Halaman

Rabu, Januari 02, 2008

SEKOLAH dan moral sejarahnya.

TAHUN baru mesti diiringi dengan persekolahan anak-anak. Di negara kita Malaysia, persekolahan dikira mewah jika dibanding dengan negara-negara jiran. Jauh lebih mewah jika dibandingkan dengan persekolahan di sesetengah negara Afrika. Di semenanjung sudah tidak didengar lagi anak-anak pergi sekolah berjalan beberapa kilometer, berkaki ayam dahulu, sampai ke sekolah barulah basuh kaki. Sewaktu saya mula bersekolah di Sabak Bernam tahun 1971, itulah sebagian pengalaman yang ditempuh.

Di pedalaman Sabah dan Sarawak masih ada lagi babak murid berkaki ayam, berjalan kaki beberapa kilometer, termasuk yang merentas bukit dan sungai. Dua tahun lepas di muka depan akhbar terakam beberapa murid sekolah meniti tali yang merentang sungai untuk ke sekolah.

Mengikut rekod sejarah, orang Melayu mula mengenal sistem persekolahan setelah kemasukan Islam (abad ke-13 hingga ke-17) dengan pendidikan pondok menjadi keutamaan. Sekolah-sekolah pondok atau pesantren hanya menawarkan pelajaran berkaitan ‘agama’ atau hal akhirat. Sistemnya juga mudah, siapa saja boleh masuk dan tidak ada apa-apa peperiksaan. Kelantan, Pattani, Kedah, Acheh dan Jawa antara pusat pertumbuhan sistem pondok. Begitulah beratus-ratus tahun sekalipun British mula campur tangan dalam pemerintahan di negeri-negeri Melayu bermula akhir kurun ke-19.

Hanya apabila tokoh-tokoh Islah seperti Syed Syeikh al Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Mohamad Salim Kalali pulang ke tanah air dari Timur Tengah (tahun 1900) membawa gagasan Islah untuk membangunkan bangsa Melayu. Kerana tidak yakin sistem pondok mampu membangunkan umah, gerakan Islah membina madrasah yang menggabungkan pendidikan fardu ain dengan ilmu keduniaan seperti Ilmu Hisab dan Bahasa Inggeris. Idea Islah dan madrasah rancak di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.

Malangnya ulama-ulama di institusi kepondokan bersepakat menolak idea Islah. Malah dikuatkuasakan undang-undang supaya majalah dan buku-buku Islah tidak memasuki negeri-negeri Melayu selain Negeri-negeri Selat. Mereka berselindung di balik kuasa raja untuk menahan kemasukan idea Islah. Ini merupakan satu tragedi dalam kemajuan pendidikan bangsa Melayu.

Kemudian barulah kerajaan-kerajaan negeri (British) membina sekolah Melayu. Lantaran kemasukan orang-orang Cina dan India maka di negara kita waktu itu terdapat Sekolah Melayu, Sekolah Inggeris, Sekolah Cina, Sekolah Tamil dan Sekolah-sekolah pondok. MCKK ditubuhkan untuk elit Melayu atau anak-anak bangsawan.

Moral catatan sejarah penubuhan sekolah-sekolah ini ialah pendidikan adalah aset penting pembinaan tamadun mana-mana bangsa. Jika kita memahami kehendak kalimah pertama sampai kepada Junjungan Besar Rasulullah iaitu IQRA’, tentu saja kita akan meletakkan keutamaan menuntut ilmu dalam agenda kehidupan. Tambah-tambah ada hadis nabi yang menegaskan belajar itu bermula dari buaian sehingga ke liang lahad.

Tamadun Islam di Andalusia (Sepanyol) dan Baghdad (Arab) ialah kerana kegemilangan ilmu. Bandar-bandar utama di mana-mana kerajaan besar Islam adalah pusat kecemerlangan ilmu. Ilmu yang terhasil daripada tamadun Islam pula bukanlah hanya bab ibadah dan taharah. Nama-nama tersohor sepanjang zaman seperti al Khawarizmi, Ibnu Khaldun, Ibnu Sina, al Beruni dan al Kindi (sekadar beberapa nama) bukanlah ahli-ahli fikah, tetapi ahli ilmu keduniaan.

Sebab itu Gerakan Islah di Tanah Melayu dan Sumatera awal abad ke-20 dahulu mahu membuka minda bangsa Melayu dengan memahami Islam bukan sekadar fardu ain. Sebab itulah mereka membuka madrasah-madrasah yang memasukkan ilmu-ilmu keduniaan kerana Islam bukan hanya fardu ain. Pengurusan sistem belajar madrasah lebih bersistematik dan membuka peluang kepada anak-anak perempuan untuk belajar.

Ahli-ahli sains, matematik, Geografi, Sejarah, Astronomi dan lain-lain telah muncul beratus-ratus tahun dahulu, kemudian barulah alam Nusantara Melayu ini memeluk Islam. Malangnya tidak ada warisan tokoh ilmu keduniaan muncul di pusat-pusat tamadun Islam Nusantara. Tokoh-tokoh yang tersohor ialah ahli-ahli sufi atau tarekat seperti Hamzah Fansuri, Syeikh Nuruddin al Raniri, Syamsuddin Sumatrani dan Abdul Rauf Singkel (beberapa nama saja), juga ahli bahasa dan sejarah tempatan seperti Tun Sri Lanang dan Raja Ali Haji.

Bayangkan saja dungunya bangsa Melayu mengenai teknologi semasa dalam peperangan seperti yang dirakam oleh pengarang Sejarah Melayu. Antaranya para pejuang Melayu yang mempertahankan Melaka daripada serangan Portugal kaget dengan bentuk senjata askar Portugal (tahun 1511). Kata mereka, “mana tajamnya dapat membunuh pula?” Dalam minda pejuang Melayu waktu itu, yang dinamakan senjata mestilah berbentuk tajam, bukan bulat atau tumpul seperti peluru bom!

Hari ini pun pengertian Pendidikan Islam masih ada difahami sebagai fardu ain. Lihat saja kandungan mata pelajaran Pendidikan Islam termasuklah tajwid, tauhid, menghafaz ayat al Quran, tafsir beberapa ayat al Quran dan Hadis, sejarah Islam dan hukum-hukum fikah. Apabila yang begitu disebut Pendidikan Islam, maka seolah-olah Sains, Matematik, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah Dunia dan Geografi bukan pendidikan Islam. Maka tidak kurang anak-anak yang menutup aurat dan berkopiah ketika belajar fardu ain, tetapi menanggalkan kopiah dan tudung ketika tuisyen sains dan matematik.

Masyarakat juga ada yang memberi tanda ‘jempol’ kepada yang bergelar ustaz, yang berkopiah, berjubah dan berserban tetapi tidak melihat orang yang berkemeja bertali leher atau bersemutar di laut sebagai hamba Allah yang taat juga. Yang bertudung labuh diberi kredit wanita muslimah beriman, tetapi wanita yang bertudung tiga segi dan cekap dalam kerjanya tidak diberi nilai yang sama.

Set minda ini perlu diubah sesuai dengan kehendak Islam yang menyeluruh. Kehidupan muslim itu seluruhnya ibadah, bukan di tempat-tempat tertentu dan orang-orang tertentu saja. Ya, Islah atau tajdid sedang berjalan untuk mengubah set minda bangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan