Halaman

Rabu, Julai 02, 2008

POLITIK yang membebankan

POLITIK ialah institusi yang berkaitan dengan kekuasaan dan pemerintahan. Oleh itu partai politik adalah organisasi yang menggerakkan ahli-ahlinya mendapatkan kuasa. Sebab itulah partai politik bersaing dalam pilihan raya untuk merebut pengaruh dan mahu muncul sebagai pemenang.

Oleh kerana sistem demokrasi menerima kepelbagaian partai politik, maka berlakulah persaingan antara partai-partai politik. Persaingan ini sengit dan menggerunkan. Justeru tidak hairan jika hanya manusia-manusia yang tebal muka dan telinga sahaja yang sanggup mengharungi dunia politik.

Namun kerana dunia moden menagih rakyat terlibat dalam politik, jadilah politik seperti sarapan pagi yang wajib dihirup dan dikunyah oleh sesiapa juga. Itu yang berlaku, dan media menyajikan hidangan politik yang pelbagai. Hidangan daripada sudut yang berbeda-beda pula. Kerana itu, khalayak massa politik juga membentuk perbedaan-perbedaan yang ketara.

Sebenarnya politik kian membebankan minda. Semasa pilihan raya semua minda rakyat diasak dan dipaksa oleh ahli-ahli politik untuk mencintai satu parti politik dan membenci parti politik lain. Dunia politik yang kejam tidak memberi ruang penerimaan sebahagian dalam parti A dan sebahagian daripada parti B pula. Rakyat dipaksa berfikir menerima parti B sebagai benar, maka melihat parti A sebagai salah. Tidakkah itu membebankan?

Habis pilihan raya, cerita pertikaian dan percekokan dalam kalangan ahli politik mengenai siapa akan menduduki jawatan dan apa bentuk pemerintahan. Tidak ada bahan sarapan lain yang dipaksa, pahit-pahit pun wajib dikunyah dan ditelan. Entah berapa banyak ruang befikir rakyat diperah untuk sama-sama menilai kewajaran seseorang tokoh atau menilai janji-janji sepanjang pilihan raya. Tidakkah ini membebankan minda dan membuang masa bernilai rakyat melata?

Jangan marah juga kalau dikatakan dunia politik penuh permusuhan. Amat membebankan jiwa apabila segala pergerakan dan pengucapan seseorang sering dinilai dari sudut politik, kemudian diambil kesimpulan si pulan berada dalam kandang parti mana. Sesiapa yang ingin dilihat bebas dengan menggauli semua pihak yang sedang berpolitik juga terbeban dengan pandangan daripada sudut politik kepartaian. Berziarah ke rumah ahli partai C dikatakan pula bermasalah dengan ahli-ahli partai D. Duduk berbual hal ekonomi atau harga minyak yang naik juga tidak dapat lari daripada diserbu penilaian politik kepartaian.

Di sekolah daripada sekian banyak peristiwa dalam kehidupan, sejarah politik juga yang menjadi subjek utama. Anehnya banyak pula sekatan atas nama ‘tidak boleh berpolitik’ kepada mereka yang berkenaan.

Untuk menjatuhkan mana-mana tokoh politik, pelbagai cerita dibuka termasuk cerita dalam kelambu. Hendak mengatakan itu cerita yang wajib disimpan, media pula mengaitkan dengan politik, maka wajib pula didedahkan kepada umum. Sukar menafsirkan keindahan dan kedamaian dalam dunia politik. Masyarakat yang sepatutnya hanya melihat sepintas lalu mengenai politik diasak dengan unsur suspen sehingga terperangkap untuk sama melibatkan diri dalam perseteruan politik. Apa yang mereka dapat? Kepuasan yang membebankan!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan