Halaman

Ahad, November 09, 2008

DIBERI baju wahabi

JIKA sesiapa memilih pendirian dalam beragama yang tampak berbeda dengan amalan kebiasaan masyarakat, bersedialah untuk dilabel sebagai ‘wahabi’. Kalimah wahabi itu diwarwarkan semata-mata untuk memberi wajah busuk dalam beragama dengan tujuan besarnya agar tidak melakukan hal-hal yang dilabelkan wahabi.

Penulis pernah mencatat dalam forum sebuah web proparti politik yang membincangkan sunah solat Jumaat. Apabila penulis menyatakan bahawa berdasarkan sunah Nabi Saw dan pandangan Imam Syafie (tentulah pandangan Syafieyyah) yang azan Jumaat itu hanya sekali sahaja, maka dengan pantas pendirian penulis dilabel wahabi. Tujuannya hanya supaya para pembaca menolak saranan penulis sekalipun hal itu merupakan prinsip Imam Syafie!

Kebanyakan yang cepat membuat onar dengan perkataan wahabi, tidak perdulikan mengenai hujah alquran dan sunah. Kalau sahaja ada sekumpulan manusia bersolat Eid di lapangan, iaitu bukan di dalam masjid, pastilah akan dikatakan kumpulan wahabi.

Maka telah biasa didengar umpatan seperti, “jangan dengar cakap orang ini, dia wahabi” atau “itu orang wahabi, hati-hati berkawan dengannnya”.

Inilah antara hujah beragama yang diajarkan kepada masyarakat oleh sesetengah pihak. Penulis bukan marah atau tidak setuju jika fahaman wahabi mahu dihapuskan. Pendirian penulis ialah mana-mana fahaman beragama yang berlawanan dengan alquran dan sunah wajib dihalang daripada merasuk minda umah. Oleh kerana umpatan mengatakan wahabi itu salah dan wajib dijauhi, maka menjadi kewajiban para pengumpat untuk membuktikan tuduhan itu berdasarkan alquran dan sunah. Jika mereka gagal membawa hujah, maka jadilah fitnah dan berdosa pula di sisi Allah.

Misalnya, jika penulis mengatakan azan Jumaat itu patut sekali sahaja, bukan dua kali sebagaimana semua masjid (kecuali di Perlis) kerana beralasan contoh pada zaman Nabi, Abu Bakr, Umar dan Ali, kemudian disahkan pula oleh Imam Mazhab Nusantara iaitu Imam Syafie, maka jika hendak menolak saranan ini wajiblah membuktikan bahawa azan sekali tidak berlaku pada zaman nabi dan para sahabat itu. Buktikan juga bahawa kata-kata Imam Syafie dalam kitab Al-Umm itu palsu. Jika sudah dibuktikan begitu, barulah dikatakan pendapat penulis (juga yang pendirian sunah) dikatakan wahabi dan wajib dijauhi.

Penulis pernah diugut oleh seorang yang mendakwa cerdik kerana mempersoalkan kenduri arwah berkirim pahala kepada arwah. Dengan pantas dia menuduh penulis menjadi ejen wahabi yang sesat. Saya balas emelnya dengan meminta bukti daripada alquran dan sunah sahnya amalan yang merugikan ekonomi umah itu. Kosong, tidak ada balasan. Apabila saya menyatakan sejumlah ayat-ayat alquran yang membawa maksud bahawa berkirim pahala kepada arwah tidak berguna di sisi Allah, dan meminta dijelaskan sama ada adakah ayat-ayat itu bukan wahyu atau ertinya tidak sebagaimana yang penulis fahami, kosong juga tiada jawaban! Namun dia cukup bernafsu untuk melabel penulis sebagai wahabi.

Maka setakat ini begitulah, umpatan bahawa itu dan ini wahabi, dan wajib dijauhi, sebenarnya tidak dapat dibuktikan secara ilmiah. Seruan-seruan kosong itu semata-mata untuk mempangaruhi minda kosong umah yang cukup sensitif dengan istilah ajaran sesat. Kalau saja didengarnya ‘wahabi sesat’ mereka akan bingkas bangun konon sanggup mati syahid. Jika ditanya apa itu ‘wahabi’, dia akan melarikan diri.

Slogan memusuhi nama wahabi akan terus berjaya selagi cara umah beragama masih mengharap 100 peratus daripada luahan dan tafsiran seseorang, tanpa ada daya melihat maksud alquran dan sunah. Mudahnya, apa pun serangan terhadap usaha tajdid atau gerakan mahu kembali kepada ajaran alquran dan sunah akan berjaya jika minda umah tidak digalakkan berfikir.

Kerap orang politik sebelah lain berkata, pihak yang dimusuhinya suka jika rakyat tolol supaya mudahlah rakyat dibohongi untuk kepentingan peribadinya. Ahh…, sama juga dengan harapan umah terus beku mindanya dengan niat kepentingan nama dan ekonomi (makan percuma pada malam-malam tertentu) oleh sesetengah nama agamawan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan