Halaman

Ahad, Mac 23, 2008

IQRA' bacalah, kembaralah...

WAHYU pertama Iqra, apa lagi kalau bukan dinamakan anjuran membaca kepada umah. Membaca sangat berkait dengan keilmuan. Maka membaca ertinya menambah ilmu. Cara menambah ilmu bukan sahaja membaca secara harfiah, malah berterusan kepada membuat penyelidikan, perbincangan, perdebatan dan penulisan. Namun semua itu berasas daripada membaca. Tanpa ada budaya pembacaan yang kuat, seseorang akan terkontang-kanting dalam pergulatan ilmu yang pelbagai.

Kalau tidak membaca, ertinya tiada asas kepada penerokaan ilmu. Tahu membaca tetapi tidak mahu menjadikan aktiviti itu sebagai budaya hidup, bererti berundur ke belakang dan duduk bersama kumpulan manusia buta huruf. Orang malas membaca dan buta huruf memang masih boleh hidup dan menikmati kepelbagaian, tetapi jelas membentuk jurang dengan manusia yang kaki baca. Orang malas membaca hanya menghafal simbol-simbol penting supaya ada kelangsungan hidup, itu saja.
Di mana-mana pun apabila insan sedang belajar, gesaannya ialah kuatkan membaca. Belajar atau menuntut ilmu memang perlukan guru sebagai panduan, tetapi guru bukanlah sumber muktamad dalam pencarian ilmu. Tidak ada satu manusia pun yang diakui sebagai satu enslikopedia hidup. Malah seorang penulis sebuah buku juga tidak dapat menuturkan semula semua perkataan dan baris ayat daripada buku yang dikarangnya. Akhirnya dia juga kembali membaca hasil karyanya sendiri. Maka guru juga tidak terkecuali daripada memberi galakan kepada semua anak muridnya agar memiliki buku atau kitab-kitab tertentu untuk dijadikan pembacaan, dijadikan rujukan dalam perguruannya anak-anak muridnya.

Apa gunanya ilmuan atau ulama menulis buku kalau bukan untuk dibaca oleh orang lain. Bayangkan banyaknya buku ditulis pada zaman kegemilangan tamadun Islam di Baghdad sebelum kejatuhannya. Umah menangis dan kesal apabila membaca catatan sejarah air sungai Furat menjadi hitam kerana tinta pada kitab-kitab yang dihumban ke sungai oleh tentera-tentera buta huruf Monggol tahun 1258 masehi. Bayangkan berapa ribu kitab, sumber rujukan, punca ilmu yang tidak ada pendua itu lenyap begitu saja. Kepada kita di Nusantara, terbakarnya kapal The Fame pada zaman British juga seperti berulangnya kitab-kitab dihumban ke sungai Furat. The Fame yang sarat dengan buku atau kitab dari seluruh Nusantara konon untuk di bawa ke Eropah, terbakar dan tenggelam di Selat Melaka.

Penciptaan mesin cetak di Eropah kurun ke-15 asalnya dianggap sebagai perkara kecil. Apabila beribu-ribu buku dan Bible dicetak dan dibaca oleh banyak manusia, maka renaissance muncul dan mencabar peradaban semasa. Apa itu? Semuanya kerana manusia yang dahulunya tertimbus dalam kebodohan telah terbuka mindanya kerana pembacaan yang pelbagai. Salut untuk Gutternberg yang mencipta mesin cetak itu kerana telah menjadikan berjuta-juta manusia secara mudah mendapat ilmu. Kesannya memang bukan kepalang, agama Kristian terbelah dua: Katholik dan Protesten. Yang lain, bangsa-bangsa di Eropah daripada tidur saja dalam dunia bodoh akhirnya bingkas dengan keilmuan dan menakluk dunia.

Di celah-celah kerancakan budaya keilmuan yang berasas kepada pembacaan ini, ada manusia yang masih berfikiran zaman bahari. Segelintir manusia yang mula kehilangan pengaruh kerana kuatnya manusia membaca mula memberi ancaman terhadap kekuatan hasil pembacaan. Di balik mereka mengakui perlunya membaca, para pembaca diancam akan meneroka dunia sesat dan kekalutan apabila ‘mencari ilmu tanpa berguru’. Pada zaman maklumat di hujung jari, golongan kecil ini masih menggunakan satu-satunya kaedah belajar menghadap guru vis-à-vis. Sebuah kitab dibaca di hadapan guru dan diterangkan satu persatu seperti kita sedang mengenal alif ba ta. Tanpa belajar secara vis-a-vis ini ilmu yang dimiliki bagai tidak diterima! Patutlah ada kelompok hasil pembelajaran ini meneruskan dunia jumud dan syok sendiri tanpa sebab.

Tulisan ini memang menyahut dan menyambung kempen supaya manusia menjadikan membaca buku sebagai budaya penting manusia bertamadun. Belajar di kolej atau universiti setelah menempuhi tiga atau empat tahun bukan berakhirnya proses pengumpulan ilmu, tetapi hanya sebagian daripada penerokaan ilmu yang melaut. Sesiapa yang berbangga dengan sijil, diploma dan ijazahnya saja akan menjadi usang dan buta huruf juga pada masa hadapan. Pemikiran wajib diasah, sentiasa dibangunkan dengan kritis dan kreatif supaya sesuai dengan kehendak semasa.

Benar orang yang berilmu tidak semestinya bijak, tetapi kebijakan itu tidak terserlah jika tidak berasaskan ilmu. Mematikan diri tidak mahu menambah pengetahuan semasa hanya meletakkan seseorang di jurang kebekuan. Pada saat dunia sains dan teknologi berkembang pantas ada yang tidak tahu untuk apa perkembangan teknologi. Sekarang perang maklumat berlaku di mana-mana. Perhatikan saja dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang terakhir. Masyarakat kota atau wilayah berkota mempunyai penduduk yang lebih bermaklumat telah sepakat memberi satu mesej paling jelas tentang bentuk pentadbiran yang menepati standard kecemerlangan. Di balik itu, masyarakat desa yang masih terpinggir daripada arus maklumat, meneruskan tradisi penerimaan standard pentadbiran alafeudalisme.

Sebagai rumusan, pembacaan sebagai penerimaan maklumat akan terus berkembang dan tidak mampu dihalang lagi. Sesiapapun akhirnya mesti menerima pembacaan daripada pelbagai sumber akan membentuk wacana ilmiah yang pelbagai. Baik semua pihak mengakui dan meraikan kerancakan membaca daripada pelbagai sumber. Mengekang dan mengugut proses pembacaan hanya akan ditertawakan oleh kanak-kanak!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan