Halaman

Rabu, Mei 28, 2008

ISLAM adalah matlamat

Berikut sedutan rencana oleh Dr Mohd Asri http://drmaza.com

Maka, ketika kita berpegang atau beramal dengan mana-mana perkara dalam ajaran Islam hendak pegangan dan amalan itu dibina di atas keimanan yang membawa keikhlasan hanya kerana Allah. Di situlah datangnya rahmat dan keberkatan. Bukan kerana sebarang kepentingan yang mengatasi asas tersebut. Jika tidak agama ini menjadi mainan kelompok yang sentiasa mencari untung dan kesempatan.



Jika agama hanya alat, maka kita lihat bagaimana berbagai ubatan yang dijual pada hari ini yang menggunakan nama agama. Sehingga kononnya ada air ajaib yang dihasil dari tulisan al-Quran atas piring atau pinggan yang jika diminum memperolehi berbagai keajaiban yang jika para sahabah Nabi s.a.w masih hidup pun akan terkejut mendengarnya. Mereka pun tidak pernah mendapat jampi daripada Nabi s.a.w yang seistimewa itu.


Begitulah juga apabila al-Quran dijadikan alat bukan matlamat, maka kita dapati seseorang yang sepanjang hidupnya tidak pernah memperdulikan ajaran kitab agung itu, tiba-tiba apabila meninggal diupah orang untuk dibaca al-Quran di tepi mayatnya. Adakah al-Quran memberikan manfaatkan kepadanya, padahal selama ini dia langsung tidak pernah menghiraukan ajaran dan titah Allah dalamnya? Apakah jika mayatnya mendengar alunan al-Quran yang menyuruh dia bersolat, berpuasa, berzakat, menunaikan haji, amanah, adil, juga larangan berjudi, riba, arak, rasuah, khianat dan sebagainya, dia dapat bangun dari kematian yang telah datang kepadanya untuk melaksanakan semua arahan dan titah perintah itu?


Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w menyebut: “Al-Quran itu boleh menjadi hujah untuk membela kamu, atau untuk menentang kamu” (Riwayat Muslim). Namun, oleh kerana ada pihak yang membuat bisnes dengan ‘melelong pahala’, maka al-Quran menjadi alat untuk mengaut keuntungan, bukan pegangan kehidupan. Maka muncullah dalam masyarakat kita pembekal pahala yang boleh diupah dengan beberapa ribu ringgit yang menggunakan bacaan al-Quran untuk pembikinan pahala. Lalu pahala pun boleh diniaga dan akhirat pun boleh dibeli. Justeru itu Nabi s.a.w. pernah memberi ingatan: “Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).


Begitulah juga dalam pungutan zakat. Kempen ke arah zakat begitu hebat lebih daripada kempen kepada solat. Padahal solat adalah rukun kedua Islam selepas syahadah. Namun zakat adalah fulus, maka berbagai ayat al-Quran tentang dosa tidak membayar zakat pun dikeluarkan. Baguslah. Memang pun kewajipan zakat amat besar.


Namun tujuan zakat bukanlah untuk mengutip harta orang berada, tetapi untuk memastikan tiada jurang kekayaan yang menakutkan dalam masyarakat, untuk membersihkan jiwa, menghapuskan permusuhan antara yang miskin dan yang kaya, untuk memastikan prinsip bantu membantu dalam kebaikan dan taqwa ditunaikan dalam masyarakat.


Maka sepatutnya, bukan dosa tidak membayar zakat sahaja yang patut dikhutbahkan kepada masyarakat, tetapi dosa tidak mengagihkan zakat dengan cara yang betul juga patut diingatkan kepada pihak yang menguruskan. Jangan sampai zakat puluhan atau ratusan juta terkumpul, tiba-tiba cerita si miskin yang menderita masih banyak dan yang menguruskan zakat tidak pula sampai-sampai ke rumah mereka.


Bayangkanlah jika ratusan juta itu diagih secara tepat, apakah masih patut ada muslim yang merempat, tidak bersekolah dan bertukar pakaian? Patutkah ada muallaf yang masih hidup dalam kehinaan? Patutkah badan-badan dakwah masih meminta sedekah? Padahal, yang menguruskan nampaknya sudah ada yang bertukar dan bertambah kereta.


Apakah patut hanya dosa tidak bayar zakat sahaja yang ditonjolkan, sedangkan kita melupakan, atau kurang mengingatkan tentang dosa salah guna kuasa, rasuah, kronisme yang membelasah harta negara untuk kaum keluarga? Padahal kesemuanya dosa dan kesemuanya mengundang ketidakadilan kitaran ekonomi dalam negara. Namun, jika agama hanyalah alat, maka kita hanya ingatkan rakyat apa yang boleh untuk dikaut untung lalu kita tinggalkan apa yang kita rasa tidak untung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan