Halaman

Jumaat, Mei 16, 2008

CATATAN Hari Guru 16 Mei

Berburu di padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagai bunga kembang tak jadi

Hari ini 16 Mei adalah Hari Guru. Maka hari ini merupakan hari untuk mengingat peranan dan pengorbanan para guru. Catatan ini untuk menghimbau dan merakam guru dalam kehidupan peribadi saya. Tidak ada manusia lain secara ‘live’ yang lebih utama untuk digelar guru dalam hidup saya melainkan ayah dan ibu saya. Ayah dan ibu saya bukan guru yang dibayar gaji bulanan untuk mengajarkan sesuatu disiplin ilmu di madrasah atau sekolah. Ayah dan ibu adalah manusia desa dan mencari rezeki dengan jalan tani.

Kalaulah bisa diberikan peratusan penimbaan ilmu, barangkali penerimaan ilmu di sekolah hanya kira-kira 40 peratus dan bakinya yang banyak adalah di luar sekolah. Wajar sangat ayah dan ibu segera dinobatkan sebagai guru pertama.

Ayah dan ibu yang mengajar saya berbahasa, mengenal budaya dan tatakrama kehidupan. Ayah dan ibu yang mengajar dan mengenalkan saya dengan alquran dan apa-apa nama fardu ain. Saya tidak dihantar ke pusat fardu ain atau rumah ustaz untuk belajar agama. Sebab itu sampai saya punya anak, saya mewarisi kaedah yang ayah dan ibu ajarkan. Saya percaya hadis nabi bahawa ilmu yang bermanfaat kepada orang lain akan menjadi harta kepada seseorang selepas kematiannya. Maka saya ajarkan segala ilmu agama yang diperoleh daripada ayah dan ibu kepada anak-anak. Harap anak-anak saya kelak akan menurunkan pula ilmunya kepada anak-anaknya (cicit ayah dan ibu). Dengan itu ilmu itu akan berterusan diwarisi dan bakal menjadi harta yang berguna kepada ayah dan ibu.

Ayah yang mengajar saya bertani, bercucuk tanam di desa dan bendang. Ibu mengajar mengenal ikan sawah dan menangkapnya. Sekalipun ayah dan ibu sering berleter kepada saya, hari ini apa yang dileter dan diamarahkan kepada saya adalah harta buat pedoman hidup. Katakan saya seorang yang pantas berjalan dan sangat prihatin soal waktu, tidak lain kerana saya kerap dileter oleh ibu supaya tidak amalkan membuang masa, melambat-lambatkan kerja. Sampai-sampai sekarang, kalau saya makan dengan orang lain, saya paling pantas siap.

Sampai sekarang saya bukan kaki kedai kopi. Kalau bukan kehendak anak-anak yang mahukan makan di luar pada waktu malam, saya bukanlah manusia yang sengaja-sengaja menjadi ahli kedai kopi. Ayahlah paling keras mengkritik orang duduk-duduk di kedai kopi sejak dahulu, jadi saya tidak tahu bagaimana mahu memulakan untuk duduk-duduk saja sejam dua di sana.

Sebagian besarnya ayah dan ibu memulakan kisah hidup saya begini. Segala ruang untuk saya menjadi manusia dibuka oleh mereka, maka saya terus meneroka sendiri. Moga menjadi ganjaran besar buat mereka.

Saya masuk sekolah 37 tahun yang lalu. Tidak semua nama guru masih saya ingat. Antara guru saya di sekolah rendah ialah Cikgu Rohaizat, Cikgu Ali yang mengajar Bahasa Melayu, Ustaz Abdul Rashid (sudah almarhum), Ustaz Ghazali Hasbullah sekarang mudir Darul Atiq, Cikgu Perumal guru Ilmu Hisab dan Sains, Cikgu Delima Abdullah guru Matematik darjah lima dan enam. Cikgu Hakim guru Bahasa Melayu Darjah Enam. Guru Besarnya ialah Cikgu Thum Ah Kaw yang anak lelakinya sama sebaya dengan saya, Thum Kok Wai.

Di sekolah menengah antara guru saya ialah Cikgu Besiri mengajar Ilmu Perusahaan, Cikgu Halib sekarang tinggal di Kuantan dan aktif dalam Jemaah Tabligh, Cikgu Riduan Atan guru Bahasa Melayu dan Lukisan, Ustaz Aini Arbain, Ustaz Mahyudin, Cikgu Denis Lee guru Sains dan Cikgu Hamzah guru Pendidikan Jasmani.

Prof Awang Sariyan yang sekarang berada di Universiti Beijing pula adalah guru yang sering menghubungi saya lewat emelnya.

Di Madrasah Ittiba as Sunnah (MIS) Kuala Pilah saya bertemu almarhum Ustaz Hasyim Ghani, Ustaz Khairuddin, Ustaz Azhar dan Ustaz Muhammad Abduh. Mereka yang memperkenalkan prinsip-prinsip sunah dan penterjemahan alquran sekalipun waktunya terbatas.

Pada saya ada juga nama manusia yang saya tidak temui secara vis-à-vis tetapi melalui pembacaan bukunya saya mempelajari dan mendapat sesuatu. Melalui karya sastera Hamka, Anwar Ridhwan, Azizi Abdullah, Fatimah Busu dan Arena Wati saya yang tidak terdidik dalam penulisan kreatif berjaya menghasilkan cerpen sejak tahun 1987.

Di alam maya para guru di
www.al-ahkam.net juga adalah antara guru-guru yang memantap pemahaman Islam. Memang tidak bertemu tetapi komunikasi di alam maya tidak jauh bedanya dengan menghadap guru di masjid atau madrasah. Silaplah sesiapa yang mengatakan belajar di internet sebagai belajar dengan syaitan!

Saya terima pembacaan buku-buku sebagai proses pembelajaran. Tidak keterlaluan jika nama seperti YB Abu Urwah dan Dr Mohd Asri ZA juga guru saya. Buku-buku seperti dikaryakan Hassan al Bana, Maududi, Abdul Qadir Audah, Yusuf Qardawi dan lain-lain adalah manusia yang memberi ilmu kepada saya. Mereka adalah guru saya juga.

Sesungguhnya entah berapa ribu buku dan rencana telah saya baca kerana ilmu dan entah berapa ribu manusia yang telah menyematkan ilmu dalam minda saya, secara langsung dan tidak langsung. Yang positif dan negatif semua berguna, sekurang-kurangnya untuk mendapatkan perbandingan. Ya, semua itu menyumbang pembinaan diri dan tidak terhitung lagi. Benarlah firman Allah, kita tidak mampu menghitung nikmat Allah.

Wajar amat mereka dimengerti sebagai guru dan dikenang dalam hayat. Semoga semua mendapat ganjaran di sisi Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan