Halaman

Sabtu, September 13, 2008

BAGAIMANA melupuskan mercun dan bunga api?

MEDIA mencatatkan Kastam diraja Malaysia merampas mercun (di Indonesia disebut petasan) dan bunga api sebert 25.5 tan bernilai hampir setengah juta ringgit. Itu berlaku di Perak. Rampasan benda yang sama juga berlaku di Kelantan dengan nilai 90 juta ringgit. Di balik kejayaan besar itu, saban malam telinga mendengar dentuman mercun di mana-mana. Hal ini bererti ada sahaja mercun dan bunga api yang sampai ke tangan pengguna sekalipun ada halangan undang-undang.

Di Malaysia memang menjadi satu kesalahan memiliki dan memainkan bunga api atau mercun berdasarkan Akta Bahan Letupan. Namun jika pihak tertentu atau individu mendapat permit atau kebenaran kerajaan, bolehlah bunga api itu dimainkan dengan syarat-syarat tertentu seperti kawalan oleh pihak keselamatan dan pasukan bomba. Sebab itu rakyat dilarang bermain bunga api tetapi pihak yang dizin oleh kerajaan membuat pertunjukan atau pertandingan bunga api. Namun ada rekod pertunjukan bunga api yang katanya dalam kawalan rapi telah mencederakan banyak orang seperti yang berlaku di Sarawak dahulu. Kalau api sudah dimuntahkan dan menuju ke satu arah, apa yang dapat menahannya!

Mengapa mahu bermain bunga api dan mercun pada bulan Ramadan dan awal Syawal? Memang sukar meneliti sejarah permainan ini dengan kewajiban muslim berpuasa. Kalaupun mencari sebab, jawabannya ialah mencari keseronokan. Penulis pernah menempuh permainan bunga api sebelum diharamkan oleh undang-undang. Memang sebagai anak-anak seronok amat kalau bermain bunga api ini. Penulis yakin juga bahawa pihak yang mendapat kebenaran membuat permainan bunga api secara besar-besaran kerana majlis besar juga atas alasan keseronokan. Ada siapa dapat memberi bukti orang bermain bunga api untuk menzahirkan kesedihan dan kepiluan kerana sesuatu musibah?

Dahulu semasa zaman anak-anak, jiran penulis yang sudah menjadi bapa orang juga bermain mercun dan bunga api. Malah pada pagi hari raya laman rumahnya penuh merah kerana kertas mercun! Dia sering memberitahu alasannya ialah setahun sekali. Ayah penulis kata, membakar wang.

Alquran dan sunah tidak pernah menawarkan rasa keseronokan dizahirkan dengan pembakaran mercun dan bunga api. Gembira bagaimana pun, bersyukurlah kepada Allah, perbuatan yang modalnya sangat rendah. Bagi kerajaan pengharaman bunga api dan mercun lebih kepada bahaya kepada manusia dan harta benda, bukan atas faktor permainan itu tidak berdasarkan amalan sunah.

Dalam hal tegahan bermain bunga api ini, isunya sama dengan orang yang merokok. Orang bermain bunga api untuk keseronokan, orang merokok pun untuk keseronokan. Bahaya bunga api besar, bahaya meerokok juga besar. Modal membeli bunga api tinggi, sama juga untuk membeli rokok. Kalaulah pada bulan Ramadan ini diperuntukkan RM300 untuk membeli bunga api, biaya membeli rokok sebulan sahaja sudah antara RM150 hingga RM300! Maka untuk setahun sekurang-kurangnya RM1800 untuk membeli rokok! Yang ganas, setahun RM3600 untuk rokok, harga sebuah komputer riba yang berkualiti tinggi!

Bagaimanakah mercun dan bunga api dimusnahkan oleh pihak yang menyitanya? Ini persoalan besar yang masih menjadi misteri. Kalau kerajaan menyita rokok atau minuman keras, barangan ini masih bisa dilelong atau dijual kerana undang-undang membenarkan kedua-dua barang itu dijual. Mercun dan bunga api yang disita itu, tidak bisa dijual, itu larangan undang-undang.

Andai bunga api yang dikatakan 25.5 tan itu hendak dilupuskan, bagus amat. Namun bagaimana? Untuk dibuang ke laut, pasti mencemarkan air. Menanam mercun juga masih bahaya kemungkinan akan meledak bagai bom, selain ancaman pencemaran tanah pula. Hendak membakarnya, samalah bermain seperti anak-anak pula. Hendak disimpan sahaja di stor, menjadi satu tindakan tidak bijak dan mengancam keselamatan pula. Oleh itu bagaimanakah bahan terlarang ini dilupuskan?

Penulis telah menghantar mesej kepada Ahli Parlimen Kuantan Puan Hajah Fuziah Salleh untuk mendesak kerajaan mendedahkan bagaimana bahan terlarang ini dilupuskan. Weblog Fuziah ialah
http://fiziahsalleh2.wordpress.com .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan