Halaman

Selasa, Mei 13, 2008

BRAVO Lim Jooi Soon


LIM JOOI SOON bukan nama asing dalam dunia dakwah terhadap bukan Islam. Saya baru saja menghadiri ceramahnya sekalipun agak terlewat kerana mendapat informasi yang kemudian. Di mana-mana pun dia akan menyentak keseronokan muslim (baca Melayu) yang merasakan sudah aman sebagai hamba Allah. Suara yang disampaikan oleh Sdr Lim mengenai kekosongan orang bukan Islam daripada mesej Islam sepatutnya menggerunkan muslim.

Sdr Lim memegang sunah dalam dakwah, iaitu Islam mesti disampaikan kepada seluruh manusia. Di balik itu muslim Melayu seperti menyediakan tempat tersendiri dan bagai tidak perduli dakwah kepada bukan Islam. Tidak boleh disalahkan Sdr Lim kerana hakikatnya Islam di negara ini lebih dibudayakan sebagai keistimewaan Melayu.






Sdr Lim sendiri lebih mengerti budaya masyarakatnya dan kini meneroka pula budaya masyarakat Melayu Muslim. Di sinilah keistimewaan Sdr Lim mengadun kerja-kerja dakwahnya.

Adakah masyarakat bukan Islam tertutup dan sensitif dengan Islam? Sdr Lim mengatakan masyarakat bukan Islam lebih terbuka dan sanggup berbicara Islam dengan muslim. Namun berdasarkan pengalamannya, masyarakat Melayu muslim yang lebih sensitif dan cepat melenting apabila ada pertanyaan daripada orang bukan Islam. Misalnya jika ditanya mengenai mengapa Allah yang Maha Kuasa masih menggunakan malaikat untuk tugas-tugas khas. Dia pernah dipandang sinis kerana bertanyakan hal itu kerana dianggap bermain-main.

Nasihat Sdr Lim seterusnya ialah para muslim wajib memahami kaedah atau metodologi dakwah. Baginya jika hanya menghantar surat dan mengedarkan rencana kepada bukan Islam, itu lebih menimbulkan masalah kerana pihak yang mendapat rencana itu tidak tahu kepada siapa hendak bertanya. Akhirnya mereka akan membuat kesimpulan sendiri. Ini secara tidak langsung akan menebalkan pemahaman salah mengenai Islam dalam kalangan bukan Islam.

Pendakwah mesti bersedia untuk berdialog atau menerima soalan-soalan yang menggerunkan daripada orang bukan Islam. Berdasarkan pengalaman Sdr Lim, jika ada lima peratus sahaja keraguan seseorang bukan Islam terhadap Islam cukup untuk orang berkenaan menolak Islam dan membiarkan saja 95 peratus yang tidak meragukannya. Oleh itu, inlah cabaran yang mesti diterima oleh pendakwah.

Soal bahasa juga menjadi penghalang kepada dakwah terhadap bukan Islam. Ada pendakwah yang rasa megah dapat memetik istilah-istilah Arab ketika menerangkan Islam. Tentu sekali Islam mesti dibudayakan terhadap masyarakat yang menjadi sasarannya. Patut sangat pendakwah menggunakan medium daripada kebiasaan masyarakat bukan Islam untuk membawa mesej Islam.

Menurut Sdr Lim lagi, pendekatan mendakwah orang bukan Islam hendaklah berteraskan akidah Islam supaya mereka dapat membedakan antara Islam dan agama lain.

Berdasarkan keperitan dan susahnya berdakwah kepada bukan Islam ini, tidak hairan banyak yang memilih untuk berdakwah saja dalam kalangan orang Islam. Malah masih ada penceramah yang mengatakan berdakwah kepada bukan Islam masih belum menjadi keperluan pada saat masyarakat Islam kian bobrok dalam banyak hal.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan