Halaman

Jumaat, September 26, 2008

KEPERCAYAAN kuno yang syirik

HASRAT adik penulis untuk berumah tangga yang asalnya dilihat sangat mudah tiba-tiba diganggu adat yang menjadi kayu halang. Ini bukan soal menabur beras kunyit atau bersanding dua hari malam, tapi ini sudah menyangkut syirik kepada Allah.

Dahulu semasa penulis hendak berkahwin juga berhadapan hal yang sama tetapi dengan penjelasan penulis, kedua-dua orang tua akur dengan keimanan kepada Allah. Asalnya adat ini penulis sangka hanya ada kepercayaan orang-orang Jawa, tetapi dengan kes adik penulis rupa-rupanya adat syirik ini juga wujud dalam etnik Melayu lain.

Menurut kepercayaan sesetengah orang berkenaan, tidak bisa dua orang adik beradik berkahwin dalam tempoh setahun. Misalnya kalau si abang sudah berkahwin pada bulan Muharam, tidak boleh ada mana-mana adiknya yang berkahwin dalam mana-mana bulan sehingga tamat bulan Zulhijah. Oleh itu si adik kenalah menunggu datangnya bulan Muharam tahun hadapan.

Apa jadi jika dilanggar? Mereka percaya sama ada anak-anak yang berkahwin atau orang tua mereka bakal mendapat musibah seperti penyakit atau maut dalam tempoh terdekat.

Itulah yang penulis hadapi dahulu apabila adik perempuan penulis berkahwin dahulu dan lapan bulan kemudian penulis hendak berkahwin. Maka orang-orang tua memberi peringatan tentang ancaman adat jahiliyah ini. Sokongan keluarga kepada penulis berjaya melanggar adat ini dan hiduplah penulis dengan isteri, ayah dan ibu pun masih ada sehingga sekarang. Bagi penulis, sia-sialah jika belajar sampai masuk universiti kemudian dalam perkara paling tolol begitu, penulis masih hendak menjadi candu syirik.

Adat ini sudah beratus-ratus tahun dan diketahui oleh pemimpin agama dalam kampung. Masalahnya ialah yang bergelar ustaz di kampung pun menerima adat jahiliyah ini, sebab itu orang awam naik tocang mempertahankan kepercayaan karut ini. Inilah akibatnya apabila hanya menghafal kalimah ‘laa ilaaha illallaah’ beribu-ribu kali tanpa mengetahui tuntutan dalam hidupnya.

Mereka membaca alquran tetapi buta ertinya. Maka kepercayaan kuno juga yang diutamakan, meminggirkan ayat alquran. Perhatikan salah satu antara akidah yang Allah ajarkan kepada manusia melalui para nabi dan rasul, yang merupakan inti utama akidah manusia kepada Allah.


Maksud surah al-Anbiya: 24 “Apakah mereka mengambil tuhan-tuhan selain-Nya? Katakanlah (wahai nabi saw.): Tunjukkan hujahmu! Alquran ini adalah peringatan bagi orang-orang yang bersamaku (Nabi saw), dan peringatan bagi orang-orang yang sebelumku. Sebenarnya kebanyakan mereka tidak mengetahui yang benar, kerana itu mereka berpaling."


Ayat 25 pula surah yang sama: "Dan Kami tidak mengutus seorang rasulpun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya. Bahawa tidak ada tuhan melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.”

Cukuplah peringatan Allah bahawa yang berkuasa hanya Allah, bukan tunggul kayu, adat atau kepercayaan angan-angan manusia zaman sebelum Islam lagi. Kalau percaya adat akan membawa keburukan, itu yang Allah nyatakan mereka percaya ada tuhan-tuhan lain. Muslim telah berikrar: Tiada Tuhan selain Allah, ertinya tidak ada apa-apa kuasa yang menyamai kuasa dan kehebatan Allah. Tinggalkan segala bisikan iblis yang menyuruh manusia syirik dan akan menjadi penghuni neraka.

1 ulasan:

  1. pakai tengok kalender lagi tapi saya pakai hentem aje harinya asal ada wang dan masa

    BalasPadam