Halaman

Sabtu, Jun 07, 2008

TAAT ulil amri

KERAP saya mendengar daripada pemberi tazkirah supaya kita taat kepada Allah dan rasul-Nya. Maksudnya ialah apa-apa yang diperintahkan oleh Allah dan Muhammad Rasulullah ikutlah, dan apa-apa larangan daripada Allah dan Rasulullah jangan ikutlah. Lalu untuk menambah faham khalayak mengenai ketaatan yang mendekatkan kepada darjat taqwa itu, diberikan contoh supaya menunaikan solat, sedekah, berpuasa, berzakat, menunaikan haji dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.

Berbuat baik kepada ibu bapa tentulah daripada maksud beberapa hadis Rasulullah, sehingga diketemukan pesanan rasul itu agar berbakti kepada ibu berkali-kali. Ungkapan klise ialah ‘syurga di telapak kaki ibu’.

Barangkali kerana sudah menjadi budaya pemahaman taat kepada Allah dan rasul itu dilafazkan di masjid dan surau, maka khalayak lebih memahami urusan ibadah khusus sebaik ukuran menjadikan manusia taqwa: darjat paling hampir kepada Allah! Maka jangan hairanlah jika contoh manusia bertaqwa yang diberikan ialah watak manusia yang berjubah, berserban, yang lebih banyak kelihatan di masjid dan banyak sekali solatnya. Tidurnya sedikit kerana pada tengah malam individu itu membuat qiamullail dan siangnya berpuasa sunat. Itu bagus, tapi oleh kerana Islam itu menyeluruh (bukan hanya dalam masjid dan urusan ibadah khusus) maka taqwa itu juga dilihat menyeluruh dan meluas dalam semua ruang kehidupan manusia.

Kalau ditelusuri erti maksud surah an Nisa ayat 59 yang meminta muslim taat kepada Allah, rasul-Nya dan Ulil Amri (pemerintah) bermaksud ketaatan bukan hanya dalam ibadah khusus. Jika Allah mengarahkan muslim taat juga kepada pemerintah, ini bererti ketaatan muslim untuk membentuk taqwa juga dinilai melalui lapangan kehidupan berumah tangga, berpekerjaan, riadah dan pelbagai muamalah.

Tanpa mengabaikan tuntutan ibadah yang wajib dan sunat yang sedia difahami, apa yang dinamakan ibadah umum seperti aktiviti kehidupan merupakan pelengkap kepada kesempurnaan Islam sebagai cara hidup muslim. Maksud ketaatan yang membawa ke darjat taqwa tidak terhenti pada fizikal yang berjubah, berjanggut dan berserban, tetapi melebar bagaimana seorang mematuhi undang-undang atau peraturan hidup yang disediakan oleh pemerintah. Tidak diterima akal seseorang yang kelihatan warak di masjid dan ahli qiamullail tetapi cuai dalam kerjaya dan kerap pula ponteng tugas yang diamanahkan semata-mata untuk menunaikan solat dhuha. Kalau dia faham bahawa hidup sebagai ibadah, bererti setiap langkah sama ada di masjid, ladang atau kedai perniagaannya juga ibadah kepada Allah.

Dengan menunaikan kewajiban ibadah khsusus, seorang akauntan yang jujur, seorang pesawah yang polos sekalipun tidak berjubah berserban dalam hidupnya berhak mendapat penilaian menghampiri taqwa di sisi Allah. Seorang penunggang motorsikal yang mematuhi peraturan jalan raya termasuk memakai topi keledar berhak dilihat lebih taat perintah Allah berbanding penunggang motorsikal yang berserban saja! Pemakaian topi keledar adalah peraturan oleh pemerintah untuk keselamatan rakyatnya, sedangkan serban tidak sekukuh topi keledar. Tidak ada konflik antara serban dan topi keledar. Hanya yang tidak faham sunah akan memilih serban menggantikan topi keledar itu.

Oleh kerana Allah tidak meletakkan semua peraturan kehidupan dunia dalam alquran dan sunah rasul-Nya, maka pemerintah diberi autoriti untuk mengurus negara. Mengurus negara bererti membuat perancangan, melaksanakan dan mengenakan peraturan demi keadilan, kesejahteraan dan apa-apa kebaikan yang tidak lari daripada prinsip-prinsip asas alquran dan sunah. Dengan sebab itu Allah mewajibkan muslim mentaati pemerintah yang secara jelas menetapkan suasana kehidupan yang tidak lari daripada prinsip wahyu. Maka difahami ketaatan dalam hal ini membawa erti pengabdian atau penerimaan perintah Allah sekalipun melalui jalan patuh kepada pemerintahan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan