Halaman

Selasa, September 02, 2008

BUDAYA Tarawih kita

SEKONYONG-konyong hampir semua masjid dipenuhi manusia pada waktu malam sekarang bermula untuk solat Isyak dan solat sunat Tarawih. Pada waktu subuh juga angka yang hadir berganda-ganda juga pada bulan Ramadan ini. Sesiapa yang selama ini kerap mendatangi masjid dan surau pada setiap waktu tanpa mengira bulan Ramadan atau tidak, akan terasa kelainan dan kemeriahannya kini. Sesiapa yang hanya hadir ke masjid pada malam-malam bulan Ramadan, orang seperti ini tidak dapat merasa perbedaan ketara antara malam bulan puasa dan selainnya.

Saban tahun sejak berpuluh-puluh tahun begitulah, sehingga barangkali sudah menjadi budaya muslim. Mereka hadir ke masjid kerana mahu merebut pahala bersolat Tarawih. Oleh kerana solat sunat ini hanya ada pada bulan Ramadan maka sekaranglah waktunya muslim berduyun-duyun menghadiri masjid. Untuk rekod budaya ini, setelah 15 hari berpuasa di mana-mana juga masjid jumlah kehadiran kian berkurang walaupun jaminan Allah untuk menerima ibadah solat Tarawih untuk sebulan penuh.

Orang ke masjid kerana ikhlas hendak beribadah kepada Allah. Tetapi ada juga kerana naluri kebiasaan atau budaya masyarakat Melayu. Yang solat sunat Tarawih kerana Allah akan sentiasa atau langgeng sepanjang malam Ramadan. Mereka faham bahawa solat itu hukumnya hanya sunat dan bisa saja dikerjakan berjemaah di masjid atau di rumah saja. Orang sebegini tidak teruja dengan kemeriahan manusia awal Ramadan di masjid. Dia akan juga berjemaat solat Tarawih. Dia juga bisa saja pulang ke rumah selepas solat Isyak sebagaimana kebiasaannya (bukan pada bulan Ramadan). Di rumah dia akan melaksanakan solat Tarawih atau solat malam ini sempurna seperti orang lain melaksanakan di masjid-masjid.

Rasulullah sendiri tidak memenuhi solat malam bulan Ramadan itu hanya di masjid. Pengetahuan yang masyhur dalam kalangan kita bahawa asalnya Rasulullah mengerjakan solat sunat ini di masjid dan para sahabat sama solat di belakang Nabi (berjemaah), kemudian pada waktu lain Rasulullah pulang ke rumah setelah solat Isyak dan tidak hadir semula ke masjid. Rasulullah hanya hadir untuk solat subuh. Baginda tahu para sahabat menunggu di masjid seperti biasa, namun baginda Rasulullah menjelaskan solat itu hanya sunat dan bimbang ditafsir sebagai wajib jika baginda sebagai Nabi senantiasa mendirikan solat Tarawih di masjid (sebagaimana kita hari ini).

Hanya yang solat Tarawih kerana menyambut tawaran daripada Allah akan berterusan dan menjaga solat itu dengan baik. Tidak ada perbedaan darjat khusuk untuk solat sunat dengan solat wajib, namun ada beberapa tempat yang tampak berbeda bagaimana melaksanakan solat wajib dan solat sunat ini. Untuk solat Isyak, imam membaca ayat-ayat alquran dengan tartil dan jelas didengar oleh jemaah. Pergerakannya juga sesuai dan tidak tergesa-gesa. Namun apabila solat Tarawih, bacaan imam begitu pantas, termasuk pergerakannnya sekali. Tidak perdulilah untuk memilih lapan atau 20 rakaat, solat adalah ibadah khusus kepada Allah, Rasulullah tidak pernah memberi petanda bolehnya solat sunat dilakukan asal sah dari segi teknikalnya saja.

Memang perkara sebegini sudah kerap diperjelaskan atau yang tidak sesuai dengan sunah sudah dikritik oleh para ustaz dan ulama. Namun kebanyakan ahli masyarakat lebih menerima contoh daripada budaya masyarakat mengenai solat Tarawih. Inilah sebagian kebiasaan yang palsu yang bukan daripada syariat dan sudah menjadi budaya. Budaya itu adalah adat, maka sudah adatnya begitu pada setiap malam bulan Ramadan.

Kelak setelah 20 hari berpuasa kita akan melihat masjid semakin lapang pada saat tawaran Allah semakin besar. Maksud firman Allah dalam surah al-Qadr: 2-5 “Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan (lailatul-qadr) itu? Lailatul-qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan ruh (Jibril) dengan izin Tuhan untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (pada malam itu) sampai terbit fajar.” Budaya Melayu kita, pada saat Allah menawarkan malam terbaik berbanding 1000 bulan, malam-malam itulah masyarakat perlu menyiapkan segala kelengkapan untuk sambutan Hari Raya. Lantaran itulah masjid kian lapang dan tidak pula dikerjakan solat sunat di rumah-rumah. Inilah budaya atau kebiasaan yang palsu.

Benarlah segala jalan hidup adalah ujian daripada Allah. Apabila seseorang mengaku muslim dan mengharap balasan baik di akhirat kelak, Allah akan menguji (surah al-Baqarah:214, al-Kahfi: 7 dan at-taubah:24) sehingga tahulah di sisi Allah apakah lafaz keimanan itu sejati atau hanya satu permainan di bibir.


1 ulasan:

  1. Assalamuialaikum. Saya berminat dengan usaha dakwah tabligh dan berhasrat menyertainya kerana satahu saya jemaah itu mengamalkan sunnah dalam kehidupan mereka. Namun saya ada menonton kuliah Dr Asri Mufti Perlis yang memburukkan jemaah dakwah tabligh itu. Tuan sebagai orang yang faham dengan ajaran yang disampaikan oleh Dr Asri, saya mohon memberi panduan kepada saya samada saya patut mengikuti jemaah tersebut atau tidak. Setakat yang saya tahu, dari segi amalan mereka tiada yang bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah. Kawan-kawan saya yang mengikut usaha dakwah tabligh di kawasan saya, kebanyakannya adalah guru-guru yang cemerlang di sekolah. Sesetengahnya pula di pilih oleh PPD sebagai pakar motivasi kepada sekolah-sekolah. Saya kurang faham keadaan ini bila menonton kuliah Dr Asri. Bagaimana usaha tabligh yang tidak bagus dan banyak amalan sesat itu dapat melahirkan guru-guru yang cemerlang. Untuk pengetahuan tuan, semua guru yang terlibat dengan tabligh di kawasan saya telah mendapat anugerah perkhidmatan cemerlang. Harap tuan dapat membantu saya menangani kekeliruan ini. Terima kasih.

    BalasPadam