Halaman

Jumaat, Mac 21, 2008

POTRET Maulidur rasul kita

UNTUK apa meraikan kelahiran Rasulullah yang dikenali sebagai maulidur rasul? Kalau untuk mengenang dan mengingat nama Muhammad s.a.w. sebenarnya dalam solat kita berselawat dan menyebut nama baginda. Ini bermakna setiap kali solat, kita menyebut dan mengingat nama Junjungan Besar Nabi Muhammad. Agaknya kerana sudah kerap menyebut nama nabi dalam solat akhirnya bagai tidak terasa kita berkali-kali membesarkan nama nabi agung ini. Maka ditunggu-tunggu juga tarikh 12 Rabiul Awal untuk meraikan dan membesarkan nama baginda.

Tulisan ini tidak berhasrat membahas sambutan maulidur rasul itu boleh atau tidak, bidah atau tidak. Soal yang wajib diteroka oleh kita semua sebagai umat Muhammad ialah sejauhmana kefahaman kita terhadap ajaran atau sunah yang dibawanya. Memang baginda seorang nabi yang hebat, maka peribadi kita sebagai manusia biasa tidak termampu hendak mengikuti semua sunah baginda. Betul, bukan semua yang dilakukan oleh baginda mampu dilakukan oleh kita, sekalipun yang bergelar pak kiyai atau pak imam. Siapa antara imam-imam kita yang kakinya bengkak kerana berdiri lama solat malam? Ini bermakna, kekuatan baginda berdiri berjam-jam, sujudnya lama sehingga Saydatina Ai’syah menyangka Rasulullah wafat sewaktu sujud, itu bukan suatu yang mesti kita contohi sebagai melengkapkan amalan sunah nabi. Itu dikhususkan kepada baginda sebagai nabi.

Bagaimana prinsip-prinsip amal ibadah nabi? Kita kerap mendengar orang membacakan hadis yang membawa erti solatlah sebagaimana kita melihat nabi solat. Setelah itu adakah kita telah memeriksa semua bacaan dan pergerakan solat kita sepadan dengan solat baginda. Jarang kita didedahkan oleh guru agama kita setiap bacaan dan pergerakan berdasarkan hadis-hadis sahih. Anak-anak kita dikursus solat oleh pihak-pihak berkenaan juga sekadar mewarisi bagaimana kita mewarisi pembelajaran daripada orang tua.

Memang berat, terutama apabila mengetahui baginda Rasulullah tidak pernah meninggalkan solat berjemaah, sedangkan kebanyakan kita meletakkan solat berjemaah sebagai waktu yang paling tidak berguna dalam hidup. Setelah semua urusan kerja dan keluarga selesai kemudian terdengar azan Isyak, maka barulah ke masjid untuk berjemaah. Kita jarang sangat menyusun jadual kerja dan keluarga yang memasukkan agenda solat berjemaah di masjid.

Bagaimana nabi melayani masyarakat termasuk yang munafik dan bukan Islam? Kita jarang menyoal diri sendiri mengenai dakwah kepada orang bukan Islam, sedangkan nabi meletakkan sasaran kerja utamanya menyebarkan Islam kepada bukan Islam. Ada yang agamawan ini nampaknya lebih bertungkus lumus berdakwah kepada yang Islam sehingga habis dikorek pemikiran dan pemahaman umah, semata-mata untuk dibuktikan sasaran dakwahnya itu masih Islam atau sudah kafir.

Kalau Rasulullah mengabaikan dakwah kepada bukan Islam, entah berapa juta orang Islam saja hari ini. Kita terlalu mengasingkan diri daripada bukan Islam terutama dalam hal kepercayaan agama. Memang secara umum mereka tidak berminat dengan Islam, namun perilaku muslim terhadap bukan Islam wajib menggambarkan satu gambaran atau imej dakwah kepada mereka. Senyuman, kejujuran dan perilaku yang Islami terhadap mereka adalah dakwah. Jika berkali-kali kita mengucapkan, “semoga Allah memberi kebaikan kepada kamu” kepada rakan bukan muslim, satu masa dia terpanggil untuk tahu apa sebenarnya yang kita doakan untuknya.

Adakah Rasulullah menghina orang bukan Islam? Tidak, tetapi kita memberi gelaran aneh kepada warga bukan Islam seperti Apek kepada seorang lelaki Cina yang tua. Malah ada kalanya kita mengumpat mereka kerana mereka tidak sebangsa dan tidak seagama dengan kita. Kita rasa megah sebagai muslim dengan membandingkan terhadap mereka yang tidak muslim. Ini antara punca lambatnya kefahaman Islam berkembang di kalangan bukan Islam.

Namun hari ini seronok berarak, berbaju cantik, membawa sepanduk laksana tunjuk perasaan, memaparkan rasa cinta dan kagum terhadap peribadi Rasulullah. Untuk memenuhi agenda maulidur rasul, yang selama ini tidak bertudung kepala, hari inilah bertudung kepala. Tetapi yang lelaki kaki rokok tidak pula berpuasa rokok sebagai menghormati maulidur rasul. Kebanyakan habis di situ, mereka yang tidak perduli solat berjemaah, sekalipun melaungkan cinta nabi, berselawat dengan banyak sekali, masa solat mereka di rumah juga. Ini namanya retorik, dan tidak ada satu bukti besar aktiviti semasa maulidur rasul memberi satu kesan positif sebagai satu titik mula dalam kehidupan dirinya yang muslim.

Merasa cinta dan berguru kepada nabi tidak hanya berakhir pada tanggal akhir bulan maulud. Hal ini sepatutnya satu agenda besar dalam hidup yang tidak kunjung akhir selagi hayat dikandung badan. Marilah meski sedikit waktu untuk kita meneliti sunah nabi dalam mana-mana ibadah, semoga yang kecil ini menjadi satu mercu tanda kecintaan kepada Junjungan Besar Rasulullah s.a.w. Syukurlah, kerana kita sedar hanya sebagai orang kecil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan