Halaman

Ahad, Mac 16, 2008

EMEL 8: Paku terakhir

MANA yang meresahkan masyarakat? Menuduh kafir kepada orang yang menyebut Allah semayam di Arasy atau berlapang dada kerananya. Jawabnya tentulah jika kita berlapang dada, kejutan dan keresahan di kalangan masyarakat tidak berlaku.

Apakah dia “Allah semayam di Arasy” sehingga dijadikan senjata mengkafirkan sebagian umat Islam oleh segelintir pihak. Ini ialah perbahasan mengenai sifat-sifat Allah. Sekalipun ada beberapa sifat Allah yang terkandung dalam alquran dan hadis nabi, namun kemuncak perbalahan sehingga membawa tuduhan kafir ialah ayat “Allah istiwa/semayam di Arasy”.

Sebelum memberikan nas alquran dan hadis, wajib dicatat dalam surah as Syura ayat 11 yang membawa maksud, “Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia.” Juga maksud surah al Ikhlas ayat 4, “Dan tidak ada seorang pun yang setara (menyamai) dengan Dia”

Berdasarkan keimanan kepada surah syura (ayat 11) dan ikhlas (ayat 4), maka seseorang muslim tidak akan menggambarkan Allah itu menyerupai apa-apa dalam fikirannya. Benar, banyak ayat dan hadis merakam Allah semayam/istiwa di Arasy dan Allah di langit, namun itu tidak membawa pengertian Allah semayam seperti perilaku para sultan atau seperti duduknya Pak Long. Jika ada yang membayangkan Allah semayam seperti kelakuan makhluk / manusia memang itu salah besar. Orang seperti ini tidak beriman dengan surah Syura (ayat 11) dan surah Ikhlas (ayat 4). Orang seperti itu rosak akidahnya sebab menyamakan Allah seperti makhluk.

Apa yang diajarkan oleh para ulama salaf ialah menerima semua ayat Allah di langit dan istiwa di Arasy tanpa membayangkan bagaimana caranya, kerana terikat dengan “Allah tidak menyamai apa-apa”. Kaedah ‘tafwidh’ atau menyerahkan hal-hal Allah itu kepada Allah, bukan hasil pemikiran akal manusia. Para ulama salaf merujuk alquran dan sunah. Tidak ada ayat alquran yang meminta jangan menyebut Allah di langit atau Allah semayam di Arasy. Malah hadis-hadis sahih merakamkan Rasulullah sendiri menyebut Allah di langit. Ucapan pujian itu diberi kepada seorang hamba perempuan. Kalaulah melafazkan “Allah di langit” menyebabkan kufur, Rasulullah adalah manusia pertama menegahnya.

Kefahaman menyebut sifat-sifat Allah menurut wahyu dan hadis sahih dengan berpandu ayat 11 surah syura dan ayat 4 surah Ikhlas adalah perkara lumrah dan menepati fitrah. Tidak ada apa-apa keraguan.

Hanya orang yang melampaui had dalam menafsir ayat sifat Allah secara berfalsafah membawa kepada persoalan Allah yang mencipta tempat. Langit dan arasy adalah tempat yang dicipta Allah. Katanya lagi, Allah tidak memerlukan tempat seperti manusia. Maka golongan ini menuduh siapa yang menyatakan Allah semayam di Arasy (tempat) dan Allah di langit (tempat) adalah kafir. Kalau orang berkata begitu tanpa bersandar ayat 11 surah Syura memang dia berhak dituduh sesat memahami sifat Allah. Pastikah orang yang berkata “Allah semayam di Arasy dan Allah di langit” itu telah melanggar had dalam ayat 11 surah Syura? Ini perkara abstrak, sukar dibuktikan secara fizikal.

Namun kembali kepada umah yang menerima atau pasrah dengan semua ayat Allah dan hadis hal “Arasy dan langit” dengan tidak sedikit pun membayangkan Allah seperti makhluk atau raja, tidak mahu berlebih-lebih dalam memahami sifat Allah. Mereka ini mewarisi kaedah yang dicontohkan oleh Rasulullah dan para sahabat. Kaedah ini lebih mudah dan bersih daripada gangguan akal fikiran manusia. Tidak ada kecacatan memahami akidah seperti ini.

Harap mereka yang selama ini cenderung menuduh kafir terhadap saudaranya yang berpegang kepada manhaj salaf dalam memahami ayat-ayat sifat Allah, berhenti daripada perbuatan itu. Apa faedahnya mengkafirkan saudaranya yang muslim sedangkan yang dikafirkan itu tidak sebagaimana dituduh. Takutlah dengan tuduhan itu akhirnya kembali kepada diri penuduh.

Kepada para pemegang manhaj Salaf dalam memahami ayat sifat Allah juga tidak boleh menuduh sesat dan kafir kepada yang berpendapat “Allah wujud tidak bertempat” kerana mereka telah memilih satu kaedah untuk mengelakkan daripada menyamakan Allah dengan sesuatu, walaupun agak sukar difahami. Matlamatnya sama, cuma perjalanan yang berbeda untuk memahami Allah itu tidak sama seperti makhluk. Akhirnya, kedua-dua golongan tidak juga mensyirikkan Allah.

Berikut adalah rujukan yang terakam dalam alquran dan hadis mengenai sifat Allah istiwa/semayam di Arasy dan Allah di langit.

Daripada 114 surah dalam alquran, terdapat tujuh tempat Allah memperkenalkan diri-Nya bersemayam/istiwa di Arasy iaitu surah al Araf ayat 54, surah as Sajadah ayat 4, surah Taha ayat 5, surah al Furqan ayat 59, surah Yunus ayat 3, surah Ra’du ayat 2 dan surah Hadid ayat 4.

Bukan sahaja sifat Allah istiwa di Arasy sebagai perdebatan, malah sifat Allah berada di langit juga. Sifat Allah di langit ada dengan jelas pada surah al Mulk ayat 16 dan 17. Surah al Baqarah ayat 144 menjelaskan Allah menuju ke langit.

Surah al Mukmin ayat 36 dan 37 bersama surah al Qasas ayat 38 menceritakan secara tidak langsung sifat Allah di langit apabila menggambarkan Fir’aun mahu membuat bangunan tinggi demi dapat melihat Allah di langit (sebenarnya sebagai mengejek Nabi Musa). Ini bererti Nabi Musa telah memberitahu Fir’aun bahawa Allah di langit.

Surah an Nisa ayat 58 d an Ali Imran ayat 55 menjelaskan Allah mengangkat Nabi Isa. Maksud mengangkat difahami membawa dari bawah ke atas.

Surah al Baqarah ayat 144, Allah menceritakan Rasulullah sendiri sering mendongak ke langit ketika berdoa supaya dipindahkan arah kiblat dari Masjid Aqsa ke Masjidil Haram Makkah.

Surah an Nisa ayat 153 menceritakan para ahli Kitab yang meminta Allah menurunkan sebuah kitab baru dari langit.

Bagaimana dengan hadis nabi atau atsar sahabat? Adakah perkataan mereka yang secara jelas menggambarkan Allah di langit?

Rasulullah SAW pernah mengajukan pertanyaan kepada seorang hamba (budak) perempuan milik Mua'wiyah bin Al-Hakam As-Sulamy sebagai ujian keimanan sebelum ia dimerdekakan oleh tuannya, iaitu Mu'awiyah (ertinya) :Nabi s.a.w. bertanya kepada hamba itu, "Di manakah Allah?” Jawab hamba perempuan, "Di atas langit.” Baginda bertanya lagi, "Siapakah Aku?". Jawab hamba itu, "Engkau adalah Rasulullah". Baginda bersabda : "Merdekakan ia, karena sesungguhnya ia mukminah (seorang perempuan yang beriman)!"


Hadits sahih. Dikeluarkan oleh Jama'ah ahli hadits, antaranya:
Imam Malik (Tanwirul Hawaalik syarah Al-Muwath-tho juz 3 halaman 5-6).
Imam Muslim (2/70-71)
Imam Abu Dawud (No. 930-931)
Imam Nasa'i (3/13-14)
Imam Ahmad (5/447, 448-449)
Imam Daarimi 91/353-354)
Ath-Thayaalis di Musnadnya (No. 1105)
Imam Ibnul Jaarud di Kitabnya "Al-Muntaqa" (No. 212)
Imam Baihaqy di Kitabnya "Sunanul Kubra" (2/249-250)
Imam Ibnu Khuzaimah -Imamnya para Imam- di Kitabnya "Tauhid" (hal. 121-122)
Imam Ibnu Abi 'Aashim di Kitab As-Sunnah (No. 489 di takhrij oleh ahli hadits besar Muhammad Nashiruddin Al-Albani).
Imam Utsman bin Sa'id Ad-Daarimi di Kitabnya "Ar-Raddu 'Alal Jahmiyyah" (No. 60,61,62 halaman 38-39 cetakan darus Salafiyah).
Imam Al-Laalikai di Kitabnya "As-Sunnah " (No. 652).

Sabda Nabi maksudnya, "Orang-orang yang penyayang, mereka itu akan disayang oleh Allah Tabaaraka wa Ta'ala (Yang Maha berkat dan Maha Tinggi). oleh kerana itu sayangilah orang-orang yang di muka bumi, niscaya Dzat yang di atas langit akan menyayangi kamu". (Sahih diriwayatkan oleh Imam-imam : Abu Dawud No. 4941. Ahmad 2/160. Hakim 4/159. dari jalan Abdullah bin 'Amr bin 'Ash. Hadis ini telah disahihkan oleh Imam Hakim dan telah pula disetujui oleh Imam Dzahabi. Demikian juga Al-Albani telah menyatakan hadits ini sahih dalam kitabnya "Silsilah Sahihah No. 925".

Sabda Nabi bermaksud, "Barang siapa yang tidak menyayangi orang yang di muka bumi, niscaya tidak akan disayang oleh Dzat yang di atas langit". (Sahih, diriwayatkan oleh Imam Thabrani di kitabnya "Mu'jam Kabir No. 2497 dari jalan Jarir bin Abdullah. Imam Dzahabi di kitabnya "Al-Uluw" hal : 83 diringkas oleh Al-Albani) mengatakan : Rawi-rawinya tsiqaat/kepercayaan).

Sabda Nabi bermaksud, "Tidakkah kamu merasa aman kepadaku padahal aku orang kepercayaan Dzat yang di atas langit, datang kepadaku berita (wahyu) dari langit di waktu pagi dan petang". (Sahih, diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim 3/111 dan Ahmad 3/4 dari jalan Abu Sa'id Al-Khudry).

Sabda Nabi bermaksud, "Demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya! Tidak seorang suamipun yang mengajak istrinya ke tempat tidurnya (bersenggama), lalu sang isteri menolaknya, melainkan Dzat yang di atas langit murka kepadanya sampai suaminya rida kepadanya".(Sahih, diriwayatkan oleh Imam Muslim 4/157 dari jalan Abu Hurairah).

Berdasar empat hadis di atas, jelasnya maksud Dzat yang di atas langit yakni Allah 'Azza wa Jalla.

Sabda Nabi bermaksud, "Silih berganti (datang) kepada kamu Malaikat malam dan Malaikat siang, mereka berkumpul pada waktu salat subuh dan asar. Kemudian naik malaikat yang bermalam dengan kamu, lalu Tuhan mereka bertanya kepada mereka, padahal Ia lebih tahu keadaan mereka : "Bagaimana (keadaan mereka) sewaktu kamu tinggalkan hamba-hamba-Ku?” Mereka menjawab : "Kami tinggalkan mereka dalam keadaan salat dan kami datang kepada mereka dalam keadaan salat". (Sahih, diriwayatkan oleh Imam Bukhari 1/139 dan Muslim 2/113 dll).

Jabir bin Abdullah telah meriwayatkan tentang sifat haji Nabi dalam satu hadits yang panjang yang didalamnya diterangkan khutbah Nabi SAW di padang 'Arafah: (Jabir menerangkan) Lalu Nabi SAW mengangkat jari telunjuknya ke arah langit, kemudian beliau tunjukkan jarinya itu kepada manusia, (kemudian beliau berdo'a) "Ya Allah saksikanlah ! Ya Allah saksikanlah! ( Riwayat Imam Muslim 4/41).

Lagi maksud hadis Nabi s.a.w.Dari Ibnu Abbas r.a. dia berkata: " Bahwa Rasulullah SAW berkhutbah kepada manusia pada hari Nahr (10 Zulhijah)” Kemudian Ibnu Abbas menyebutkan khutbah Nabi SAW- kemudian baginda Nabi mengangkat (mendongak) kepalanya (ke langit) sambil mengucapkan: “Ya Allah bukankah aku telah menyampaikan! Ya Allah bukankah aku telah menyampaikan!” (Riwayat Imam Bukhari Juz 2 hal : 191).

Lagi maksud hadis Nabi. Dari Aisyah, ia berkata: "Nabi SAW mengangkat kepalanya ke (arah) langit.” (Riwayat Imam Bukhari 7/122).

Umar bin Khatab pernah mengatakan yang ertinya :"Bahawa segala urusan itu (datang/keputusannya) dari sini". Sambil Umar mengisyaratkan tangannya ke langit. [Imam Dzahabi di kitabnya "Al-Uluw" hal : 103. mengatakan : Sanadnya seperti Matahari (yakni terang benderang keshahihannya)].

Anas bin Malik menerangkan yang ertinya: Sesungguhnya Zainab memegahkan dirinya ke atas isteri-isteri Nabi SAW, dia berkata: "Yang mengahwinkan kamu (dengan Nabi) adalah keluarga kamu, tetapi yang mengahwinkan aku (dengan Nabi) adalah Allah Ta'ala dari atas tujuh langit".

Dalam satu lafaz Zainab binti Jahsyin mengatakan :"Sesungguhnya Allah telah menikahkan aku (dengan Nabi) dari atas langit". (Riwayat Bukhari juz 8 hal:176). Yakni perkahwinan Nabi SAW dengan Zainab binti Jahsyin langsung Allah Ta'ala yang menikahinya dari atas 'Arasy-Nya.

Firman Allah di dalam surat Al-Ahzab ayat 37, ertinya:"Kami kahwinkan engkau dengannya (yakni Zainab)".

Imam Malik bin Anas telah berkata yang ertinya,"Allah berada di atas langit, sedangkan ilmunya di tiap-tiap tempat, tidak tersembunyi sesuatupun dari-Nya".

Imam Asy-Syafi'iy telah berkata yang ertinya :"Dan sesungguhnya Allah di atas 'Arasy-Nya di atas langit-Nya"

Imam Ahmad bin Hambal pernah ditanya : "Allah di atas tujuh langit di atas 'Arasy-Nya, sedangkan kekuasaan-Nya dan ilmu-Nya berada di tiap-tiap tempat.? Jawab Imam Ahmad yang ertinya,"Benar ! Allah di atas 'Arasy-Nya dan tidak sesuatupun yang tersembunyi dari pengetahuan-nya".

Wallahu ‘aklam

(emel diterima pada 17 Mac daripada
mileniam74@yahoo.com , malangnya tidak mengupas isu yang saya berikan di atas. Dia cuba menjejaskan kredibiliti saya dengan mengajak bincang apa kitab yang saya telaah. Faham sangat taktik dia nih.....Lari saja daripada topik yang dia sendiri buka.)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan