Halaman

Jumaat, Mac 20, 2009

APABILA tajdid menerobos masuk

PERLEMBAGAAN Perkara 161 tercatat bahawa yang dinamakan orang Melayu mestilah bertutur bahasa Melayu, mengamalkan adat resam Melayu dan beragama Islam. Maka Islam sebagai pegangan atau sekurang-kurangnya sistem kepercayaan merupakan warisan keluarga nenek moyang. Tidak ada salahnya di sisi Islam, cuma membawa kesan lain seperti budaya taklid yang kuat dalam beragama. Sebagian orang sudah merasa selamat dengan jaminan undang-undang bahawa dirinya Islam, sedangkan ilmu Islamnya tidak cukup.

Budaya bertaklid atau ‘mengikut tanpa soal jawab’ ini membawa kesan lain pula seperti malas belajar dan hanya mengharap panduan para tok guru agama. Tanpa tok guru, seakan-akan hilanglah panduan beragama. Tok guru pula dianggap sempurna pengetahuan agamanya sehingga orang yang bertaklid patuh 100 peratus apa saja yang dikata tok guru atas nama agama. Dalam kalangan pentaklid, kalau tok guru mengajar supaya lepas solat berzikir sehingga 20 minit pun orang patuh. Jika tok guru minta buat kenduri arwah siap dengan hidangan selama 7 hari pun setuju. Kalau semasa kenduri arwah tidak boleh buat sayur yang berkuah kerana dikatakan kubur arwahnya nanti dimasuki air pun ahli keluarga si mati macam lembu dicucuk hidung. Ada keluarga si mati mahu membacakan alquran di atas kubur siang malam selama tujuh hari, maka tok guru pun menyokongnya tanpa memberikan dalil sunah. Ini berlaku, bukan dongeng!

Budaya bertaklid ini sangat berlawanan dengan maksud firman Allah dalam surah al-Isra ayat 36 bahawa Allah melarang sesiapa melakukan amal tanpa pengetahuan atau ilmu. Maka difahami bahawa mempelajari Islam dengan pemikiran kreatif dan kritis itu wajib. Tanpa pemikiran saintifik memahami kandungan alquran dan sunah, hasilnya seperti pemahaman lembam juga. Islam ditegakkan dengan hujah, dalil alquran dan sunah, bukan dengan sangkaan dan sandaran peribadi seseorang tok guru.

Memang dalam budaya Melayu antara orang yang dianggap penting ialah Tok guru dan bilal. Ada tok guru mengambil kesempatan daripada kebodohan bertaklid ini untuk membina status sosial dalam masyarakat. Sebagai manusia biasa imam pun mahu penghormatan sosial, maka seronoklah apabila cakapnya dipatuhi dan dia sentiasa diraikan oleh semua orang dalam komunitinya. Antara sebab munculnya ajaran pelbagai tarekat yang memuja tinggi tok gurunya dengan ajaran agama rekaan (tersasar daripada alquran dan sunah) adalah kerana kebodohan bertaklid ini.

Apa yang berlaku sekarang? Dengan perkembangan ilmu dan kaedah pemikiran saintifik, budaya bertaklid kepada tok guru sudah tercabar. Semakin banyak orang berpendidikan berteraskan pemikiran saintifik, maka semakin banyak mereka menjauhi budaya taklid dalam agama. Semakin banyak yang meninggalkan budaya taklid, semakin luntur pemujaan peribadi tok guru atas nama agama. Biasa kedapatan orang berpendidikan begitu kritis dengan amalan agama. Mereka mahu melihat dalil.

Maka kini sedang timbul keresahan dalam kalangan elit ahlul taklid. Mereka mendakwa munculnya gerakan baru dalam agama yang dikatakan tersasar daripada ajaran Islam. Gelombang aliran tajdid ini banyak dalam kalangan golongan berpendidikan tinggi dan professional seperti tidak dapat dibendung dengan ledakan kaedah penyebaran maklumat melalui internet.

Pandangan-pandangan tajdid yang berteraskan alquran dan sunah sebagiannya berlawanan dengan pemikiran berkurun aliran tradisional. Di sanalah berlaku pertembungan aliran pemikiran. Namun kebanyakan tokoh agama masih ragu kemampuan orang Islam (Melayu) menerima ledakan maklumat dalam beragama. Inilah padahnya apabila mereka menyuburkan budaya taklid berkurun-kurun, dan apabila diuji dengan ledakan maklumat, terkapai-kapai mencari perlindungan kuasa dan undang-undang.

Pelajarilah sejarah Eropah, Asalnya dengan penciptaan mesin cetak tahun 1447, elit Kristian enggan percaya budaya bertaklid dalam Kristian dalam bahaya. Nah, apabila maklumat diedarkan sebanyak mungkin melalui mesin cetak, berlakukan penyoalan kepada elit-elit Kristian. Di Malaysia pun sedang berlaku gelombang pemikiran saintifik yang mencabar aliran taklid. Dalam sidang Parlimen baru-baru ini sudah terserlah aliran pemikiran saintifik mencabar pemikiran lama dalam Pas. Untuk rekod, Pas asalnya parti politik yang hanya dikuasai oleh mereka yang berfikiran tradisional lepasan institusi pondok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan