Halaman

Rabu, Februari 04, 2009

TERLEPAS wang seribu ringgit?

BARU_baru ini saya membaca keluhan seorang dalam akhbar mengenai dirinya ditipu pemanggil yang mengatakan nombor telefonnya memenangi hadiah wang yang banyak. Dan banyak lagi luahan itu dicatat dalam akhbar sebagai peringatan bersama. Saya tidak terkecuali daripada mengalaminya. Maka nikmatilah cerita saya pula.


PADA jam 1.50 sore tadi telefon saya menerima panggilan yang nombor pemangilnya dirahsiakan. Setelah berhello dua kali pemanggil menghentikan percakapan, putus. Dua minit kemudian ada panggilan daripada nombor +10707, suara pemanggilnya lelaki berbicara gaya orang Indonesia.

Pemanggil tanpa memperkenalkan dirinya terus memberitahu yang kartu sim nombor telefon bimbit saya memenangi wang seribu ringgit. Dia memberitahu syarikat celcom telah memilih nombor saya dan meminta saya menyatakan nombor akaun MBB untuk pemindahan wang seribu itu.

Apabila saya tanyakan siapa yang sedang bercakap dengan saya, dia memberitahu namanya Haji Abdul Latif, tetapi telornya betul-betul Indonesia. Asalnya saya menduga penggilan dari Indonesia kerana nombor telefon saya terpampang dalam blog ini. Ketika sedang berbual, saya dapati seperti ada gangguan suara-suara lain.

Kemudian Haji Abdul Latif ini ingin kepastian apakah saya orang Indonesia. Saya pasti dia terduga saya orang Indonesia kerana saya juga bertutur Melayu telor Indonesia. Lalu saya katakan saya tinggal di Malaysia. Ketika Si Haji ini masih meminta nombor akaun bank, saya katakan agar menghantar berapa banyak wang kepada saya melalui cek. Dan saya sedia memberikan alamat untuk tujuan itu.

Ada lagi gangguan seperti penasihat-penasihat kepada Si Haji ini. Kemudian belum sempat untuk saya berikan alamat untuk mendapat cek percuma, Si Haji memutuskan bualan. Ini cerita betul dan saya memang seronok dapat menjengkal muka manusia goblok, walaupun saya ‘melepas wang seribu ringgit’! Kadang-kadang orang goblok memang melucukan.

Kepada pembaca, jangan sesekali percaya anda menang wang kerana tidak ada mana-mana pihak akan menyerahkan wang begitu banyak kerana nasib baik anda. Maka jangan berikan nombor akaun bank anda kerana mereka mahir untuk menyedut wang yang sedia ada dalam akaun bank anda.

Boleh buat seperti saya untuk meminta pihak itu menghantar wang dalam bentuk cek. Namun jangan berikan alamat rumah anda, sebaliknya berilah alamat rumah rakan atau saudara yang jauh-jauh ratusan kilometer. Manalah tahu betul malaikat menyamar untuk memberi wang dari langit, bertuahlah! Kalau bimbang dia akan mencari kita, kan kita tidak tinggal di alamat berkenaan. Namun jika sejak awal pemanggil tidak mendedahkan nombor telefonnya dan tidak memperkenalkan dirinya terdahulu, itulah sang pembohong sedang bekerja!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan