Halaman

Khamis, November 20, 2008

DAKWAH kritik tetap ada

APAKAH yang dikatakan sensitif dan tidak dapat dibicarakan di khalayak? Sensitif ini merupakan hal yang menyentak perasaan dan menyebabkan si pendengarnya terasa dipersalahkan. Sebagai contoh, jika berhadapan dengan seorang yang badannya gempal atau perutnya gendut dan kita berbicara mengenai kesan-kesan buruk pemakanan, orang berkenaan akan tersinggung. Maka, kepada mereka hal pemakanan sudah menjadi isu sensitif.

Ada waktunya isu yang dibawa tidak sensitif kepada sesetengah pihak tetapi sensitif kepada pihal lain. Cerita-cerita sesama orang kaya dengan gelak tawa biasa saja, tetapi mauduk merena ada yang sensitif kepada pihak miskin. Begitu juga sebaliknya.

Prinsip Islam dan sebagaimana contoh dakwah Rasulullah sangat jelas, bahawa amal makruf dan nahi munkar melewati sempadan sensitif. Jika hanya tidak mahu memasuki zon sensitif atas alasan tidak mahu menimbulkan konflik, Rasulullah patut orang pertama untuk tidak mengkritik akidah sesat Arab Jahiliyyah.

Pembicaraan kritik dakwah Rasulullah itu meliputi hal tauhid, ekonomi dan sosial. Kalaulah metod dakwah Rasulullah tidak memasuki zon kritik di Makkah, maka pasti kehidupan orang Islam (agaknya cuma beberapa orang saja) terus aman tanpa gangguan. Kerana ada dakwah kritik maka berlaku penggempuran secara terancang oleh kaum Arab musyrikin Makkah terhadap Rasulullah dan umat Islam di Makkah.

Orang Arab percayakan Allah tetapi membuat sembahan-sembahan lain yang dianggap tuhan dan berkuasa. Hal ini akidah yang sesat dan Rasulullah kritik, sekalipun ini isu yang sangat sensitif. Kerana kritikan itu masyarakat Arab yang asalnya sangat memuliakan Rasulullah dengan gelaran ‘al-amin’ telah berubah dengan memberi gelaran ‘orang gila’. Kalau zaman sekarang dapatlah gelaran ‘mangkuk ayun’.

Dakwah kritik ini sebenarnya mudah diterima sebagai kritikan yang sah apabila ditujukan kepada amal-amal yang dilakukan oleh golongan bukan agama. Misalnya, penjawat-penjawat yang terlibat dalam penguatkuasaan atau kepentingan dalam pengurusan, kemudian mereka tersasar melakukan rasuah. Kritik kesalahan rasuah kepada mereka tidak dipertikaikan termasuk oleh yang terdakwa rasuah sendiri.

Mengkritik kaki-kaki judi nombor ekor dan pergaulan bebas lelaki-perempuan juga berjalan dengan baik kerana umum tahu perbuatan itu salah. Kalau ada sanggahan pun barangkali mempersoal kewibawaan si pendakwah yang mengkritik penjudi dan kaki nafsu itu seperti “kamu pun buat juga, jangan cakaplah….”

Melakukan dakwah kritik kepada orang berkuasa banyak risikonya seperti yang dihadapi oleh Rasulullah. Contoh mudah apabila seorang isteri mengkritik suaminya yang tidak menunaikan janji berhenti merokok, suami mungkin memberi hadiah penampar jepun!

Antara yang susah dan kontroversi melakukan dakwah kritik ialah terhadap golongan agama atau kritikan perkara agama. Umum membuat kesimpulan bahawa amal yang dilabel agama sama ada kategori sunat atau wajib adalah kudus. Misalnya jika ada 100 ribu orang dalam sebuah stadium melakukan zikir beramai-ramai sehingga kepala mereka terhangguk-hangguk, umum menerima dalam skop kekudusan beragama. 100 ribu manusia itu dengan pemimpin zikirnya juga dianggap imej manusia kudus.

Kritikan dalam bab agama lebih disifatkan sensitif. Bayangkanlah apabila hal-hal yang dianggap kudus atau suci dikatakan salah atau menyalahi sunah Rasulullah. Oh, jadi gawat. Itulah antara sebab para ustaz pun tidak mahu terjun dalam dakwah kritik ‘hal agama’. Oleh itu melakukan kritik terhadap perbuatan yang nampak kudus dan dilakukan oleh orang yang dianggap kudus lebih payah berbanding mengkritik segerombolan pelacur di Jalan Bukit Bintang!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan