Halaman

Rabu, Mac 11, 2009

MENGAJAK orang menjadi kaya

TIDAK banyak ulama atau ustaz membicarakan ekonomi atau bagaimana membangun ekonomi diri, keluarga atau Negara. Asal namanya ustaz dan ulama, dan membuat ceramah di masjid, maka kitaran bicaranya soal ibadah dan akidah. Kemudian urusan akhirat diperjelas untuk hadirin. Akhirnya agama itu lebih dilihat urusan ibadah khusus, soal dosa dan pahala, serta nasib-nasib di akhirat sana.

Tidak pasti mengapa topik ekonomi tidak menjadi pilihan untuk dibentang kepada khalayak sebagai kuliah Maghrib dan Subuh. Adakah penceramah menganggap ekonomi jauh daripada ajaran asas Islam atau mereka tidak menguasainya.

Kalau ada orang mengatakan ekonomi bukan isu dalam Islam, silap besar. Perhatikan saja dalam Rukun Islam, ada pembayaran zakat dan mengerjakan haji. Pembayaran Zakat ini adalah ekonomi, kerja-kerja mendapatkan wang untuk keperluan peribadi dan masyarakat. Zakat hanya diwajibkan kepada yang mempunyai harta-harta yang cukup untuk dinilai, 2.5 peratus daripadanya akan dibayarkan zakatnya.

Kadang-kadang orang memanipulasi frasa ayat ‘hanya diwajibkan’ jika mempunyai harta yang cukup haul. Ahaa, kalau hartanya tidak cukup haul maka tidak wajib berzakat. Ahaa, maka tidak apalah tidak cukup haul hartanya untuk dizakat! Pemikiran sesat dalam menafsir kehendak ajaran Islam melalui Rukun Islam. Mereka dirasuk untuk mengatakan ‘tidak apa kerana tidak cukup haul’.

Jika Zakat itu salah satu Rukun Islam, maka wajiblah muslim membayar Zakat setiap tahun untuk sempurna menjadi muslim. Ertinya Islam sangat menggalakkan muslim bekerja kuat untuk menambah kekayaan supaya dapat membayar Zakat yang menjadi rukun itu. Kerja keras sehingga dapat membayar Zakat itu wajib. Wajib!

Prinsip membelanjakan harta di jalan Allah seperti Zakat ini ialah semakin banyak berzakat maka semakin bagus dan kian hampir kepada taqwa. Kalau kian malas bekerja dan kian ‘bolos’ daripada kewajiban zakat maka kiat jauh daripada taqwa. Maka minda membangun ekonomi umah patut digerakkan dari mimbar masjid, bukan hanya dari dewan perniagaan dan balai raya saja.

Pada saya kebanyakan ulama, ustaz dan ustazah yang mendominasi penyebaran ilmu Islam bukan daripada yang kaki niaga atau faham budaya ekonomi. Kebanyakan mereka bekerja makan gaji dengan majlis agama, jabatan agama dan menjadi guru di sekolah-sekolah kerajaan dan swasta. Pendidikan utama menjadi pendakwah rupanya bukan termasuk dalam membangun ekonomi perniagaan.

Akhirnya berpuluh-puluh tahun golongan agama boleh dikatakan buta ekonomi, tetapi pandai mengatakan hukum-hukum riba dan balasan dosa neraka. Kalaulah mereka ada aktiviti perniagaan, tentu mereka akan mendorong khalayak di masjid untuk sama-sama berdagang dan mencari kekayaan kerana memang muslim diwajibkan membayar sebanyak mungkin Zakat atau bersedekah. Tidak cukup sekadar mengatakan Rasulullah dahulu tidak makan gaji, tetapi berdagang. Itu retorik berpuluh-puluh tahun, buat sedap telinga mendengarnya. Pemikiran dan gerak kerja ke arah dunia dagang, nahee…

Sila baca pakej rangsangan RM60 billion kerajaan untuk menjana ekonomi dalam zaman paceklik ini.
http://malaysiakini.com/news/99885

Tiada ulasan:

Catat Ulasan