Halaman

Rabu, Julai 01, 2009

TIDAK sedar jadi pencuri

WATAK pencuri yang bertopeng dan membawa karung hanya wujud dalam filem, untuk memudahkan orang memahami bahawa yang dilihatnya adalah pencuri. Pencuri selalu diertikan orang yang mengambil barang atau wang orang secara sembunyi-sembunyi. Maka kita kerap pula mengajar anak-anak agar tidak menjadi pencuri. Anak-anak akan dimarahi jika ada mengambil barang orang lain.

Banyak pula yang tidak sedar bahawa sangat mudah menjadi pencuri atau mengambil hak orang lain. Tanpa perlu memakai topeng atau berwaspada, banyak pula yang tertawa dengan bangga menceritakan kegiatannya sebagai pencuri. Ohoo, dia tidak mengatakan dirinya pencuri, cuma berjaya mengelak daripada dikenakan apa-apa bayaran, misalnya begitulah.

Contoh lain, misalnya ada yang berjaya mengelak membayar cukai belian barangan yang sepatutnya dibayar cukainya. Katakan di pusat pemeriksaan kastam Kuah Langkawi dia berjaya menghelah sehingga tidak dikenakan cukai yang sepatutnya RM50.00. Maka sebenarnya dia mencuri harta negara sebanyak RM50.00.

Ada yang membuat tuntutan yang tidak sepatutnya kepada majikan seperti tuntutan perjalanan yang melebihi apa yang sepatutnya. Jika yang wajib dituntut itu ialah RM150.00, tetapi dia berjaya menambah cerita mengenai perjalanannya sehingga berjaya menuntut RM180.00, tidak syak lagi dia mencuri wang majikannya RM30.00.

Contoh lain pula mengenai pekerja yang diamanahkan kenderaan oleh majikannya. Kenderaan itu khas untuk kerja-kerja syarikat atau jabatan, tetapi dengan sengaja digunakan untuk kegunaan peribadi seperti membawa keluarga melancong. Jika kos menyewa kenderaan itu ialah RM300.00 dan kerana menggunakan kenderaan majikannya itu dia tidak mengeluarkan wang RM300.00, sebanyak itu jugalah dia mencuri wang melalui penggunaan kenderaan yang tidak halal baginya.

Memang susah untuk mengelakkan menjadi pencuri. Bayangkan kita menggunakan kertas di pejabat atau telefon untuk kegunaan peribadi dan tidak dibuat apa-apa bayaran, kos yang mungkin 50 sen itu sebenarnya hasil curian yang masuk dalam poket. Aduhai sakitnya…..

Maka sebab itulah Khalifah Umar bin Abdul Aziz, salah seorang khalifah zaman Umayyah dahulu sangat teliti menjalankan kerja untuk membedakan antara kerja rasmi kerajaan atau peribadi. Suatu ketika apabila bercakap dengan ahli keluarganya, baginda mematikan lampu kerana perbincangan itu adalah urusan peribadi sedangkan lampu itu milik kerajaan atau negara. Ini contoh orang yang takut banyak soal di akhirat sana, yang macam kita tidak takut itu, tentu main bedal sajalah atau berhujah ‘sikit saja…’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan