Halaman

Isnin, Jun 22, 2009

ADAKAH ini zaman plastik?

DAHULU kita belajar manusia dikelaskan berdasarkan zaman. Misalnya zaman purba itu apabila manusia hanya menggunakan batu sebagai alatan untuk keperluan hidup, maka manusia itu dikenali hidup pada Zaman Batu. Kemudian muncul pula zaman logam apabila manusia telah menggunakan logam besi dan timah untuk membentuk senjata dan keperluan hidup lain.
Agaknya zaman kini, dengan berleluasanya penggunaan plastik, maka sesuailah dikatakan zaman ini sebagai zaman plastik. Semua hendak dibuat daripada plastik daripada benda yang kecil-kecil sehingga yang besar-besar. Akan datang agaknya ada kapal terbang plastik dan keranda plastik.
Namun kajian mendapati kesan buruk penggunaan plastik kepada alam sekitar sungguh menyeramkan. Bumi ini terpaksa menerima sisa-sisa plastik yang sungguh banyak saban hari. Bayangkan dalam sebulan sebanyak 500 bilion beg plastik digunakan oleh manusia di seluruh dunia. Kebanyakannya untuk digunakan sekali dan dijadikan sampah. Malangnya plastik ini tahan lama dan terpaksa menunggu selama 300 tahun untuk terurai secara alamiah. Bayangkan, penggunaan 500 bilion helai plastik sebulan dan setiap beg plastik ini akan terperap di permukaan bumi sebagai bahan sisa selama 300 tahun! Kalau begitu elok juga keranda dibuat daripada plastik, tahan lama!
Tidakkah kita sebagai muslim lebih prihatin dengan alam sekitar berbanding mereka yang dikatakan tidak beriman kepada Allah? Kita tetap ada pilihan iaitu berssungguh-sungguh mengehadkan penggunaan beg plastik dalam kehidupan. Kasihanilah makhluk lain seperti kehidupan marin yang sangat terkesan seperti mati termakan plastik sisa manusia ini. Kasihanilah..
Antara kaedahnya ialah.
1. Bawa beg besar apabila hendak ke pasar raya atau pasar. Masukkan semua barang belian dalam bakul besar dan bukannya dalam beg plastik besar.
2. Bawa wadah atau bekas untuk membeli makanan atau kuih di kedai. Jangan bungkus makanan atau kuih dalam beg plastik, sebaliknya masukkan dalam wadah yang kita bawa dari rumah.
3. Kumpulkan plastik-plastik yang sudah tidak digunakan dan hantar ke pusat pengumpulan kitar semula.
Sekalipun usaha ini mungkin ditertawakan orang, namun percayalah kerja yang baik kerana hendak memberi kebaikan kepada manusia dan alam adalah dalam ruang lingkup amanah Allah kepada manusia. Seperti orang yang lebih suka solat fardu di masjid, mereka yang istiqamah kerana percaya janji Allah di akhirat kelak. Maka begitu juga dalam urusan dunia, dengan menjaga alam sekitar dan percaya ini sebagai amal kebaikan, maka Allah tetap akan mengganjar yang baik kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan