Halaman

Sabtu, April 26, 2008

ISRAEL di tengah-tengah Arab!


BANYAK antara kita menyebut dan mengakui keganasan negara haram Israel. Media pun saban hari punya berita-berita baru mengenai Israel. Namun tidak banyak antara kita mengetahui di mana letaknya negara yang dibenci umat Islam itu. Ingat, negara Malaysia masih mengekalkan larangan warganya memasuki negara itu, bukan kerana bencikan satu bangsa yang diciptakan oleh Allah. Tindakan negara terhadap Israel lebih semata-mata bantahan keras terhadap pencerobohan dan usaha penghapusan bangsa Palestin dari tanah airnya sendiri.

Tidak banyak yang tahu bagaimana negara Yahudi itu muncul di tengah-tengah dunia Arab. Namun bagi yang kerap mendengar ceramah mengenai Yahudi tentu pernah mendengar penceramah menterjemah hadis nabi mengenai kepulangan kaum Yahudi dari mana-mana pelosok dunia ke satu wilayah itu, Israel!

Pada masa Perang Dunia Kedua (1939-1945), entah disengaja atau tidak terancang, namun diwar-warkan bahawa tentera Jerman telah membunuh lebih enam juta manusia Yahudi atas nama perang. Konon ertinya kerana kebencian bangsa Jerman terhadap Yahudi menyebabkan penghapusan etnik Yahudi dilaksanakan oleh Hitler.



Kesempatan kerana penubuhan negara-negara bangsa selepas PD2 itu, pemimpin-pemimpin Yahudi telah melobi Amerika dan British untuk membina sebuah negara bangsa Yahudi. Rabi-rabi Yahudi berhujah bahawa tanah Palestin (dalam kitab tafsir disebut Kan’an) adalah tanah yang disebut oleh tuhan untuk bangsa Yahudi. Sesiapa yang membaca Bible juga menemukan rombongan bangsa Yahudi dari Mesir memasuki tanah yang dijanjikan tuhan iaitu Palestin.

Dalam alquran dan Bible memang menyebut kemasukan Yahudi ke Palestin, namun sejak zaman Rasulullah (abad ke-7), bangsa Yahudi telah diusir keluar kerana kesilapan dan kesalahan mereka sendiri. Sejak itu tanah Palestin diteroka dan dibangunkan oleh bangsa Arab. Sebab itulah sejak abad itu, bangsa Yahudi bertaburan merata-rata khasnya di Eropah, Russia dan Amerika. Maka dengan cerita ‘holocaust’ yang penuh propaganda itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diperkuda untuk menerima negara Yahudi di dalam negara Arab Palestin.

Ertinya negara Israel itu benar-benar ditubuhkan 100 peratus di atas negara Palestin yang dikuasai oleh bangsa Arab sejak 1300 tahun yang lalu. Perhatikan dalam peta Asia Barat, negara Israel berjiran dengan Mesir, Jordan, Lubnan dan Syria kerana memang itu wilayah bangsa Arab. Sebenarnya tawaran Allah kepada bangsa Yahudi untuk masuk ke Palestin telah ditunaikan oleh bangsa Yahudi zaman Nabi Musa. Maka setelah mereka keluar dari Palestin, maka menjadi hak bangsa Arab pula mentadbir negara itu. Sebab itulah negara-negara Arab dan Islam tidak menerima penubuhan negara Yahudi di atas 100 peratus tanah bangsa Arab.

Perhatikan peta Palestin yang sudah dijadikan negara Israel sejak penubuhannya 1948 hingga tahun 2000! Jika tahun 2000 itu wilayah bangsa Arab Palestin tinggal titik-titik saja, bayangkanlah tahun 2008 ini. Sebab itulah tentara Yahudi itu sewenang-wenang mengganyang bangsa Arab Palestin kerana kini bangsa Arab Palestin sudah tidak mempunyai wilayah khas yang dijadikan kubu.

Berita terbaru bahawa Hamas yang didakwa tidak akan mengiktiraf Israel, juga akan mengkaji pendiriannya jika Israel memulangkan wilayah Arab yang dirampas dalam perang 1967. Kita yang jauh amat dari sejarah dan fisikal Palestin janganlah cepat menghukum Hamas sebagai mengalah kepada Israel, kerana bangsa Palestin sendirilah yang mengerti sejarah dan pengalaman sebenar. Mereka jugalah yang lebih faham tentang masa depan anak cucu mereka.

Mana yang termampu sekalipun doa, kita bergeraklah bersama bangsa Arab Islam Palestin.

AIR lebih mahal berbanding petrol!

ADUH, kaget saya dibuatnya. Bayangkan satu liter air minuman berharga RM3.15 sedangkan petrol untuk kereta hanya RM1.92. Kaget dan terbelakak mata kerana harga RM3.15 untuk hanya air minum bukan air mineral apa lagi itu bukan air zam-zam dari kota Makkah. Kalau saya mendapati harga air itu di Dubai mungkin betul kerana kepesatan kota di padang pasir itu.


Itulah harga air minuman yang dikeluarkan oleh 7-eleven, RM1.00 untuk 320 ml. Itulah harga air minum di sebuah negara yang setiap tahun dilanda banjir besar hingga menenggelamkan bandar dan pekan. Itulah harga jualan runcit air yang dibotolkan, yang terhasil hanya melalui proses penyulingan biasa dengan modal yang jauh lebih murah berbanding proses menyedut minyak dari dalam tanah atau dari dasar laut sana.

Akhirnya di sebuah negara yang terlalu payah mengeluarkan minyak dan harga minyak menjadi penentu jatuh bangunnya sesebuah kerajaan yang memerintah, secara diam-diam harga air minum jauh mengatasi harga petrol. Sekarang terpulangkan kepada pengguna untuk melayan keberadaan air minum berharga RM1.00 untuk 320 ml itu: beli atau biarkan saja……

Jika air minuman itu laku dan syarikatnya meneruskan jualan itu, maka ini satu lagi mercu tanda kebodohan kita dalam melayan harga-harga barang. Agaknya hanya dengan satu demontrasi kenaikan harga minuman ini baru menyedarkan betapa teruknya kita: tidak mahu berfikir atau terlewat dalam menentukan keputusan.

Kita lihat sajalah.

Rabu, April 23, 2008

Keseronokan seorang ayah

TANYA kepada pemancing, bilakah masanya paling seronok semasa memancing ikan. Jawabnya sewaktu mata kailnya direntap ikan, jorannya terhoyong-hayang kerana ditarik ikan. Perjuangan antara ikan dan pemancing, tarik menarik tali adalah saat seronok dan nikmat sekali kepada pemancing.

Tanya kepada seorang ayah terhadap anaknya, apakah yang paling menyeronokkan. Jika pemancing bersetuju keseronokan sewaktu bertarung dengan ikan, jawaban untuk ayah terhadap anaknya berbeda-beda.

Bagi saya, saat menghantar anak ke sekolah dan mengambilnya semula dari sekolah adalah saat manis percintaan seorang ayah terhadap anaknya, terutama yang masih sekolah rendah. Sewaktu melepaskan anak untuk masuk ke pintu pagar dengan menciumnya kemudian anak melambai tangan sebelum saya berlalu pergi adalah kenikmatan cinta terhadap anak.

Kemudian, sewaktu pulang menunggu anak muncul di pintu pagar sekolah seperti penantian seorang pemancing menunggu umpan di mata kailnya direntap ikan. Penuh debaran. Munculnya anak dari kejauhan dengan senyum atau berlari-lari ke arah saya, saat itu umpama mata kail pemancing direntap ikan. Oh nikmat dan seronok sekali!

Anak-anak saya seperti faham keindahan seorang ayah, sekalipun sudah disediakan bas (van) untuk membawa pergi dan pulang sekolah masih mendesak berkali-kali agar saya sendiri yang menghantarnya. Tentulah anak-anak juga berkongsi keseronokan apabila ayahnya sendiri menghantar atau membawanya pulang dari sekolah. Maka sesekali saat yang diminta anak-anak ditunaikan, sama seperti sesekali saya merasa keseronokan dunia pemancing.

Maka saya faham apabila anak saya tidak mahu lagi menaiki van sekolah. Dan saya kian faham juga nilai kasih sayang dan kemanusiaan kepada 'abah' (ayah sebagai keluarga pengasuh) anak perempuan saya di darjah satu. Rupa-rupanya dia berkongsi keseronokan dalam suspens menunggu anak saya keluar dari kelas dan mendapatkannya di luar pagar. Akhirnya, anak perempuan saya menikmati kasih saya sebagai penghantar ke sekolah dan daripada abahnya yang mengambil dari sekolah.

Inilah citra kemanusiaan yang sukar dimengerti tetapi hanya dapat dinikmati oleh mereka yang merasai. Tidak ada nilaian wang ringgit sebagai ganti untuk merasakan keindahan dalam hidup, sekalipun oleh kami insan kecil di tengah-tengah kerancakan manusia mengejar kejayaan.

Isnin, April 21, 2008

PEREBUTAN jiwa manusia

HARI Sabtu lepas saya menghadiri Mesyuarat Agung PIBG untuk sekolah anak di Seremban. Daripada sekian banyak usul yang dicatat untuk dibahas, tampak usul berkenaan banyaknya kerja rumah sewaktu musim cuti menjadi keluhan utama ibu bapa. Melihat pada minit mesyuarat tahun sebelumnya, isu itu telah disuarakan.

Yalah apa sangat dengan kerja sekolah, sebab namanya budak sekolah. Maka kalau tidak ada kerja sekolah, mahu diberi kerja apa lagi. Lagi pula sekolah itu punya nama di negara, gah sebagai kolej terulung. Berdasarkan premis itu patut ibu bapa faham, tapi ibu bapa mempunyai pandangan berbeda dengan pentadbir atau guru-guru sekolah perempuan terulung itu.

Ibu bapa faham dengan banyaknya kerja sekolah sewaktu pelajar masih di sekolah, sewaktu tinggal di asrama. Ibu bapa percaya maksud cuti sekolah yang seminggu dan dua minggu itu ialah waktu istirahat seketika setelah segala waktu di kolej berkenaan digunakan sepenuhnya. Cuti sebagai rehat untuk mendapatkan satu kekuatan baru sewaktu hadir semula ke kolej. Itu yang ibu bapa faham dan tidak difahami oleh guru-guru di kolej. Bagi guru-guru di kolej setiap pelajar mesti diasak dengan fakta dan hafal: keputusan peperiksaan wajib semua ‘A’. Ini adalah kelegaan buat kaum guru.

Maka saya antara yang kasihan amat dengan puteri-puteri kolej. Saya mengaku di hadapan Yang Dipertua PIBG dan Pengetua Kolej bahawa saya sudah mula kehilangan kasih sayang daripada puteri saya! Inilah dilema ibu bapa di samping meratapi nasib anak-anaknya.

Saya katakan kepada mereka: Nikmatilah hidup pada saatnya!

Sebenarnya saya tidak perlu menoleh jauh untuk melihat produk ekstrim ulat buku. Saya melihat kehidupan orang seperti itu saban hari. Mereka cemerlang di atas kertas sijil tapi hangus dalam kontak sosial. Mereka berkedudukan tinggi dalam jawatan dan jabatan, tetapi naïf mengenai jiran tetangga. Saya berterus terang mengenai hal ini di hadapan PIBG dan Pengetua. Terpulang kepada mereka memikirkannya.

Apabila saya menyuarakan hal itu, kemudian datang seorang demi seorang berbicara mengenai hal ‘kehilangan anak’ sejak mendiami asrama kolej. Seperti catatan lepas, inilah bukti perebutan manusia antara ahli-ahli ekonomi dengan ahli-ahli kejiwaan. Inilah akibatnya apabila meminggirkan alquran dan sunah dalam menekuni falsafah pendidikan.

Orang berminda wang, ekonomis itu mahu manusia bergerak atas landasan ilmu-ilmu yang dapat menggerakkan tamadun kebendaan. Ukurannya ialah kejayaan mengumpul wang. Maka sejak di bangku sekolah, anak-anak diasak dengan fakta yang orientasinya adalah kejayaan memburu wang.

Orang berminda kemanusiaan mahukan anak-anak menikmati alam hidup berdasarkan fitrah kejadiannya. Mereka mahukan manusia menikmati erti kehidupan dan bersedia untuk toleransi dalam memburu wang. Kepada mereka wang memang perlu tapi bukan matlamat. Mendapatkan semua ‘A’ adalah perlu tapi bukan sehingga mengorbankan segala nilai kemanusiaan.

Sekarang yang menang adalah ahli-ahli ekonomi itu sehingga guru-guru terseret sama ada sadar atau dalam linglung. Para eknomis menang kerana didukung oleh ahli-ahli politik yang memang rakus untuk mendapatkan wang. Jadi: dua mengalahkan satu!

Ahad, April 20, 2008

MENDESAK tuhan

APABILA menyebut buku Falsafah Hidup karangan Buya Hamka, antara perkara yang tidak luput dari ingatan ialah berkenaan hak dan zaman seseorang. Pandangan beliau ialah setiap peringkat manusia mempunyai hak dan kesesuaiannya masing-masing. Seterusnya beliau memberi contoh seorang kanak-kanak berusia 8 tahun wajib diberikan hak dan kesesuaiannya pada satu umur 8 tahun. Kalau yang berusia 8 tahun diberikan hak dan kesesuaian untuk berumur 20 tahun, apa yang dirasai oleh seseorang apabila menempuh usia 20 tahun kelak?

Hari ini berlaku pertentangan pendapat yang keras antara ahli-ahli ilmu jiwa atau kemanusian dengan ahli-ahli ekonomi. Perhatikan kehidupan kanak-kanak hari ini dan nilailah dengan kaca mata yang adil. Bukan rahsia lagi soalan bahasa level UPSR untuk usia 12 tahun menyamai PMR yang berusia 15 tahun. Daripada itu, masyarakat diajak pasrah saja apabila kanak-kanak usia tujuh hingga 12 tahun mengusung beg seberat 10 kilo. Pemandangan ini melucukan kepada ahli-ahli pendidikan Barat.

Kerana segala-gala hasil persekolahan dinilai pada sehelai kertas bernama sijil, maka kehidupan murid-murid di level UPSR, PMR dan SPM diperah untuk meraih markah tertinggi. Jangan kagetlah apabila kanak-kanak berusia empat atau lima tahun yang dunia sebenarnya bermanja dan bermain-main dengan ibunya, sudah diasingkan ke dunia tiusyen untuk meraih markah tertinggi UPSR lapan tahun kemudian.

Ibu bapa yang sudah edan ini tidak perduli apakan hak dan dunia yang wajib dinikmati anak-anak pada setiap tahun usia mereka. Media dan teknokrat pendidikan tidak pernah menoleh ke belakang untuk menggambarkan ‘kecemerlangan’ ialah kejayaan menggondol sijil yang banyak level A. Khalayak dipaksa menerima standard tolol bahawa kejayaan seseorang manusia ialah apabila hidup berbungkus wang jutaan ringgit.

Ikut standard goblok itu kalau namanya nelayan yang jujur tapi tidak kaya, gagal jawabnya. Mereka (baca manusia yang linglung) cuba mengabsahkan kelinglungan itu sejak awal kanak-kanak bersekolah dengan mendorong mendapatkan markah tertinggi dalam setiap peperiksaan, dengan tidak perduli apa hak dan nurani anak-anak.

Ini cerita benar di depan mata. Saya dikagetkan dengan perubahan seseorang yang sekonyong-konyong mendatangi solat jemaah di masjid setiap waktu dengan anak lelakinya. Saya pasti mereka menunggang motorsikal baru pula. Jawaban yang diterima daripada mulutnya ialah anak lelakinya sedang menduduki peperiksaan percubaan (trial) PMR! Ooo oo, patutlah selepas tempoh peperiksaan yang hanya trial itu, kelibatnya di masjid dua beranak tiada lagi. Tuhan pun didesak menerima doanya semata-mata mendapatkan sehelai sijil sementara yang tidak berguna itu.

Inilah sebagian dunia goblok yang tidak disadari oleh manusia-manusia yang merasakan dirinya cemerlang. Mujur hal itu saya sedari dan disuarakan kepada pentadbir sekolah anak-anak saya. Seperti diduga, pemikiran mereka tidak seperti saya. Lihatlah bagaimana mereka mengadakan solat hajat secara besar-besaran saat hampir peperiksaan. Tidakkah mereka seperti mendesak tuhan juga untuk sekeping sijil?

Sabtu, April 19, 2008

PULAUKAN barang Belanda dah kena

sumber: www.tranungkite.net/v3/
Kuasa pembeli Islam..... Boikot belanda!!! Mesej kita sampai
Posted on Saturday, April 19 @ 20:05:27 MYT by SongkokPutih
Oleh mohdnaazri
"Great news.......!!!
Hope you all know about the Denmark newspaper who made fun upon our loving Prophet and till now they never regret… let us make them regret for all time… The Denmark ambassador, prime minister and Denmark channel they all try to do something just to stop the boycott made by Muslims last month, by which their losses has reached to 2 billion Euro. If we continue to boycott Denmark products after 7 months it could reach around 40 billion Euro's destruction. Dear brothers, please spread the news to all your friends you know in order to rise up our spirit and warning Denmark and other hostile nations towards Islam, we Muslim are united and not easy to break against any one who think to harm or insult Almighty's message peace be upon him.

Believers do not let this message stop in your PC. "

Jumaat, April 18, 2008

ADUHAI khutbah jumaat

KHUTBAH Jumaat di masjid tadi berkenaan solat, bukan merujuk falsafah solat yang tidak banyak difahami orang. Atau bukan solat sebagaimana yang ditunjukkan oleh hadis-hadis sahih Rasulullah, tetapi pengajaran solat biasa sehingga bagaimana menggenggam jari sewaktu tasyahud awal dan akhir, nak goyang jari atau tidak. Memang, Pak Khatib pun membuat kesimpulan khutbahnya yang diharap menjadi satu pelajaran solat!

Tidak salah pun berkhutbah sehingga setengah jam mengajar solat, minggu depan bab puasa. Minggu satu lagi mengenai berdoa. Sama juga tidak salahnya menulis isi khutbah mengenai kebersihan gigi, bagaimana memutihkan gigi termasuk bagaimana mencungkil sampah di celah-celah gigi. Islam memang menuntut umatnya menjaga kebersihan.

Isu yang sama telah berlaku apabila sebuah masjid bertaraf Masjid Negeri mengadakan ceramah Maal Hijrahnya bertemakan ‘zikir beramai-ramai untuk kemajuan umah’. Kita pun pernah menemukan tajuk kertas kerja mengenai pentingnya tarekat dalam kemajuan negara.

Mungkin mimbar Jumaat yang lain akan mengajar bagaimana memakai serban kepada para jemaah. Maklumlah, semua jemaah adalah lelaki. Bolehlah diperincikan jenis kain apa, berapa inci lebar dan panjangnya serban itu. Lilitan cara Habsyah atau cara Qatar yang patut dipilih oleh jemaah. Satu lagi peranan ekor serban kepada pemakainya!

Semakin banyak universiti dan kolej, semakin banyak anak muda mendalami ilmu di pelbagai pelosok dunia, apabila mereka duduk di masjid mendengar khutbah atau ceramah sekadar itulah isu dan tahapnya.

Pemikir atau penulis khutbah seakan tidak dapat mengesan isu besar kepada masyarakat seperti pendekatan dakwah terhadap bukan Islam. Tidakkah para pemikir di Jabatan Agama dan Jabatan Mufti itu tahu mana akidah yang betul dan salah. Mana agama yang betul dan yang salah. Apa modul mereka kepada orang awam yang bergelumang dengan bukan Islam supaya mesej Islam dapat disampaikan sekalipun hanya sebesar biji sawi?

Apakah saranan atau kaedah paling kreatif yang dihasilkan oleh pemikir atau penulis khutbah untuk mengatasi kegagalan program kitar semula di kalangan umat Islam. Kalau mereka masih tidak dapat melihat isu alam sekitar (yang di dalamnya ada kitar semula) sebagai tidak ada kaitan dengan prinsip Islam, tidak tahulah apa lagi hendak diharapkan untuk mereka membicarakan Islam yang kaffah. Akhirnya di tangan mereka, Islam berkisar mengenai masjid, jubah dan kopiah!

Apa yang pemikir dan penulis khutbah baca, bincang dan cita-citakan untuk 20 tahun dan 50 tahun akan datang mengenai umah? Jangan hampakan umah dengan menghasilkan produk yang reput dan cepat tarikh luputnya.

Selasa, April 15, 2008

MINTA izin masuk Islam

MEMANG ada beberapa kes perebutan jenazah antara pihak berkuasa agama Islam dengan waris keluarga yang mendakwa jenazah semasa hayatnya tidak beragama Islam. Kes pendaki Gunung Everest nampaknya berlarutan sekalipun mahkamah telah memutuskannya. Kes Nyonya Tahir di Tampin berjaya diselesaikan di mahkamah dengan puas hati walaupun ternyata jenazah beliau diurus mengikut amalan penganut Buddha.

Atas peristiwa lama yang dicucuk semula, Perdana Menteri mencadangkan supaya sesiapa yang berhasrat memeluk Islam mestilah mendapatkan surat kebenaran daripada ahli keluarga supaya tidak timbul perbalahan mengenai jenazah. Ohhh, ini mengundang polemik baru, terutama daripada kalangan yang berpengalaman mengurus saudara baru Islam.

Berdasarkan pengalaman kebanyakan saudara baru Islam, keluarga sukar menerima ahli keluarga yang memilih Islam. Tidak sedikit berlaku pertengkaran, permusuhan sehingga diputuskan hubungan keluarga kerana ada yang memeluk Islam. Ada antara mereka yang berjaya merapatkan kembali perhubungan, tetapi tentulah awalnya mendapat penentangan. Maafkan saya dengan kenyataan ini: Kebanyakan keluarga bukan Islam bersedia rela hati anggota keluarganya memeluk Kristian, tetapi tidak untuk memilih Islam.

Dengan sejarah pahit saudara-saudara Islam kita pada peringkat awal untuk memeluk Islam, bolehkan dipercayai surat kebenaran memeluk Islam mudah dikeluarkan oleh keluarga? Kelak apabila peraturan ini diterima oleh kerajaan-kerajaan negeri (kuasa hal Islam ada pada negeri), terpaksalah diterima bahawa untuk seseorang memeluk Islam bukanlah satu yang mudah. Halangan pertama ialah ‘kelulusan keluarga’!

Sepatutnya jika masalah yang timbul ialah perebutan jenazah, kerajaan boleh mencadangkan supaya setiap saudara baru Islam wajib memaklumkan pengislamannya kepada ahli keluarga supaya mereka tahu atau maklum. Jika ditakdirkan dia meninggal dunia selepas pemakluman itu, tahulah ahli-ahli keluargnya bahawa seseorang itu sudah Islam. Cara memaklumkan keislaman itu boleh ditetapkan seperti melalui iklan media, surat atau peristiharan mahkamah. Dengan cara ini, seseorang yang sudah terbuka untuk memeluk Islam tidak terhalang oleh masalah ahli keluarga.

Perkara seumpama ini memang sensitive dalam masyarakat Malaysia. Oleh itu semua pihak terutama pihak berkuasa agama Islam menjadi kreatif dalam usaha mengatasi salah faham pemelukan ke agama Islam oleh seseorang yang asalnya bukan Islam. Masyarakat Islam (khasnya Melayu) juga wajib berperanan menjadi penerang kepada bukan Islam bahawa proses pemilihan agama kepada Islam bukan satu proses kehilangan ahli keluarga, keturunan dan adat resam.

Sebenarnya masih banyak perkara yang perlu ditangani dan diselesaikan berkenaan hubungan antara keluarga (beragama bukan Islam) dengan ahli keluarga yang memeluk Islam. Antaranya ialah tafsiran hukum-hukum fikah yang kurang sesuai dengan masyarakat bukan Islam sehingga masyarakat bukan Islam melihat Islam sebagai agama yang sangat asing dengan budaya mereka.

Satu contoh ialah berkenaan anjing. Masyarakat bukan Islam sangat hampir dengan anjing, namun masyarakat Melayu Islam sangat menjauh daripada anjing. Jika diteliti hukum fikah selain fikah Melayu Islam ini, ada kelonggaran terhadap anjing. Kelonggaran dan penerimaan anjing ini tidak pun merosakkan akidah Islam, maka patut para ulama kita terbuka dalam soal ini supaya tanggapan masyarakat bukan Islam terhadap hukum fikah Islam dapat diperbetulkan dan akan kelihatan lunak.

Ahad, April 13, 2008

ANTARA jubah dan kain pelikat

ANTARA pakaian jubah dan pakaian sut Melayu, manakah yang paling disukai Allah? Kalau di negara China, soalannya diubah kepada: antara jubah Arab dan jubah China, jubah manakah yang lebih afdal? Juga soalan lain ialah: Manakah yang lebih Islam antara sut pakaian Melayu bersampin dan bersongkok dengan sut Barat dengan baju kot dan tali leher?

Jika Islam berpaksi kepada bangsa Arab, tentulah hal-hal yang kearaban seperti igal, serban dan jubah akan diberi merit sebagai lebih Islam. Jangankan pakaian, tentulah memakan daging unta jauh lebih baik daripada makan sup itik serati sebab terbukti Rasulullah dan sahabat-sahabat memakan daging unta. Lebih malang, cara orang Cina makan dengan menggunakan chopstick langsung tidak ada kaitan dengan Arab, maka chopstick bukan budaya makan cara Islam. Itu semua jika otak kita berfikir bahawa Islam itu berpaksi Arab dan wajib dilihat berdasarkan kaca mata Arab.

Cuba perhatikan maksud firman Allah dalam surah al Hujurat ayat 13, “Wahai manusia sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan perempuan, kemudian Kami jadikan kamu bersuku-suku dan berbangsa-bangsa agar kamu saling mengenal antar satu dengan lain. Sungguh, yang paling mulia di sisi Allah ialah yang bertakwa. Sungguh, Allah maha mengetahui dan maha teliti.”



Kejadian manusia bersuku-suku berbangsa-bangsa adalah fitrah dan daripada Allah. Wujudnya manusia berbeda-beda kebudayaan di pelbagai wilayah dunia bukan satu kesulitan kepada manusia dan Islam. Allah sendiri yang menjadikan manusia berbeda kebudayaan, tentulah Allah mengikitraf perbedaan itu sekalipun Allah menurunkan Islam melalui bangsa Arab. Ya, al Quran diturunkan atau dibumikan dalam bahasa Arab.

Islam hanya mahukan manusia menerima Allah sebagai tuhan dan menggunakan syariat Islam dalam kehidupan. Al Quran tidak menghalang pengamalan budaya sesuatu bangsa. Menafsir kebudayaan Arab sebagai cara Islam dan didakwa lebih mulia di sisi Allah adalah prinsip yang salah.


Misalnya kita boleh saja menerima jubah sebagai tradisi Arab yang juga fesyen pakaian yang dipakai oleh Rasulullah, namun mengatakan jubah adalah pakaian paling afdal dalam Islam adalah prinsip salah kerana melanggar hak fitrah kebudayaan bersuku-suku bangsa, setiap suku bangsa punya tradisi pakaian bersesuaian dengan iklim, budaya dan geografi. Mendakwa solat muslim lebih besar pahalanya di sisi Allah jika berjubah dan berserban berbanding berpakaian Melayu atau Barat juga prinsip salah kerana tiada nas, malah berlawanan dengan hak kepelbagaian budaya bersuku-suku bangsa.

Bayangkan ada segelintir muslim yang mendakwa pencinta sunah nabi menunggang motorsikal tidak memakai topi keledar, sebaliknya berserban saja atas alasan berserban mengikut cara Rasulullah. Orang seperti ini bukan sahaja jahil memahami sunah, tidak faham maksud ketaatan kepada ulil amri dan menolak teknologi. Kalau kita menerima prinsip ‘biarlah itu dia punya pasal’ pun tidak boleh sebab kejahilannya memahami Islam telah merosakkan imej sunah dan Islam, meneruskan wajah Islam sebagai hodoh di mata bukan Islam dan mereka yang jahil.

Kepelbagaian budaya sesuatu suku bangsa pula bukanlah statik atau beku sepanjang zaman. Berubahnya pengetahuan sangat mempengaruhi perubahan kebudayaan bangsa. Misalnya kenderaan yang sentiasa berubah telah menyebabkan cara hidup manusia berubah. Ini adalah hal-hal keduniaan yang mesti berubah sama juga adat atau kebudayaan bangsa yang mengalami evolusi atau revolusi. Sebab itulah Allah memerintahkan kita berkenal-kenal dengan suku-suku bangsa lain, supaya segala kebaikan dan pengetahuan sesuatu bangsa itu diterima untuk kemudahan umah juga.

Kesimpulan kecil ialah menerima kebudayaan Arab adalah sebahagian daripada berkenal-kenal dengan suku bangsa Arab itu oleh bangsa-bangsa bukan Arab. Arab bukanlah ketuanan Islam sekalipun al Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Meneruskan tradisi bangsa bukan Arab asalkan menerima syariat Islam untuk kehidupan sudah termasuk menerima seruan Allah agar beriman kepada Allah.

Berbudaya Arab terutama di masjid hanya budaya atau adat manusia, bukan prinsip Islam atau perintah Allah. Kedudukan manusia di sisi Allah tidak ditentukan berdasarkan hebat atau lesunya tradisi bangsa, tetapi tahap takwa kepada Allah. Erti mudah takwa ialah ‘takut tetapi rindu’ kepada Allah.

Khamis, April 10, 2008

ANTARA zakat dan cukai

SEINGAT saya sudah lebih dua tiga kali saya mendengar ceramah atau ucapan personal zakat yang menarik khalayaknya agar membanyakkan bayaran zakat sambil mengurangkan bayaran cukai pendapatan. Antara isu ucapannya ialah orang akan lebih senang membanyakkan bayaran zakat, tetapi akan mencari helah atau mahu mengurangkan cukai pendapatan.

Fahamlah bahawa zakat adalam urusan Rukun Islam, maknnya kalau dapat membayar zakat bererti kian sempurna dirinya sebagai muslim. Tidak ditolak hujahan bahawa jika sudah beres syahadahnya, solat dan puasanya, maka zakat akan melengkap keislamannya secara tahunan. Dan nanti sekali seumur hidup akan ke Makkah menegerjakan haji.

Mnerima zakat dengan pasrah dan kian sudi menambah jumlah, sedangkan pada waktu yang sama bersikap kikir terhadap cukai pendapatan dapat dimengerti berlaku pemisahan antar Islam dan negara. Soalannya, adakah negara tidak punya hak mengenakan cukai terhadap rakyatnya?

Di negara kita, jika muslim sudah membayar zakat dan nilainya menyamai nilai cukai pendapatan yang wajib dibayar, maka individu itu tidak perlu membayar cukai pendapatan lagi. Katakan saja zakat yang dibayar bernilai RM1,000.00 manakala cukai pendapatannya ialah RM2,000.00, cukuplah dia membayar cukai sebanyak RM1,000.00 di samping RM1,000.00 bayaran zakat. Ini membawa maksud cukai pendapatan terhapus dengan pembayaran zakat.

Tulisan ini bukan mempersoal kewajaran cukai pendapatan dalam sebuah negara. Wacana ini hanya menyelidiki pendirian Islam dan negara, adakah Islam dipisahkan daripada peraturan negara. Jika pembayar zakat menganggap bayaran zakat sebagai berpahala besar (700 peratus) berdasarkan satu firman Allah dalam surah al Baqarah, apakah pembayaran cukai pendapatan sebagai hangus dan sia-sia tanpa ada apa-apa nilai di sisi Allah?

Soalan lain yang wajib dijawab secara jujur ialah adakah ganjaran di sisi Allah kecil kepada penderma dana sebuah jambatan berbanding penderma dana membina masjid? Jambatan dan masjid, kedua-duanya sebagai hak awam, sama-sama untuk kepentingan umah.

Pada saya, jika antar kita mula menganggap bahawa segala derma atau infak untuk ibadah khusus sebagai dana Islam dan sumbangan terhadap hal kepentingan dunia sebagai hal dunia dan tidak Islam, ini merupakan fahaman salah dalam umah. Akan timbul hujah seperti tidak boleh sama sekali bercakap dusta di masjid, tetapi di pentas politik biasa saja. Mencuri harta masjid dianggap dosa besar, tetapi mencuri harta kerajaan dianggap harus saja sebab kerajaan mesti membantu rakyat!

Makan babi haram kerana tercatat dalam alquran, tetapi membuat tuntutan (claim) daripada kerajaan yang bukan selayaknya dianggap usaha mencari rezeki. Membayar zakat ya, tetapi di Langkawi, Bukit Kayu Hitam dan Rantau Panjang mengelak cukai bawa masuk barang. Jika Islam itu ‘kaffah’, maka fahamilah Islam yang kaffah itu. Wacana ini sekadar mengajak pembaca menduga-duga, adakah kita begitu?

Isnin, April 07, 2008

SMS paling karut

SEBENARNYA ada beberapa SMS yang saya terima yang saya tidak suka, sekalipun SMS ini dikirim oleh mereka yang saya kenali. Baru-baru ini saya mendapat SMS yang mesejnya hampir sama iaitu meminta saya lebih banyak beribadah dan ancaman keburukan dan kebaikan. Berikut adalah SMS berkenaan:

Baca dan teliti: “ALLAH AKU CINTAI KAU DAN AKU PERLUKAN KAU… DATANGLAH KE HATIKU…” Kirim pada 10 orang dan lihat keajaiban malam ini. Tolong jangan delete, ia benar-benar terjadi. Ini SMS dari ibu ALI SAID - juru kunci sayyida Makkah yang bermimpi bertemu RASULULLAH S.A.W. Beliau berpesan: “Kuatkan akidah dalam ibadah kerana dunia ini sudah goyah dan tua..” Sebarkan SMS ini ke 10 muslim, insya Allah dalam waktu 10 hari akan dapat rezeki besar dan jika tidak disebar tunggulah kesulitan yang tidak henti-henti.

Saya balas: Maaf ini SMS karut yang merosakkan akidah dan melemahkan umah. Isi SMS berlawanan dengan isi alquran.

Saya mengenali pengirim SMS ini, bukan orang lain melainkan kenalan dan ada ikatan darah juga. Dua bulan lepas saya bertemu dan bertanyakan mengapa tidak mahu menjadi Ketua Kampung. Beliau menjawab bahawa tidak mahu banyak urusan dengan manusia sebagai Ketua Kampung, sebaliknya lebih rela dan selesa berhubungan dengan Allah sebagai AJK masjid di kampungnya.

Tidak tahu sudah berapa generasi SMS ini bertebaran dan disambut dengan ‘rasa keimanan’ oleh manusia muslim. Jika saya sudah mendapat SMS ini bermakna selain saya ada sembilan lagi yang mendapat SMS ini. Orang yang menghantar SMS karut ini kepada saya (mungkin sembilan orang lain) tentu yakin dengan janji syaitan akan mendapat rezeki besar dalam tempoh 10 hari dan di balik itu dia tentu gerun dengan malapetaka yang dijanjikan jika mendiamkan saja SMS itu. Sebab itulah saya mendapat SMS dan diharap saya juga akan bertindak sepertinya.

Perhatikan pendirian peribadinya yang mahu menjaga hubungan dengan Allah lebih daripada hubungan dengan manusia. Dia juga seorang AJK masjid, bukan AJK persatuan peminat burung ketitir atau Pengerusi Kelab Lepak di simpang jalan. Pada saya malanglah, orang yang mahu menjaga hubungan dengan Allah dan ada jawatan di masjid masih percaya adat jahiliyyah. Jika yang menghantar SMS ini daripada budak 10 tahun mungkin difahami dia sebagai tidak berakal lagi. Tetapi kalau dilakukan oleh orang yang berkopiah dan rambut sudah beruban, orang akan percaya juga dan menyebarkan SMS karut itu.

Itulah SMS syirik! Isinya sama seperti ramalan tukang nujum. Sama seperti dalam cerita P Ramlee, “kalau tidak percaya jawabnya anak luar nikah” maka semua percaya! Filem adalah cermin masyarakat, jadi betul berlaku sekalipun zaman sudah saintifik. Mereka tidak sedar ‘syirik’ menjenguk masuk dalam poket sekalipun kerap berzikir sambil geleng-geleng kepala setiap malam Jumaat. Ini antara sebab saya memang anti orang beramal tanpa ilmu, buat secara bodoh dan akhirnya melakukan dosa syirik kepada Allah.

Sabtu, April 05, 2008

ANTARA Maulidur rasul dan pengantin bersanding

(Foto pengantin hanya sebagai hiasan rencana)
BERAKHIRLAH bulan Rabi’ul awwal, berakhirlah bulan maulidur rasul. Pengalaman saya untuk bulan maulid kali ini hanyalah diberi amanah oleh rakan-rakan untuk mencarikan seorang penceramah untuk majlis maulid di sebuah sekolah. Oleh kerana saya sangat cerewet mengenai isi ceramah dan kaedah penyampaian isinya, akhirnya saya gagal mendapatkan penceramah itu. Bagi sesetengah orang pelik sebab payah nak dapatkan penceramah agama.

Bagi saya sekalipun majlis sambutan maulidur rasul bukan daripada sunah rasul namun telah membudaya, saya memilih menerima dalam keadaan terpilih. Saya tidak menyertai perarakan maulid yang dianjurkan di kawasan tempat tinggal. Saya hanya menerima ruang untuk menyampaikan ilmu atau kebenaran dalam majlis itu: Ilmu dan yang berfaedah.
Lantaran itu saya mahu seorang pakar motivasi atau yang dapat menjelaskan apakah kesan kehadiran Nabi Muhammad kepada kita atau murid-murid sekolah. Kalau setakat menceritakan sejarah kelahiran nabi satu persatu kemudian ada bacaan berzanji atau marhaban yang murid tidak tahu apa-apa faedahnya, saya berundur diri daripada terlibat sama.

Ulama yang pro kepada sunah nabi seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang secara terbuka mengatakan Maulidur rasul bukan sunah nabi, dan tidak perlu dirayakan. Terbaru di Alor Setar TG Nik Aziz sekali mendedahkan sambutan Maulidur rasul hanya dimulakan setelah 400 tahun Rasulullah wafat. Kerajaan di Arab waktu itu meniru sambutan kelahiran Nabi Isa oleh penganut Kristian pada 25 Disember, kemudian pada 12 Rabi’ul Awal mereka mula merayakan kelahiran Nabi Muhammad. Jelas, asasnya ialah meniru perayaan agama yang diharamkan oleh Allah. Dan kita sekarang mewarisi sambutan itu dengan penuh kebanggaan!

Jangan lupa bahawa kebanyakan ulama yang prosunah dan tidak perduli sunah juga mengharamkan amalan bersanding dalam perkahwinan masyarakat Melayu dengan alasan warisan agama Hindu. Alasan mereka ialah maksud hadis nabi yang maksudnya sesiapa melakukan perkara yang menyerupai satu kaum itu sebenarnya dia termasuk kaum (pengamal) itu. Firman Allah juga dalam surah al Kafirun yang salah satu ayatnya bermaksud: Bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kami.

Jangan lupa sekali lagi, sekalipun sensitif untuk dinyatakan bahawa terdapat amalan diraja Melayu kita yang jelas merupakan warisan agama Hindu. Perkara ini dipelajari oleh anak-anak kita dalam pelajaran sejarah di sekolah.

Jangan lupa lagi ya, kenduri arwah yang sangat popular juga berasal daripada tradisi sebelum zaman Buddha-Hindu di Asia Tenggara. Pada waktu itu sebelum zaman Srivijaya (Buddha) dan Majapahit (Hindu), pemujaan roh nenek moyang menjadi kepercayaan. Dan apabila kedatangan Islam, pemujaan roh moyang ini menjadi kenduri arwah yang masih lagi intinya memuja arwah dengan mengirim sejumlah pahala daripada bacaan alquran kepada arwah. Sebab itulah TG Nik Aziz bertegas amalan kenduri arwah itu sebagai amalan jahiliyah.

Aduhai ulama-ulama kita, janganlah memilih sesuatu amalan untuk dikaitkan dengan Hindu kemudian bertegas mengharamkannya. Pada satu dua amalan lain sekalipun berasal daripada tradisi agama lain, diterima dan dipertahankan mati-matian dengan hujah itu amalan Islam. Malah apabila ada ulama lain yang tidak beramal dengan amalan yang tidak ada petunjuk sunah, dituduhnya sebagai sesat pula.

Sedikit ulasan saya mengenai amalan persandingan itu. Kesilapan utama para penggiat adat dalam perkahwinan itu ialah tidak menyertakan apa-apa bacaan berasaskan alquran sewaktu adat bersanding berlangsung, sebab itu bersanding mudah diharamkan kerana dituduh adat Hindu. Cuba kalau pengantin lelaki diwajibkan membaca mana-mana ayat alquran semasa bersanding, atau ada upacara ‘bersifat agama’ seperti mengirim bacaan fatihah kepada arwah nenek moyang pengantin, maka pasti bersanding diterima sebagai amalan Islam dan dikatakan sunah nabi pula. Itulah silapnya. Lihat kenduri arwah dan Maulidur rasul, terselamat daripada diharamkan oleh ulama-ulama yang telah mengharamkan adat persandingan.

w.a.

Jumaat, April 04, 2008

BUKAN mudah kerja guru

DUNIA pekerjaan yang sering dianggap mudah dan cuba diteroka oleh banyak pihak ialah perguruan. Hal ini mungkin kerana mewariskan ilmu adalah melalui proses berguru dan digurui. Dalam dunia kehidupan sosial, ibu dan bapa akan mengajar anak-anak perihal budaya dan kelangsungan hidup. Kerana dekatnya ilmu dengan keguruan, maka seolah-olah dunia keguruan adalah hak sejagat yang tiada batas sempadan.
Sebagaimana secara mudah seorang tokoh korporat pergi ke laut dan memancing ikan, maka umumnya secara mudah sesiapa saja boleh menjadi guru dan mengajarkan ilmunya kepada sesiapa juga. Percayakah jika dikatakan mengajarkan sesuatu ilmu kepada orang sebenarnya lebih sukar daripada membina sebatang jalan raya atau membina sebuah jambatan.

Seorang jurutera telah menyiapkan segala bahan untuk membina sebuah jambatan. Dengan bantuan jentera berat, jentera ringan serta sejumlah buruh, sebuah jambatan dapat disiapkan. Kesempurnaan jambatan ini dapat disahkan apabila jambatan ini digunakan dan tidak runtuh atau retak dalam tempoh tertentu, katakan saja dalam jaminan setahun. Jarang benar sebuah jambatan besi atau batu boleh runtuh hanya enam bulan sesudah siapnya.

Seorang guru, katakan guru fardu ain telah menyiapkan semua bahan pengajarannya hendak mengajarkan amalan solat kepada 10 orang remaja 12 tahun yang sebelumnya tidak mempunyai apa-apa asas pengetahuan berkenaan solat. Guru ini diberi tempoh mendedahkan amalan solat kepada semua remaja ini dalam masa tiga bulan. Objektifnya, setelah tamat tempoh pengajian itu semua remaja ini dapat menunaikan solat sebagaimana muslim yang lain.

Setelah tamat tempoh tiga bulan: Jika semua 10 remaja berkenaan tahu dan faham semua bacaan dan rukun solat belum dikira guru berkenaan berjaya. Guru berkenaan disahkan berjaya mengajarkan solat kepada 10 remaja berkenaan setelah semua remaja berkenaan menunaikan solat setiap waktu dengan sah. Mereka tahu dan menyempurnakan amalan solat ketika bersafar, sakit, sibuk dan dalam ketakutan. Pendek kata, dalam apa juga keadaan 10 remaja berkenaan tetap teguh menunaikan solat yang sah. Inilah guru yang berjaya.

Bagaimana sekiranya ada seorang saja yang gagal menunaikan solat atau ada antara mereka yang dalam keadaan seperti sakit di hospital kemudian tidak menunaikan solat? Jawabannya kembali kepada objektif guru berkenaan sebelum memulakan sesi pengajaran solat kepada 10 remaja berkenaan. Oleh itu jawaban kepada persoalan ada muridnya yang tidak menunaikan solat kerana sakit atau dalam keadaan sibuk, maka guru fardu ain berkenaan gagal!

Oleh itu jangan anggap mudah kerja mengajarkan sesuatu ilmu kepada khalayaknya. Kalau sekadar bercakap di hadapan pembesar suara seperti di masjid dan surau antara waktu maghrib dan isyak, itu bukan guru dan khalayak yang mendengar bicara ustaz itu pula bukan berguru. Wacana itu hanya mengisi masa santai. Maaf, itu bukan proses pengajaran dan pemelajaran. Keadaan itu tersasar jauh daripada profesionalisme guru yang mengajarkan ilmu.

Antara prinsip proses pengajaran dan pemelajaran ialah:
Pertama: Ada sukatan tertentu untuk disiapkan dalam masa yang ditetapkan, misalnya enam bulan.
Kedua: Ada kaedah pengajaran yang menuntut guru memahami psikologi, pengetahuan sedia ada khalayak dan kaedah menyampaikan ilmu yang disesuaikan kepada khalayaknya.
Ketiga: Ada kaedah menguji sesuatu ilmu itu sudah berjaya difahami oleh khalayaknya atau tidak.

Lantaran itulah kerajaan menetapkan standard guru dengan latihan ikhtisas tertentu. Guru yang mengajarkan apa juga ilmu kepada khalayak mempunyai prinsip khas dan profesionalisme yang kukuh, bukan asal bercakap kepada khalayak seperti para ustaz di masjid.

Oleh itu jangan terkejut jika kuliah maghrib di surau dan masjid kelihatan hambar. Ini tidak lain kerana pengajarnya tidak berdisiplin keguruan. Mereka menganggap mudah teori menyampaikan ilmu. Teori mudahnya ialah “saya sudah sampaikan ilmu, kamu hendak amalkan atau tidak, terpulanglah”. Kerana teori inilah kebanyakan ustaz yang konon mengajar sekali seminggu di masjid tidak pernah tamat kitab yang dibicarakannya.

Lebih malang apabila yang dianggap tahu tetapi mengajar secara membaca kitab saja. Selepas membaca dua tiga baris ayat, dia akan mengulas isinya. Kemudian membaca lagi dan mengulas semula. Ini memperbodohkan khalayak yang datang untuk mendapat ilmu yang baru. Ini bukan zamannya mengajar secara begitu. Dan ini bukan generasi manusianya yang boleh diajar secara lawak begitu.

Yang hadir di masjid dan surau telah mempunyai pelbagai disiplin ilmu, ada sijil, diploma dan ijazah. Walaupun mereka tidak ada ijazah dalam ‘agama’ tetapi cara mereka mendapat ilmu yang tercatat dalam sijilnya telah menempuh pelbagai kaedah termasuk pembentangan tugasan, perdebatan, rujukan dan kajian di lapangan. Apabila mereka hendak belajar agama di masjid, caranya seperti cara mengajar main guli! Mengeciwakan!

Sekali lagi dunia agama sedang dicabar oleh sekitaran, dan menuntut perubahan supaya terus relevan.

Rabu, April 02, 2008

MEWARISKAN ilmu

KERAP benar didengar supaya kita menyampaikan ilmu kepada manusia lain. Tambahan pula apabila mengingat maksud sabda Rasulullah yang menyatakan antara pusaka yang berguna setelah kita tinggal dalam tanah ialah ilmu yang dimanfaatkan oleh manusia di atas tanah. Kerana mewariskan ilmu merupakan antara tradisi dan kewajiban, maka hampir semua pelajar yang sedang belajar ilmu agama mempunyai cita-cita untuk menyampaikan ilmu agama kepada manusia. Memang mulia dan kerja terpuji.

Kalau ilmu diertikan sebagai ilmu akidah dan ibadah sahaja yang dikatakan berguna kepada si arwah, nampak sempit benar pemikirannya mengenai ilmu. Biarlah kita berlaku adil dalam memberi maksud ilmu supaya minda menjadi luas. Kehidupan manusia sangat rencam dan pelbagai. Oleh itu apa sahaja keperluan untuk hidup manusia yang memenuhi fitrah sama ada mereka Islam atau bukan Islam diterima sebagai kelangsungan ilmu. Kalau matematik disahkan sebagai ilmu, maka terimalah membuat pencungkil gigi juga ilmu. Kalau seseorang meninggalkan buku-buku perakaunan untuk generasi selepasnya mempelajari dan menggunakan ilmu itu, maka seorang tukang sapu juga berhak mewariskan ilmu menyapu sampah kepada sejuta manusia. Kelak apabila orang membaca bukunya dan menggunakan kaedah yang ditawarkan, tentulah ilmu menyapu sampah itu menjadi harta berguna kepada dirinya yang sudah bergelar arwah.
Memang apa-apa ilmu termasuk cara-cara mengikat mata kail dan menggulung kain pelikat di perut juga ilmu yang wajib disebarkan kepada khalayak. Kalau kepelbagaian ilmu tidak disebarkan dan diwarisi oleh generasi seterusnya, maka putus dan lenyaplah sesuatu disiplin ilmu. Banyak disiplin sesuatu ilmu telah lenyap dan banyak pula disisplin ilmu baru muncul. Hilang dan tumbuhnya ilmu dalam kehidupan kerana perubahan budaya dan kehendak semasa.

Kemajuan hidup masyarakat desa telah melenyapkan banyak ilmu yang telah digunakan sejak sekian lama. Mana ada anak muda di desa sekarang tahu memanjat pokok atau menebang pokok besar sedangkan itu antara ilmu dan kemahiran nenek moyang. Dengan ilmu dan kepakaran itulah hutan dipugar menjadi desa. Kini desa itu sudah menjadi bandar pula. Oleh itu ilmu memanjat pokok rambutan dan kelapa yang selama ini menyejukan arwah nenek moyang di kubur, semakin mengecil dan akan hilang nikmatnya di alam barzakh. Misalnya pada tahun 2020 kelak tiada langsung manusia mengamalkan ilmu memanjat pokok rambutan dan kelapa, putus teruslah nikmat ilmu berkenaan yang selama ini berguna kepada arwah.

Sebab itulah orang lebih suka condong memberi erti ilmu yang berguna sebagai ilmu akidah dan ibadah saja sebab selagi ada manusia beriman kepada Allah, berakidah dan beribadah dari satu generasi ke generasi seterusnya, dapatlah faedahnya di alam barzakh sana. Opps, buka kembali fikiran kita. Alexander Graham Bell mencipta telefon dua ratus tahun dahulu. Hari ini, manusia mana yang tidak menggunakan telefon? Ya, kalaulah Graham Bell seorang yang beriman kepada Allah, tentulah banyak nikmat alam barzakh diterima kerana kian banyaknya manusia menggunakan telefon hari demi hari. Ingat, telefon bukan ilmu akidah dan ibadah khusus, itu ilmu dunia!

Oleh itu kepada mereka yang telah dan sedang mendalami apa-apa ilmu sekalipun bukan berdisiplin ilmu akidah dan ibadah, peluang mewariskan ilmu untuk manfaat di alam barzakh tetap terbuka. Pandai-pandailah mempersiapkan warisan ilmu itu untuk jangka masa panjang hingga seribu tahun akan datang!

Boleh jadi menulis buku atau menulis dalam internet supaya dibaca banyak orang. Jika menggunakan bahasa antara bangsa, tentulah banyak pembaca dan banyak pula pewarisnya. Ilmu yang sudah tersebar ke banyak negara lain pula diguna oleh manusia-manusia lain pada tahun-tahun kemudian. Wah banyak sungguh faedah yang akan diterima, padahal dia hanya mewariskan ilmu yang kecil: Cara mengasah pisau yang betul!