Halaman

Ahad, Julai 12, 2009

NATRAH: Hati yang luka

NATRAH Hertogh atau Maria Hertogh baru saja meninggal dunia. Koran Berita Minggu hari ini memaparkan rencana ‘Natrah hidup dalam sejarah Melayu’. Mungkin masa akan datang peristiwa Natrah 1950 akan menjadi sebagian sastera Melayu seperti perlawanan antara Tuah dan Jebat.

Kisah Natrah adalah hati yang luka. Peribadi Natrah sendiri yang terluka apabila dipisahkan dengan suamainya Mansor Adabi tahun 1950. Beberapa tahun setelah dibawa ke Belanda apabila diberitahu Mansor berkahwin lain, Natrah sangat marah sekalipun dia tidak memberi harapan untuk kembali kepada Mansor. Kemudian apabila media Belanda menayangkan kebahagiaan dan kemewahan Mansor, Natrah menjadi tidak karuan sehingga berkeinginan untuk membunuh suaminya, walhal waktu itu dia sudah anak 10 di Belanda!

Orang Melayu Islam lagi terluka. Isunya ialah Natrah dimurtadkan, dijadikan kristian Katholik. Orang Melayu boleh menerima Natrah dipulangkan kepada keluarga Hertogh tetapi foto-foto Natrah dipaksa sujud dalam gereja yang disiar dalam akhbar NST tahun 1950 menyebabkan amarah tidak tertahan. Hasilnya 19 maut dalam rusuhan dan ratusan cedera.

Bangsa Timur juga terluka apabila Barat memaksakan undang-undangnya di Timur sekalipun sebagian tanah jajahan sudah merdeka. Belanda seperti menggunakan isu Natrah untuk membalas dendam fizikal dan psikologi terhadap Malaya dan Indonesia. Sejak 1945 Indonesia berperang dengan Belanda (ayah Natrah adalah soldadu Belanda di Indonesia sebelum kedatangan Jepun) sehingga tahun 1949 Belanda terpaksa mengakui kedaulatan Indonesia. Dalam mahkamah di Singapura, hakim mengatakan undang-undang Belanda tidak memberi kebebasan kepada remaja bawah 18 tahun untuk menentukan agama, maka agama Natrah adalah hak mutlak ayahnya. Lagi, hakim juga tidak mengiktiraf perkahwinan antara Natrah dan Mansor, bermakna undang-undang keluarga Islam tidak dipandang langsung kepada Barat!

Apa pun Natrah adalah mangsa pertikaian antara Timur dan Barat, sampai kapan pun tetap menjadi ikon debat pertembungan tamadun antar dua wilayah dunia ini.

1 ulasan:

  1. Sy pernah mendengar kisah ini tp sehingga kini sy masih tidak dpt cerita lengkap tragedi ini.....dimana mahu mencari maklumat tersebut

    BalasPadam