. Itulah sebabnya isu ini naik semula dengan kes serbuan Jais.


Sekarang, dalam zaman internet terlalu mudah untuk mencari maklumat secara jujur mengenai Wahabi. Yang mengutuk dan memuji aliran ini semua ada. Tetapi tidak semua orang Islam cepat membuat kajian mengenai wahabi, betul atau salahnya. Kebanyakan buat tidak perduli dan hanya menunggu orang-orang agama membuat kesimpulan.


Sama ada istilah yang tepat itu Wahabi atau Salafi atau Sunah bergantung kepada pentafsiran seseorang. Orang-orang yang dituduh beraliran (manhaj) Wahabi memang tidak suka dilabel Wahabi sebab istilah itu membawa gambaran negatif. Mereka sendiri pun tidak tahu negatif dari sudut mana. Golongan ini lebih selesa menerima gelaran Salafi atau aliran Sunah. Awal abad ke-20 dahulu kumpulan ini dikenali sebagai Kaum Muda. Tokoh-tokoh Kaum Muda (Wahabi/Salafi/Sunah) yang terkenal ialah Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Salim Kalahi dan Pendita Zaaba. Mereka tokoh pembaharuan dalam sejarah perjuangan membangun bangsa dan umah.


Kepada orang yang tidak suka aliran berkenan, pastinya akan menyebut Wahabi. Mereka tidak sesekali akan menyebut aliran Salaf atau Kaum Muda. Untuk menyebut aliran Sunah, jauh sekali. Bagi mereka, menggantikan istilah Wahabi dengan Salaf atau Sunah pasti mematikan langkah kerja-kerja melawan aliran yang diamalkan di Makkah dan Madinah. Masyarakat pasti akan menolak kerja memburukkan Sunah nabi, tetapi menerima pandangan mengkritik Wahabi.


Oleh itu, biarlah masyarakat mencari maklumat dengan adil dan bijaksana. Zaman telah berubah dan masyarakatnya juga mempunyai asas kuat untuk berfikir. Sama ada orang suka atau benci Wahabi ini biarlah setelah meneliti maklumat yang tepat dan mempunyai hujah yang kukuh, bukan kerana sangkaan saja.


Secara tidak langsung isu penangkapan Dr Mohd Asri akan menyebabkan mereka yang berfikir mencari maklumat tentang tuduhan siapa dan apa Wahabi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan