Halaman

Ahad, Mei 31, 2009

KENDURI arwah (Bagian 3)

Oleh: Wan Noriah Haji Daud, 1986.
BERKATA pula Prof.T.M.Hasbi Ash Shiddieqy dalam kitabnya Al Islam [2:245];”Tidak ada perselisihan antara para ulama yang muktabar bahawa mengadakan maktam [menjamu makan] pada malam yang pertama [dari kematian] atau malam yang ketiga dari kematian seseorang, suatu bid’ah. Mengadakan maktam itu suatu perbuatan yang tidak pernah sekali-kali dilakukan [dibenarkan] oleh syarak.” Ia tidak pernah dibuat oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat bila berlaku kematian. Ini bukan masalah khilafiah.

Berkata pula Ibn Qudamah;” Adapun keluarga si mati membuat makanan untuk orang ramai ( kenduri arwah) maka yang demikian itu dimakruhkan, kerana perbuatan itu meyerupai perbuatan orang-orang Jahiliah.” ( Koleksi Hadis-Hadis Hukum 6:255). Ibn Qudamah mengambil dalil bagi pendapatnya itu dengan riwayat daripada Jarir bahawasanya Jarir r.a. pernah datang kepada ‘ Umar r.a. lalu bertanya: adakah diratapkan atas mayat (dalam kaum / di tempat) kamu? Jarir menjawab: Tidak! ‘Umar bertanya lagi: Adakah mereka ( kaum tempat kamu) berkumpul di rumah ahli mayat (keluarga si mati ) dan mereka membuat makanan ( untuk orang berkumpul itu )? Jarir menjawab: Ya. Maka berkatalah ‘ Umar: Yang demikian itulah ratapan.”[Ibid,hal.256].

Dari kedua-dua riwayat [hadis] tersebut [oleh Ahmad dan Ibn Majah dan oleh Ibn Qudamah] terbuktilah sudah bahawa para sahabat Nabi telah sepakat [ijmak sahabat] melarang diadakan kenduri arwah itu, bahkan mereka menamakan yang demikian itu sebagai ratapan, sedangkan ratapan itu hukumnya haram, berdasar-kan beberapa hadis diantaranya; “Wanita yang meratap apabila tidak bertaubat sebelum matinya, maka dia dibangkitkan kelak pada hari kiamat dalam keadaan baju aspal dan penuh kudis.” [R. Ahmad dan muslim].

Diterangkan pula oleh Imam Ahmad bahawa memberi makanan kepada orang yang berkumpul di rumah keluarga si mati adalah satu dari perbuatan kaum Jahiliah. Ahmad sangat keras membantah perbuatan ini. [Ibid, hal.256]. Ahmad mengambil dalil bagi pendapatnya itu dengan riwayat daripada Jarir bin Abdullah [ seperti riwayat Ahmad dan Ibn Majah yang disebutkan di atas].


Berdasarkan riwayat tersebut, Imam Ahmad memandang makruh bagi keluarga si mati membuat makanan untuk orang-orang yang berkumpul di rumah mereka [ yakni kenduri arwah].[Ibid,hal.256].

Disebutkan pula oleh Syed Sabiq dalam Fikih Sunnah [terjemahan Indonesia 4:73] bahawa para imam memandang makruh hukumnya, jika keluarga mayat menyediakan makanan buat [untuk] orang-orang yang datang berkumpul kerana hal itu akan menambah kemalangan mereka serta meniru perbuatan orang Jahiliah. Hal itu adalah berdasar hadis Jarir riwayat Ahmad dan Ibn Majah seperti yang telah disebutkan di atas.
Dalam Mazhab Maliki, perbuatan berkumpul-kumpul di rumah keluarga si mati dan mereka menyediakan makanan untuk dijamu kepad orang-orang yang berkumpul itu lebih-lebih lagi tidak dibolehkan. Apabila ada di antara yang menerima warisan [pusaka] anak yang masih kecil [yatim] atau yang belum dapat didengar suaranya, maka makanan dan minuman yang disediakan itu yang diambil dari harta peninggalan [si mati] haram kita memakannya dengan Ijmak Ulama.

Demikian ditegaskan oleh Prof.T.M.Hasbi Ash Shiddieqy dalam Koleksi Hadis-Hadis Hukum [6:256]. Kenduri arwah itu dihukum makruh adalah diketika belanja yang dipergunakan untuk kenduri itu di ambil dari kepunyaan orang yang melakukan sendiri , bukan dari harta peniggalan simati. Jika diambil dari harta peniggalan simati, sedang dalam keluarganya yang harus ( berhak) menerima pusaka terdapat anak kecil ( yatim) atau orang yang belum boleh di dengar suaranya, maka perbuatan itu haram adanya. (Koleksi Hadis-Hadis Hukum 6:256).

(sambung ke bagian keempat)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan