Halaman

Jumaat, April 18, 2008

ADUHAI khutbah jumaat

KHUTBAH Jumaat di masjid tadi berkenaan solat, bukan merujuk falsafah solat yang tidak banyak difahami orang. Atau bukan solat sebagaimana yang ditunjukkan oleh hadis-hadis sahih Rasulullah, tetapi pengajaran solat biasa sehingga bagaimana menggenggam jari sewaktu tasyahud awal dan akhir, nak goyang jari atau tidak. Memang, Pak Khatib pun membuat kesimpulan khutbahnya yang diharap menjadi satu pelajaran solat!

Tidak salah pun berkhutbah sehingga setengah jam mengajar solat, minggu depan bab puasa. Minggu satu lagi mengenai berdoa. Sama juga tidak salahnya menulis isi khutbah mengenai kebersihan gigi, bagaimana memutihkan gigi termasuk bagaimana mencungkil sampah di celah-celah gigi. Islam memang menuntut umatnya menjaga kebersihan.

Isu yang sama telah berlaku apabila sebuah masjid bertaraf Masjid Negeri mengadakan ceramah Maal Hijrahnya bertemakan ‘zikir beramai-ramai untuk kemajuan umah’. Kita pun pernah menemukan tajuk kertas kerja mengenai pentingnya tarekat dalam kemajuan negara.

Mungkin mimbar Jumaat yang lain akan mengajar bagaimana memakai serban kepada para jemaah. Maklumlah, semua jemaah adalah lelaki. Bolehlah diperincikan jenis kain apa, berapa inci lebar dan panjangnya serban itu. Lilitan cara Habsyah atau cara Qatar yang patut dipilih oleh jemaah. Satu lagi peranan ekor serban kepada pemakainya!

Semakin banyak universiti dan kolej, semakin banyak anak muda mendalami ilmu di pelbagai pelosok dunia, apabila mereka duduk di masjid mendengar khutbah atau ceramah sekadar itulah isu dan tahapnya.

Pemikir atau penulis khutbah seakan tidak dapat mengesan isu besar kepada masyarakat seperti pendekatan dakwah terhadap bukan Islam. Tidakkah para pemikir di Jabatan Agama dan Jabatan Mufti itu tahu mana akidah yang betul dan salah. Mana agama yang betul dan yang salah. Apa modul mereka kepada orang awam yang bergelumang dengan bukan Islam supaya mesej Islam dapat disampaikan sekalipun hanya sebesar biji sawi?

Apakah saranan atau kaedah paling kreatif yang dihasilkan oleh pemikir atau penulis khutbah untuk mengatasi kegagalan program kitar semula di kalangan umat Islam. Kalau mereka masih tidak dapat melihat isu alam sekitar (yang di dalamnya ada kitar semula) sebagai tidak ada kaitan dengan prinsip Islam, tidak tahulah apa lagi hendak diharapkan untuk mereka membicarakan Islam yang kaffah. Akhirnya di tangan mereka, Islam berkisar mengenai masjid, jubah dan kopiah!

Apa yang pemikir dan penulis khutbah baca, bincang dan cita-citakan untuk 20 tahun dan 50 tahun akan datang mengenai umah? Jangan hampakan umah dengan menghasilkan produk yang reput dan cepat tarikh luputnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan