Halaman

Rabu, September 10, 2008

ACARA selepas 11 September 2001

APA signifikannya tanggal 11 September pada saban tahun sejak 11 September 2001, kalau bukan titik tolak permusuhan Amerika dan Barat terhadap Islam. Permusuhan terancang ini sebenarnya telah diduga awal oleh banyak pihak. Bayangkana sahaja sejak 1945 Soviet Union menjadi musuh utama Amerika dalam Perang Dingin, tiba-tiba Amerika sendirian menjadi penguasa dunia. Logiknya Amerika akan duduk di kerusi empuk melihat perjalanan dunia. Tidak begitu!

Memang sesiapa yang sedia faham mengenai politik antara bangsa melihat lompong besar apabila gergasi komunis Soviet Union tiba-tiba lenyap pada tahun 1989. Kemudian satu persatu negara-negara komunis yang asalnya menjadi sekutu Soviet Union membuang komunisme dan mengambil kapitalisme yang dahulunya sangat dibenci. Hal ini yang menyebabkan Amerika kehilangan musuh.

Kehilangan musuh adalah suatu kerunsingan yang besar kepada sesiapa sahaja yang hidup dan kemegahannya disandarkan kepada permusuhan. Dunia mengenal Amerika sebagai kuasa besar kerana menyaingi Soviet Union, dan apabila seterunya sudah lenyap dunia tidak akan melihat Amerika sebagai satu kuasa.

Adikuasa! Betul begitu, tetapi sekadar mewar-warkan kepada dunia Amerika adalah adikuasa sangat membosankan. Samseng kecil-kecilan pun perlukan seteru atau musuh untuk memperlihatkan kehadirannya sebagai samseng. Samseng perlu ada musuh supaya imejnya kekal dalam minda orang banyak. Kalau tidak ada musuh, watak samseng lenyap, dia menjadi tidak samseng. Lalu jadilah dia seperti penjala ikan yang tidak memberi rasa gentar kepada orang ramai.

Lalu Amerika perlukan musuh untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Amerika masih kuasa dunia. Hutington telah awal-awal lagi mengatakan akan berlaku pertembungan antara Barat dengan Islam apabila lenyapnya komunisme. Dan itulah yang sedang berlaku.

Pertembungan Barat dan Islam tidak seronok didengar jika tidak dimulai dengan babak paling hebat. Bolehkah Amerika dengan suka-suka mengebom Afghanistan dan Iraq? Goblok, iblis dan syaitan pun akan marah kepada Presiden Amerika kerana kerja yang ‘betul’ tetapi dilakukan secara bodoh.

Maka Amerika mencipta isu besar untuk memulai pertembungan Barat dan Islam iaitu serangan di WTC pada 11 September 2001! Nah, buatlah plot terbaik untuk memusnahkan WTC asalkan dunia dapat membentuk pandangan bahawa pengganas Islam telah menyerang dan memusnahkan mercu tanda Amerika. Tiga ribu orang mati, tidak mengapa. Bangunan jutaan dolar musnah, lagilah tidak apa. Malulah Amerika kena serang, tidak apa juga. Ini semua modal untuk perjuangan yang lebih besar. Itulah yang sedang berlaku sehingga sekarang.

Rakyat Amerika pasti mendesak kerajaan Amerika membalas dendam kepada pengganas Islam. Sekutu-sekutu Amerika juga pasti akan bersama Amerika dalam peperangan menentang pengganas (sebenarnya Islam). Sebab itu atas alasan Osama Laden ada di Afghanistan, negara miskin itu diserang Amerika. Kemudian atas alasan Iraq menyimpan senjata pemusnah yang didakwa akan jatuh ke tangan pengganas, maka Iraq diserang. Jadilah Afghanistan dan Iraq tanah jajahan Amerika.

Kemudian di mana-mana pun setiap muslim dicurigai sebagai musuh orang-orang Barat. Asal sahaja nama berbau Arab, akan diselidik dan dicurigai. Imej-imej Islam seperti jilbab, janggut dan solat berjemaah menjadi subjek pemerhatian.

Sampai-sampai di Malaysia juga dengan penuh tolol ada orang ngeri dengan tulisan Jawi pada plat kereta dan papan tanda. Malaysia tidak ada rekod pelaksanaan diskriminasi terhadap bukan Islam tetapi Islamphobia yang berkembang seluruh dunia masuk dengan pantas ke dalam minda manusia yang ada asas tidak suka Islam.

Oleh itu jaringan Islamphobia telah dan sedang masuk kemudian meracun sesiapa juga. Kadang-kadang orang Islam sendiri tidak sedar bahawa pemikiran dan tindakannya sudah seperti minda Barat terhadap Islam. Musuh-musuh Islam sangat cekap menyusup dalam tubuh muslim atau organisasi Islam untuk melaksanakan misi peperangan terhadap Islam. Bolehlah ini dianggap zaman fitnah, zaman penuh panca roba Islam.

Kesimpulan ringkas ini ialah Islam itu sebenarnya sangat digeruni oleh Barat, lebih daripada komunisme. Sejak negara-negara komunis runtuh, mana ada sebuah negara Islam yang besar dan gagah teknologi persenjataannya yang mampu menandingi Amerika dan Eropah. Negara-negara Islam lebih dilihat kumpulan negara yang miskin dan mundur. Carilah statistik kemiskinan dunia, jawabnya negara-negara Islam. Catatlah negara-negara yang saling berperang dan bermasalah, jawabnya negara-negara yang penduduknya orang Islam. Dalam begitu Amerika dan Barat tetap melihat Islam sebagai ancaman.

Keadaan inilah yang menyebabkan penduduk yang cerdas di Amerika dan Eropah membuka alquran. Mereka sangat kepingin tahu apa yang diajarkan oleh alquran kepada umat Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan