Halaman

Isnin, Mei 11, 2009

AKIDAH Muktazilah?

PERTAMA kali saya mendengar ceramah akidah yang menekankan tema teras ‘Allah wujud tanpa bertempat’ ialah di pejabat Perkim Kuantan tahun Jun 2006 oleh seorang ustaz dari Pekan Pahang. Kemudian saya diberi kertas kerjanya. Pada saya kertas kerja ini hanya kerangan biasa kerana tidak ada apa-apa sumber rujukan. Selepas itu saya mendapat beberapa SMS yang berfokuskan hal sama, sambil menekankan itu adalah akidah para nabi. Kemudian lagi dalam emel yang diterima pun saya dipaksa menerima ayat ‘Allah wujud tanpa tempat’ sambil menekankan adanya orang-orang yang sebenarnya sesat dalam akidah.

Selain itu telah ada ceramah, seminar dan forum mengenai teras akidah yang dikatakan Allah wujud tanpa tempat. Dalam dunia maya tanpa had, banyak sudah dipromosikan dan didebatkan. Dan banyak sudah kerja tuduh-menuduh sesat dan kafir kerana tema berkenaan.

Yang menarik, sejak tahun 2006 hingga kini setelah berkali-kali saya bertanya kepada ustaz itu dan bertanya kepada orang yang sefaham dengannya, tiada jawaban. Apa yang saya tanya ialah: Manakah dalil al-Quran yang menjelaskan nabi-nabi berkata Allah wujud tanpa tempat? Adakah munasabah persoalan yang dikatakan teras dalam akidah tidak tercatat secara jelas dalam al-Quran?

Tulisan ini tidak sependapat mengatakan para nabi berakidah teras Allah wujud tanpa tempat, sebaliknya para nabi bekerja keras mendakwah tauhid mengesakan Allah serta menyeru manusia beriman dan menyembah-Nya.

Benarkah semua nabi yang namanya tercatat dalam al-Quran menekankan tauhid bertema Allah wujud tanpa tempat? Adakah Nabi Nuh mendakwahkan tauhid kepada kaumnya supaya percaya Allah wujud tanpa tempat? Susah sangatkah manusia zaman Nabi Nuh hendak menerima bahawa Allah wujud tanpa tempat sehingga sanggup mati hanyut dalam banjir?

Kisah Nabi Ibrahim di Babylon? Nabi Ibrahim, sehingga menghancurkan semua berhala kecil kaumnya bukan kerana kaumnya masih tidak mahu menerima Allah yang sifatnya dikatakan tanpa tempat. Sangat jelas, bahawa dakwah tauhid yang diseru oleh Nabi Ibrahim adalah antara keesaan Allah dengan kesesatan syirik. Debat antara Nabi Ibrahim dengan kaumnya ialah siapa Tuhan dan apa kuasa Tuhan. Nabi Ibrahim mahu semua kaumnya meninggalkan berhala. Berhala itu batu, mati, itu bukan tuhan, itu syirik, sebaliknya menerima dan menyembah Allah. Allah Tuhan sebenar, Tuhan yang hidup, yang memberi hidup dan mematikan semua. Dan Nabi Ibrahim dihukum bakar hidup-hidup kerana kaumnya tidak menerima Allah sebagai satu-satunya Tuhan, yang menguasai segala-galanya. Tidak ada kisah atau tema sama ada Allah itu wujud dengan tempat atau tidak bertempat di sana.

Kemudian, susah sangatkah Raja Mesir purba Fir’aun hendak menerima bahawa Allah wujud tanpa tempat? Bukankah isu tauhid besar yang berlaku antara Nabi Musa dengan Fir’aun adalah keesaan Allah. Nabi Musa mahu Fir’aun dan manusia percaya Allah itu satu dan manusia menyembah-Nya. Fir’aun mempertahankan dirinya adalah Tuhan. Tidak ada ayat yang keluar daripada para ahli sihir Fir’aun yang membawa maksud Fir’aun adalah Tuhan yang bertempat dan Allah adalah Tuhan yang tidak bertempat, maka ahli-ahli sihir itu beriman kepada Allah. Yang ada ialah penolakan ahli sihir kepada Fir’aun sebagai Tuhan sebaliknya mereka menerima dan beriman Allah, Tuhan Nabi Musa sebagai sebenar-benar Tuhan yang menghidupkan dan mematikan manusia.

Adakah Nabi Muhammad rasul akhir zaman bertungkus-lumus menerangkan kepada manusia yang Allah itu wujud tanpa tempat? Seolah-olahnya setiap kali Rasulullah s.a.w. berdakwah menyeru manusia beriman kepada Allah, kerana Allah itu wujud tanpa tempat. Kalaulah dakwah tauhid Rasulullah meminta manusia beriman kepada Allah kerana Allah wujud tanpa tempat, tidak susah orang-orang Arab Makkah waktu itu menerimannya. Mereka tidak rugi apa-apa jika penolakan syirik bukan teras dakwah tauhid.

Yang menjadikan dakwah Rasululah begitu hebat dan gegak gempita ialah kerana tauhid mengesakan Allah, menolak syirik. Orang seperti Abdul Mutalib (penguasa Makkah), Abu Lahab, Abu Jahal bukan tidak percaya adanya Allah, tetapi dia dan rakyat Makkah juga menyembah berhala yang dikatakan ada kuasa seperti Tuhan, percaya tahyul, khurafat dan mengamalkan bid’ah. Kalau setakat hendak menerima Allah wujud tanpa bertempat, mudah saja mereka menerima dakwah tauhid. Namun apabila tauhid Islam itu menyerang dunia syirik, khurafat, tahyul dan bid’ah, itulah punca besar penentangan terhadap Islam.

Perhatikan Sahabat Bilal bin Rabah ketika disiksa oleh majikannya kerana menerima tauhid Islam. Sekalipun Bilal disiksa untuk mengubah tauhidnya, mulut beliau mengucapkan ‘ahadun, ahadun, ahadun’. Ucapan ‘ahadun’ satu penyaksian dan pembelaan kepada akidah keesaan Allah yang menolak syirik, tahyul, khurafat dan bid’ah.

Kalangan mereka berkata ini adalah akidah Ahli Sunnah Waljamaah. Imam Abul Hasan al Asy’ari yang dikatakan pelopor ASWJ dalam kitabnya Maqalat al Islamiyyin wa iktilaf al Musallin menyatakan golongan Muktazilah berakidah Allah wujud tanpa tempat. Menurutnya, jumhur ulama Muktazilah berpendapat ‘Allah berada di mana-mana’ dan sebagian lagi berpendapat ‘Allah wujud tanpa bertempat’. Pihak Muktazilah mentakwil kata istiwa dalam ayat 5 surah Taha‘ Allah beristiwa (bersemayam) di Arasy’ sebagai ‘Allah menguasai (istaula)’.

Inilah beban sejarah yang cuba diselindungkan. Mendedahkan ‘Allah wujud tanpa tempat’ sebagai kerja kaum Muktazilah bermakna menggegerkan orang ramai yang selama ini diasak bahawa itu adalah akidah AWSJ. Untuk rekod, Muktazilah dianggap berlawanan sama sekali dengan AWSJ. Malah Imam Abul Hassan pada akhir hayatnya kembali menuruti manhaj salaf.

Kesimpulannya akidah para nabi berdasarkan al-Quran adalah mengesakan Allah iaitu menerima, mengesah dan menyembah Allah itu Esa. Inilah tauhid yang menyeluruh dalam hidup, yang berjaya mengubah cara hidup manusia daripada hamba yang derhaka kepada Allah kepada hamba yang taat kepada Allah. Ambil contoh bab akhlak, daripada buruknya akhlak sebelum Islam kepada akhlak yang mulia.

Untuk sesiapa mendakwa bahawa para nabi berakidah demikian dan menjadikan mesej utama dakwahnya, perlu pembuktian khusus. Pemahaman mudah ialah mesej berkenaan hanyalah subpengenalan sifat Allah. Menjadikan subtopic sebagai hal besar bukanlah satu keputusan tepat keraan berdasarkan al-Quran dan sunah, jelas semua nabi menekankan keesaan Allah dan mahu manusia menyembah-Nya.

8 ulasan:

  1. Selasa, November 28
    Di mana Allah ?

    Shadrul Islam, al-'Aalim, al-Ushuli al-Mutafannin, al-Imam Abu Manshur Abdul Qaahir bin Thoohir bin Muhammad at-Tamimi al-Isfarayini al-Baghdadi ada seorang ulama besar bermazhab Syafi`i dan antara pemuka al-'Asyairah yang masyhur. Beliau hidup sebelum Ibnu Taimiyyah al-Harrani di mana beliau wafat dalam tahun 429H. Beliau sezaman dengan Imam Muhammad al-Juwayni (ayahanda Imam al-Haramain Abdul Malik bin Muhammad al-Juwayni, guru Hujjatul Islam al-Ghazali) dan termasuk generasi ketiga para Imam al-'Asyairah. Antara ulama yang menjadi gurunya ialah Imam Abu Ishaq al-Isfarayini yang masyhur itu. Imam Abu Manshur 'Abdul Qaahir al-Baghdadi menuntut ilmu sehingga menguasai 17 cabang ilmu dengan baik, sehingga beliau dipuji oleh Syaikhul Islam Abu Utsman as-Shabuni sebagai " salah seorang Imam Ushuluddin yang paling utama dan berotoriti mengenai Islam dengan ijma` ulama-ulama kenamaan dan berwibawa. Antara kemegahan beliau ialah Imam al-Baihaqi, Imam Abul Qasim al-Qusyairi dan Imam Nashir al-Mirwazi adalah antara murid-murid beliau. Imam besar ini juga meninggalkan banyak karangan yang bernilai, antaranya:-

    1. Bulughul Mada min ushulil huda;
    2. Fadaih al-Karramiyyah;
    3. al-Farqu bainal firaq;
    4. al-Fakhir fil awail wal awakhir;
    5. al-'Imad fi mawaritsil 'ibaad;
    6. Ibtal al-qawl bit tawallud;
    7. Manaqib al-Imam asy-Syafi`i;
    8. Masyariq an-Nur wa Madarik as-Surur fil kalam;
    9. al-Milal wan Nihal;
    10. Nafy Khalq al-Quran;
    11. Syarh Miftah Ibn al-Qass;
    12. al-Kalam wal Wa`id;
    13. Nasikh al-Quran wa mansukhhuh'
    14. Mi'yar an-Nazar;
    15. Naqd Abi Abdillah al-Jurjani fi tarjih Madzhab Abi Hanifah;
    16. al-Qadhaya fid dawr wal washoya;
    17. Syarh hadits Iftiraq Ummati;
    18. ash-Shifat;
    19. Tafdhil al-faqir ash-shobir 'ala al-ghani asy-syakir;
    20. Tafsir al-Quran.

    Berhubung persoalan "di mana Allah?", Imam Abdul Qaahir bin Thoohir bin Muhammad al-Baghdadi menulis dalam karangannya yang masyhur "al-Farqu baina al-Firaq" pada fashal ke 3 dalam menerangkan segala usul yang telah disepakati (telah diijma`kan) oleh Ahlus Sunnah wal Jama`ah pada halaman 256 menulis antaranya:-

    Dan Ahlus Sunnah wal Jama`ah telah ijma` bahawasanya Allah s.w.t. tidak bertempat dan tidak lalu atasNya masa, bersalahan dengan pegangan golongan al-Hisyaamiyyah dan al-Karaamiyyah yang mendakwa Allah bertempat di arasyNya. Dan telah berkata Amirul Mu'minin 'Ali r.a.: "Sesungguhnya Allah ta`ala telah menciptakan arasy untuk menzahirkan qudratNya dan bukan untuk dijadikan tempat bagi zatNya". Baginda juga berkata: "Dan adalah Allah ta`ala wujud tanpa tempat dan Dia sekarang atas sebagaimana sediakalanya".

    Kesimpulannya, mudah sahaja: Kewujudan Allah berbeza dengan kewujudan makhluknya. Antara perbezaannya ialah wujud Allah tanpa bertempat dan wujud makhluk mengambil tempat dalam bahso tok-tok guru dulu "mengambil bagi lapang". Bagaimana orang yang berakal boleh menempatkan tempat bagi Allah, sedangkan tempat itu juga satu makhluk yang baharu. Jika dikatakan Allah di atas arasy, maka yang dimaksudkan dengan atas itu adalah kadar kedudukan atau maqamnya yang Maha Tinggi dan bukannya difahami secara zahir sebagai tempat kedudukannya. Insya-Allah, di lain posting kita akan lihat tafsiran para ulama kita berhubung dengan ayat-ayat dan hadits-hadits sifat ini.

    Kita beriman dengan firman Allah bahawa Dia beristiwa` atas arasy sebagaimana difirmankanNya, tetapi tidaklah dikita ketahui makna hakikat firmanNya itu dan kita serahkan maksudnya kepada Allah semata-mata tanpa pergi lebih jauh daripada itu. Inilah pegangan kebanyakan ulama Salaf. Tetapi jika ada ulama yang mentakwilkan istiwa` itu sebagai menguasai, maka tidaklah boleh dikeji sebagai silap, kerana hakikatnya memanglah Allah yang menguasai arasy dan sekalian makhluk ini. Hanya yang sesat ialah orang yang mengatakan bahawa Dzat Allah itu memang berada atau bertempat di arasy, maka itulah pendapat yang salah dan sesat. Maha Suci Allah daripada mengambil bagi lapang.


    Soalan utk Suparjo?

    1. Dari siapakah anda mengambil ilmu agama? dari ulama? Bacaan? atau dengar ceramah sekali sekala?
    2. Apakah benar2 anda faham apa itu muktazilah?
    3. Siapakah Abdul Mutalib dan Siapakah Abu Jahal? Apakah mereka berfikrah sama?

    BalasPadam
  2. artikel asal dari http://bahrusshofa.blogspot.com/search/label/Aqidah

    BalasPadam
  3. Sesiapa yang hendak membuat balasan terus kepada isu utama, bukan menjurus peribadi saya (tanya saya belajar agama di mana?)

    Isunya ialah 'Allah wujud tak bertempat' dipelopori oleh kumpulan muktazilah. Kalau ada siapa nak nafikan, sila berikan bukti lain.

    Kedua, rencana saya menegaskan para nabi tidak berakidah 'Allah wujud tak bertempat' sebagaimana ayat itu dijadikan isu besar ceramah satu puak sekarang. Jika tidak setuju dan yakin para nabi berfokus dakwah sebagaimana puak itu, sila berikan bukti dan hujah.

    TANPA membidas dan mematikan dua hujah dalam rencana saya, maka pendirian saya yang menulis rencana itu akan kekal.

    BalasPadam
  4. Cubakah anda baca artikel ini dan seterusnya berguru dengan ahlinya. Semoga anda mendapat taufik dan inayah dari Allah ke arah kebenaran didalam beraqidah ASWJ..amin

    http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/194

    BalasPadam
  5. Ustaz Hafiz dari Pekan itu apa kurangnya? Tak terjawab juga. Guru di kampung saya pun tak menjawabnya. Jadi mana guru yang sedia menjawab, atau memang tiada jawabannya kerana tahu jawabannya memakan diri.

    BalasPadam
  6. Tidak ada sesiapa nak membantah yang akidah Allah wujud tak bertempat adalah rekaan kaum Muktazilah, bukannya kalimah para Nabi Allah?

    BalasPadam
  7. BAGI sy , sy ebih cenderung kpd salaf , kerana mereka lebih awal drpd kita .

    JIKA BEGITU MAKA BEGITULAH

    BalasPadam
  8. terima kasih kepada pembaca dan yg memberi respon. maaf kalau terluka di hati.

    BalasPadam