Halaman

Selasa, Mac 25, 2008

APA lagi wahai orang politik?

APA lagi wahai orang politik? Ini pertanyaan daripada rakyat terbanyak di bawahan. Sepanjang pilihan raya rakyat sudah diajak menentukan parti atau calon mana yang hendak diundi. Banyak sudah tenaga, fikiran dan wang ringgit dicurahkan untuk menjayakan PRU12. Entah berapa banyak modal rakyat biasa turut dihanguskan dalam pilihan raya selain Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri menggunakan berjuta-juta ringgit.
Sekarang masanya rakyat mahu ketenangan, kesantunan dan keharmonian. Tidak ada huru-hara daripada rakyat dan semua menerima menang dan kalah dengan biasa saja. Rakyat sedang memerhati dan menilai apa yang sedang dan akan dibuat oleh pihak-pihak yang menang. Setakat ini cukuplah, janganlah menajak rakyat berpolemik dalam politik yang punya seribu penafsiran.

Mengapa jawatan MB Terengganu menjadi isu lagi. Barisan Nasional sudah menang di sana dan sesiapa pun yang menjadi MB bukanlah menjadi masalah dan isu kepada rakyat banyak. Benar istana ada hak melantik sesiapa menjadi MB, dan istana sudah melaksanakan tugasnya. MB Terengganu bukanlah orang lain, bukanlah daripada parti bukan BN. Datuk Ahmad adalah anggota BN, orang Umno yang sudah berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Sepatutnya mana-mana pihak menyokong saja Datuk Ahmad sebagai MB, habis cerita. MB daripada BN akan melantik Exco-exconya daripada BN juga. Yang memerintah Terengganu parti BN juga, bukan selain itu dan ini sudah mencapai objektif BN semasa PRU12 yang lalu. BN akan berkuasa sehingga PRU13 kelak yang mungkin tahun 2012. Lama lagi.

Datuk Idris? Tiada siapa menafikan sumbangan kepada BN dan kerajaan Terengganu. Sepatutnya orang politik bersedia untuk tiba-tiba naik berkuasa dan begitu juga sebaliknya. Datuk Haji Hadi juga pernah menjadi MB selama empat tahun. Itulah hakikat apabila Pas kalah maka Presiden Pas itu pun sekadar menjadi ahli biasa di DUN. Datuk Idris pun orang politik, maka dia harus bersedia dan pasrah, mungkin benar rezekinya menjadi MB setakat itu saja.

Baru saja politik negara digegar dengan suara rakyat mahukan perubahan dan mengajar mereka yang tidak perduli suara rakyat bawahan. Kini hanya kerana pertukaran peribadi ke jawatan MB sudah meleret-leret entah ke mana. Rakyat mahu bekerja di laut, di sawah, di kilang dan di mana-mana. Rakyat mahu mendengar apa cerita pelaksanaan janji lima tahun akan datang. Perbalahan siapa menjadi MB bukan termasuk janji kemeriahan politik setelah tamat PRU12.

Semua orang politik yang menang sebenarnya diperhatikan dari segala sudut oleh rakyat. Episod di Terengganu juga akan dinilai oleh rakyat satu negara, bukan orang Terengganu saja. Berpada-padalah dan waspadalah aduhai bapa-bapaku orang politik. Orang Melayu mahukan keamanan di Tanah Melayu ini, mahukan kedamaian dan keselamatan. Cukuplah itu, cukuplah…. Kalian sudah dewasa dan patut menjadi contoh kepada yang masih muda. Berbalah ini, adakah mahu diwariskan kepada generasi seterusnya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan