Halaman

Ahad, September 21, 2008

MEREBUT laungan azan subuh

DALAM tidak sedar, isu laungan azan telah menjadi isu dalam masyarakat yang berkongsi tempat tinggal. Di mana-mana ada masyarakat bukan Islam yang memang tidak memerlukan laungan azan, mereka akan berasa kurang selesa dengan azan itu. Sebab itu di sebagian negara Eropah, ada pemerintah melalui kerajaan tempatan yang melarang azan dilaungkan menggunakan pembesar suara.

Di negara kita lantaran pemerintahnya muslim dan penduduk muslim menjadi majoriti, perasaan tidak enak penduduk bukan muslim kurang disuarakan. Sebenarnya mereka juga sedar bahawa azan sudah menjadi satu rutin hidup beragama masyarakat muslim sejak ratusan tahun. Namun sejak manusia mula mengenal yang dinamakan hak-hak asasi, mulalah mereka berfikir akan hak untuk tidak diganggu masa tidurnya dengan laungan azan subuh itu.

Masyarakat muslim perlu melihat dengan jujur dalam isu ini. Penulis masih ingat catatan yang diberikan oleh Datuk Ismail Ibrahim sewaktu masih menjadi Pengarah IKIM dalam kolumnya di akhbar hujung minggu. Beliau menceritakan telah dihubungi oleh oleh seorang bukan Islam yang mengadu keluarganya rasa terganggu dengan bunyi bacaan alquran yang kuat dan lama dari sebuah masjid. Kemudian Datuk Ismail menghubungi jabatan agama negeri berkenaan untuk memaklumkan hal itu. Tentulah jabatan agama itu menyampaikan pandangan Datuk Ismail kepada pengurusan masjid berkenaan. Datuk Ismail menambah catatannya bahawa tidak lama kemudian dia dihubungi semula oleh orang yang mengadu hal itu dahulu, dan kini dia mengucapkan terima kasih kerana sudah selesa dan berpuas hati tanpa gangguan berkenaan.

Cerita yang kedua: Pada bulan Ramadan lebih 10 tahun lalu di sebuah perkampungan Felda, ada anak muda yang membaca alquran sebagai tadarus Ramadan menggunakan pembesar suara. Suara mengajinya menjadi lantang dan lama pula sehingga larut malam. Penduduk sekitar akhirnya merungut dan menjadi kesal. Mereka bukan kesal orang bertadarus, tetapi suara yang dipancarkan ke luar surau sehingga mengganggu masa istirahat waktu malam.

Cerita ketiga: Suatu waktu penulis menziarahi keluarga yang baru menerima kelahiran bayi. Kebetulan hari itu khamis malam Jumaat. Rumahnya betul-betul dihadap surau perumahan berkenaan. Selepas habis solat Maghrib, bacaan yassin dan tahlil yang dibaca dalam surau sangat bising dan tidak menyelesakan kepada kami dalam rumah kerana pembesar suaranya betul-betul menghadap rumah keluarga ini. Rupa-rupanya hal ini rutin, termasuk kalau ada apa-apa ceramah agama yang mesti suara ceramah itu akan diumbarkan ke udara, bukan hanya dalam surau berkenaan.

Cerita keempat: Dua tahun lalu penulis mendengar ceramah agama dalam sebuah surau. Salah seorang antara kami menanyakan hal masjid-masjid yang menguatkan bacaan alquran sama ada daripada CD atau bacaan langsung qari sebelum azan hari Jumaat. Rupa-rupanya ustaz berkenaan serba salah untuk menjawab boleh atau tidak. Ustaz itu mengakui bacaan yang dikuatkan telah mengganggu jemaah yang beriktikaf seperti solat sunat dan berzikir, tetapi dia juga merasakan perlunya suara membaca alquran dikuatkan sebagai tanda kemeriahan sebelum solat Jumaat! (Penulis geleng kepala dengan jawaban ustaz ini).

Penulis menurunkan sahaja pandangan Datuk Ismail Ibrahim dalam hal ini yang menepati sunah.

Pertama: Azan mesti dilaungkan dengan menggunakan pembesar suara sekalipun dari masjid yang ada jiran-jiran bukan Islam.

Kedua: Apa-apa juga suara seperti bacaan solat, bacaan alquran, tahlil dan ceramah tidak boleh dikeraskan ke udara kerana akan membawa gangguan kepada penduduk setempat. Tambahan pula bacaan-bacaan itu bukan suatu yang diperintahkan untuk dilaungkan dengan kuat.

Sebenarnya beberapa tahun lalu isu bacaan alquran dan ceramah dari masjid yang dikeraskan sudah disuarakan oleh penduduk muslim sendiri dalam media. Memang masyarakat muslim pun resah dengan situasi ini, namun serba salah untuk menyuarakan. Kalau mereka menyuarakan keresahan ini, kelak akan dianggap sebagai antibacaan alquran. Isu ini sangat sensitif dan bisa dipergunakan untuk membangkitkan emosi sesetengah pihak.

Sebab itu penulis mengajak semua pihak khasnya pengurusan masjid dan surau jujur dan ikhlas dalam melihat isu laungan azan dan bacaan alquran. Pengurusan masjid tidak perlu sama sekali dalam syok sendiri dan menganggap apa yang dilaksanakan sangat betul dan orang lain wajib menerimanya atas nama agama. Soal laungan azan dengan pembesar suara memang jelas, tetapi melaungkan ceramah, bacaan alquran, yasin dan tahlil bukan suruhan mana-mana nas atau pentadbiran agama. Maka apabila sudah ada rungutan masyarakat, perkara yang tidak menjadi perintah agama mesti dinilai semula baik buruknya.

Islam itu menandakan sejahtera, maka para aktivisnya wajib memberikan bukti bahawa semua ruang lingkup hidup sama ada beribadah dan bermasyarakat akan membawa maksud sejahtera termasuk kepada masyarakat bukan Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan