Halaman

Ahad, April 26, 2009

TERLEBIH masa belajar agama?

BARU-baru ini saya melihat anak-anak sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di Sabak Bernam menyertai pertandingan mewarna lukisan. Cara mereka melukis dan hasilannya jauh lebih matang daripada apa yang kerap saya perhatikan daripada yang anak-anak Melayu hasilkan. Senang cakap, kualiti pendidikan dalam bidang seni, membandingkan yang terbaik anak-anak Melayu dan keturunan Cina, anak-anak Melayu kalah. Oh, jangan baca tulisan ini dengan perasaan perkauman. Saya tanya seorang ibu yang membawa anaknya dan mengatakan anak-anaknya mengikuti tuisyen, ya tuisyen pendidikan seni. Lihat, orang Cina menghantar anak-anak yang berumur tujuh dan lapan tahun ke pusat tuisyen melukis. Ada anak Melayu di luar bandar dihantar ke sana?

Ibu bapa Melayu menghantar anak-anak ke sekolah agama rendah atau pendidikan fardhu ain. Di Selangor sudah menjadi budaya yang anak-anak Melayu akan bersekolah dua sesi setiap hari. Paginya ke sekolah kebangsaan dan petangnya ke sekolah agama rendah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor. Boleh dikatakan tidak ada kerja rumah dari sekolah kebangsaan kerana anak-anak sudah terbeban dengan sekoleh rendah agama.

Anak-anak sekolah jenis kebangsaan Cina punya waktu yang banyak untuk lebih mendalami apa yang dipelajari di sekolah termasuk latihan sukan. Bukan sahaja guru-guru membekalkan kerja rumah untuk memantapkan pemahamannya, malah ada waktu lagi untuk pergi ke tuisyen pendidikan seni. Kalau tuisyen pendidika seni pun dijenguk, tuisyen bahasa Inggeris, matematik dan sains jangan ceritalah. Inilah satu etnik di Malaysia yang boleh dicontohi tanpa rasa cemburu dan malu.

Dengan sejujur-jujurnya, apa yang anak-anak Melayu dapat selama enam tahun bersekolah agama pada setiap petang sehingga ada kompromi tiada kerja sekolah di rumah daripada sekolah kebangsaan? Saya belum menemui hasil penyelidikan mengenai baik buruknya sekolah dua sesi ini yang sebenarnya hanya sesuai pada zaman penjajahan.

Apabila anak-anak bersekolah menengah, adakah ilmu dan akhlak anak-anak Melayu Selangor lebih baik daripada anak-anak Melayu Pahang? Di Pahang tidak ada trend sekolah agama sebelah petang. Hal ini amat kontradik antara Selangor dan Pahang.

Namun dengan pemerhatian dan pengamatan jujur, masalah remaja Melayu di Selangor dan Pahang tidak ada bedanya. Jika lumba motor dalam kalangan remaja sekolah menengah ada di Pahang, sama juga di Selangor. Kalau di masjid-masjid Pahang suasana bising sewaktu khatib berkhutbah, sama saja keadaan di Selangor. Jika remaja-remaja Pahang tidak faham apa maksud bacaan dalam solat dan doa-doa yang dilafaz, sama saja dengan remaja-remaja di Selangor.

Saya suka kalau ada yang tersentak dengan tulisan ini dan mahu membawa ke pengetahuan umum. Biar sesuatu yang kita lakukan dengan korban masa, tenaga dan wang dinilai seadil-adilnya. Jangan meneruskan kerja-kerja berdasarkan retorik dan persepsi. Dalam dunia sudah banyak universiti dan begitu banyak orang ada ijazah, sangat memalukan jika sandaran-sandaran abad ke-18 masih digunakan.

Buat sementara saya berpendirian, cukuplah pendidikan akidah dan ibadah di sekolah rendah kebangsaan, kemudian dibawa ke sekolah menengah. Saya sudah melihat isunya bukan ilmu akidah dan ibadah, tetapi sikap dan persepsi yang dianut orang-orang Melayu.

Letakkanlah apa material atau teknologi yang terbaik dalam semua bidang kehidupan, jika sikap dan pemikiran masih kuno selama itulah sikap malas dan takut diwariskan kepada generasi seterusnya. Kata orang, biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya.

Namun, di balik itu etnik Cina begitu cekap membaca perubahan zaman dan mengaplikasikan modal insan mereka untuk menguasai suasana zaman. Sedarkah figur-figur Melayu? Janganlah taksub sangat dengan politik tu… cukuplah!

Atau ada orang belajar agama bertahun-tahun kemudian meleret-leret bercakap hal akidah sehingga memerangkap orang awam dalam bab tuduhan sesat dan kafir. Ini sajakah yang mampu dilakukan orang yang mengaku ada ilmu agama. Kalau etnik Cina, sudah lama puak seperti ini dimasukkan dalam bakul sampah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan