Halaman

Selasa, Mac 03, 2009

MENANTI Darul Hadis

GERAN satu juta ringgit telah diluluskan untuk penubuhan sebuah institusi hadis yang dinamakan Darul Hadis. Melihat informasi dalam media tampak satu gagasan baik. Ertinya kelak, Darul Hadis bakal menjadi satu pusat pengumpulan semua hadis dari seluruh dunia.

Jika terjadi kelak, maka masyarakat Islam di Negara ini dianggap sudaah bersedia menerima apa juga informasi berkaitan hadis. Hal ini penting kerana hadis-hadis ini merupakan sumber hukum kedua selepas alquran. Satu lagi, hadis merupakan sumber sunah nabi. Sukar diterima akal suatu amalan sunah jika tidak disandarkan kepada dalil alquran dan hadis.

Memiliki Darul Hadis mesti disertai pemilikan ahlul hadis. Mungkin kelak akan muncul para penilai hadis yang hebat seperti albani dan Yahya bin Main. Oleh itu tidaklah setiap kali pakar hadis, maka kiblatnya dunia Arab. Tambahan pula Islam sudah berusia lebih 700 tahun di Nusantara dan Indonesia sendiri merupakan negara yang penduduk Islamnya paling banyak di dunia. Maka wajar Islam yang terasnya alquran dan sunah fokusnya dialih sedikit ke Nusantara.

Tentulah dengan tertubuhnya Darul Hadis maka ilmu penilaian hadis turut berkembang. Tidaklah seperti zaman sekarang ini yang takut sangat hendak membicarakan mana hadis yang sahih dan daif atau palsu. Apabila ada ulama yang prihatin dan cuba membicarakan salahnya mengamalkan hadis palsu, disindir-sindir pula.

Pada masa depan nanti tentunya apabila sudah dihadapkan timbunan kitab hadis, tidak lagi ada orang yang yang membuat tuduhan pelampau hadis. Sekarang ini ada golongan yang menuduh orang beramal dengan hadis sahih sebagai pelampau hadis, dahsyat betul. Kehendaknya ialah jangan ikut sangat hadis dalam ibadah, asalkan ada falsafahnya sudahlah…

Begitulah harapan besar umah terhadap kemunculan institusi ulung hadis dalam negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan