Halaman

Khamis, Jun 18, 2009

AZAN yang disalah erti

SEJARAH telah dilalui dan benar, tetapi tidak banyak yang mahu memahami dengan jujur. Dalam al-Quran pun Allah menceritakan banyak kisah zaman silam, sejarah para Nabi Allah dalam dakwah tauhid mereka. Semua itu sebagai pengetahuan dan panduan kepada umat Muhammad hingga akhir zaman.

Oleh kerana orang Melayu masih tebal dengan budaya sastera lisan atau mendengar ceramah (cerita) maka pengetahuan sejarahnya sangat terhad. Mereka sangat bergantung kepada maklumat penutur atau penceramah. Kaedah pencarian ilmu secara riwayat begini sangat terdedah kepada penyimpangan dan tafsiran berdasaran kepentingan. Jika suatu peristiwa sejarah itu dilihat merugikan dirinya, pasti pengalaman sejarah itu tidak diceritakan. Kalau ada yang bertanya mengenainya, pasti diberi tafsiran yang memihak kepada diri atau kepentingannya.

Mengunjungi laman-laman blog dan dialog melalui emel, saya didedahkan dengan pelbagai tafsiran fakta sejarah khasnya yang berkaitan dengan sejarah Islam. Hal ini bermakna pembaca yang tidak mempunyai pengetahuan sejarah akan terperangkap dalam tafsiran, bukan fakta sebenarnya.

Saya ambil contoh bagaimana orang menganggap azan dua kali pada hari Jumaat merupakan amalan yang dicontohkan oleh Rasulullah. Apabila diuji bahawa pada zaman Rasulullah azan hanya sekali, ada yang melenting dan menuduh orang yang mendedahkan hal itu sebagai tidak faham sejarah Islam, tidak menghayati sirah Rasulullah. Ada seorang yang mengaku berpengetahuan agama menghantar emel kepada saya menyatakan azan dua kali dimulakan oleh Khalifah Umar al-Khattab. Orang pertama tidak tahu langsung sejarah azan dua kali dan orang kedua memiliki kesalahan fakta.

Fakta yang sebenarnya (Sayid Sabiq: Fikh Sunnah) ialah Khalifah Usman Affan yang memulakan azan dua kali, namun konsep dan falsafahnya sangat jauh berbeda daripada apa yang difahami oleh kebanyakan orang hari ini. Khalifah Usman memerintahkan azan pertama sebelum masuk waktu Zuhur, dilaungkan di tengah pasar dengan tujuan mengingatkan manusia bahawa hari itu adalah hari Jumaat. Keadaan ini dianggap sesuai dengan zaman dan keadaan, sekalipun telah dibantah oleh Abdullah bin Umar al Khattab. Ibnu Umar mengatakan azan di pasar itu adalah bid’ah!

Hari ini para pegawai dan imam agama memberi kefahaman lain kepada orang ramai. Kita diberi faham bahawa azan pertama adalah satu azan syariat (ketetapan Allah dan rasul) sebab itu dilaungkan di masjid, jadilah azan Jumaat dua kali. Penguasa agama pula menafsir adanya solat sunat sunat sebelum Jumaat setelah azan pertama kerana azan pertama difahami azan syariat (sama seperti azan solat lima waktu). Ini yang dinamakan apabila peristiwa sejarah disalah tafsir lalu membawa tafsiran salah kepada yang lain pula.

Apakah sunah nabi untuk solat Jumaat? Mudah saja, cuba abaikan azan pertama di masjid hari ini dan terima azan kedua itu sebagai yang sah seperti pada zaman Rasulullah. Oleh itu bermulanya urusan solat Jumaat berdasarkan sunah ialah apabila Khatib naik ke mimbar dan memberi salam. Kemudian muazin melaungkan azan, khatib berkhutbah dua kali dan diakhiri solat Jumaat dua rakaat. Noktah.

Tapi ingat, apabila ada sesiapa memberitahu orang ramai mengenai sunah dalam solat Jumaat ini ada dua perkara yang dia mesti terima: Pertama dia akan dituduh tidak mengamalkan mazhab Syafie. Untuk rekod, dalam kitab al Umm Imam Syafie mahu pengikutnya mengikuti Jumaat cara Nabi. Kedua dia akan dituduh ‘wahabi’ kerana mereka kehabisan idea untuk menafikan kebenaran sejarah.

Benilah apabila fakta sejarah yang benar didedahkan di tengah-tengah masyarakat yang telah tertipu dengan tafsiran salah orang terdahulu. Akibatnya orang yang faham sejarah dan hendak kembali kepada ‘modul’ yang asal, akan mendapat masalah besar.

Banyak lagi uruf dusta atau kebiasaan palsu dalam masyarakat yang diterima pakai sebagai sah atau authentic di sisi Allah, walhal sebenarnya palsu. Semua ini kerana kejahilan daripada sejarah dan keengganan menerima kebenaran fakta sejarah apabila didedahkan hal sebenar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan