Halaman

Rabu, Jun 11, 2008

PANDANGLAH yang miskin

APABILA harga minyak petrol dan disel naik memang menjadi isu. Daripada RM1.92 kepada RM2.70 menjadi isu dan tafsiran lain pula. Apa pun perkara sudah berlaku dan sebagai orang biasa tidak banyak yang boleh dilakukan untuk menurunkan semula harga minyak. Kata orang. Hidup mesti diteruskan juga.




Semua yang bersekolah faham kesan kenaikan harga bahan bakar. Kenaikan harga minyak ini bererti kenaikan harga barangan harian lain, sebab barang-barang ini hari-hari naik kenderaan. Kenderaan digerakkan oleh minyak. Kos-kos perkhidmatan seperti tambang bas juga akan naik.

Dipendekkan cerita kenaikan harga minyak akan membawa kesan kejatuhan pendapatan sebenar seseorang, kecuali mereka peniaga yang segera memindahkan beban kenaikan itu kepada pengguna lain.

Umumnya jika sebelum ini seseorang mempunyai lebihan dan dapat menabung RM200 sebulan, kini tiada tabungan lagi untuk meneruskan gaya hidup sebelum kenaikan harga minyak.

Jika ada sebuah keluarga yang sebelumnya hanya hidup ‘paras hidung’, maksudnya pendapatannya sama dengan perbelanjaannya, setelah kenaikan harga minyak keluarga ini akan menanggung belanjawan defisit. Perbelanjaannya melebihi pendapatan. Jika keluarga ini tidak punya ikhtiar untuk menambah pendapatan agar kembali pada hidup ‘paras hidung’ bimbang mereka akan tercebur dalam kancah hutang. Pilihan lain ialah mengurangkan kualiti hidup yang pernah dinikmati.

Kalau kita tidak mudah lupa bahawa semua harta adalah milik Allah dan Dia berhak untuk memberi atau mangambil daripada hamba-hamba-Nya, perasaan gusar kerana kesan kenaikan harga minyak akan cepat mereda. Melalui jalan kemusnahan seperti banjir dan kebakaran, Allah mengambil semula pinjaman harta. Antara cara Allah menyusutkan pemilikan harga daripada manusia ialah dengan merendahkan pendapatan benar, iaitu mengurangkan pendapatan dengan cara kenaikan harga-harga barangan.

Kesan-kesan kenaikan harga barangan yang tentunya ada antara hamba-hamba-Nya jatuh miskin sebagian daripada qada dan qadar ketentuan-Nya. Kenaikan pendapatan pun qada dan qadar-Nya. Maka janganlah cepat melatah apabila ada ulama mengatakan miskin sebagian daripada takdir Allah. Bukalah mata, melihat kesan kemelesetan ekonomi tahun 1998 dan kesan kenaikan harga minyak sekarang. Ada manusia yang tiba-tiba menjadi miskin dan muflis di luar kawalannya. Inilah takdir yang datang. Sebab itulah ayat-ayat dalam alquran yang meminta manusia kaya memerhatikan dan mengambil berat manusia miskin tetap relevan. Pembahagian hasil zakat kepada lapan asnaf yang antaranya orang miskin sebagai bukti ayat-ayat Allah tetap hidup sepanjang zaman. Takdir Allah untuk mewujudkan manusia miskin dan kaya dengan kuasa-Nya tetap ada.

Namun jangan lupa masih banyak keluarga yang tidak terjejas dengan sebarang kenaikan harga barang sekarang. Mereka golongan terselamat daripada ancaman inflasi. Mereka masih meneruskan citra mewah yang selama ini dilalui.

Secara umum sesiapa pun tidak boleh dilarang meneruskan kehidupan mewah hasil usahanya yang bersih atau halal. Cuma ketika berhadapan dengan golongan yang hidup paras hidung atau miskin, membawa watak hidup mewah akan mengguris hati mereka yang kehidupannya tertekan. Sekalipun orang kaya membayar zakat kepada golongan miskin untuk meredakan perasaan dukanya, tetapi hari ini pengagihan zakat sudah dilaksanakan oleh agensi, bukan oleh si pemberi zakat atau si kaya tadi. Oleh itu hubungan peribadi antara si kaya yang memberi zakat dengan si miskin si penerima zakat sudah tidak dirasai.

Bayangkan ketika orang kaya membayar secangkir teh di hotel berharga RM5.00, si miskin terpaksa berpeluh tiga jam mengelap lantai untuk mendapatkan wang harga secangkir teh si kaya. Orang kaya dengan mudah menjadikan makanan sebagai sisa dan sampah kerana berlebihan, kemudian si miskin yang bekerja mengumpul sampah mengalir air mata kerana melihat makanan sudah tersisa dalam tong!

Orang sering memberikan maksud cubaan hidup kepada golongan miskin, walhal kekayaan juga cubaan hidup. Orang-orang kaya yang tidak terjejas kehidupannya pada zaman paceklik ini harap kenang dan rasailah kekelumit perasaan dan naluri hidup golongan bawahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan