Halaman

Khamis, Januari 10, 2008

REVOLUSI awal Muharam

AWAL Muharam kerap benar dikaitkan dengan penghijarahan Nabi s.a.w. dari Makkah ke Madinah. Bila berlakunya? 1429 tahun yang lampau. Patut benarlah sepatutnya antara penggerak minda umah dalam suasana Maah Hijrah ini melabrak minda khalayak mengenai kebangunan bangsa Arab daripada bangsa yang dihina oleh bangsa-bangsa lain, kepada satu bangsa yang sangat dihormati dan digeruni setelah menerima pakai modul Islam.

Kita mengetahui mengenai kebobrokan bangsa Arab di Hijaz itu melalui al Quran dan hadis-hadis nabi. Pembunuhan anak-anak perempuan, perjudian, perhambaan dan peperangan antara kabilah dan soal kekotoran yang dicatat dalam ayat-ayat larangan serta anjuran secara tidak langsung menceritakan mengenai keadaan lemah dan buruknya bangsa Arab. Jika ada hadis nabi mengenai orang kencing dalam masjid dan di teduhan pokok, itulah sebagian tabiat buruk mereka pada zaman jahiliah.

Nabi mula menerima wahyu pada 610M dan wafat pada 633M, kira-kira 23 tahun Allah mendidik manusia (dimulakan dengan bangsa Arab) dengan penurunan al Quran. Abu Bakr memerintah selama 2 tahun, dan Umar al Khattab selama 10 tahun. Sejarah merakam 10 tahun pemerintahan Umar sebagai zaman emas kerana cukup mapan dalam persaingan peradaban dunia. Maknanya 45 tahun selepas wahyu pertama diturunkan melalui Rasulullah, bangsa Arab sudah berada pada tahap lepas landas, tinggal meluncur maju ke hadapan.

Hanya 45 tahun (katalah saja 50 tahun, Malaysia merdeka pun sudah 50 tahun) satu bangsa yang asalnya begitu daif menjadi bangsa yang sangat dikagumi. Ini contoh revolusi paling tepat. Memang semua ajaran Islam adalah satu revolusi. Budaya peperangan kabilah diganti dengan persaudaraan sebagaimana dicontohkan oleh Ansar dan Muhajirin, contoh revolusi sosial terbaik. Rasulullah adalah orang luar kepada penduduk Madinah, tetapi dilantik menjadi Ketua Negara Madinah satu lagi contoh revolusi politik dunia!

Bagaimana Arab dapat dimajukan dengan begitu pantas? Jawabnya mereka dapat menghayati ajaran dan nilai Islam dengan tepat. Mereka menerima Islam bukan dengan retorik seperti kita, tetapi dengan sebenarnya. Kita lebih retorik dengan mengatakan Melayu mundur kerana mengabaikan Islam. Kita dijanjikan kalau Islam diterima 100 peratus Melayu pun akan menjadi sehebat Arab yang dididik oleh Rasulullah dan sahabat.

Bangsa yang dididik Nabi dan Sahabat itu, apabila dianjurkan mencari ilmu, mereka tidak berlengah lagi. Tamadun Islam tidak akan bergerak sepantas itu jika pembawanya masih jahil. Bayangkan saja semasa pra-Islam bangsa Arab yang lebih banyak buta huruf tetapi dapat mendepani tamadun dunia dalam tempoh setengah abad. Ilmu adalah asasnya, tambahan pula kuasa Rom dan Parsi telah lama membina tamadun yang juga berasaskan ilmu, ilmu dan nilai tamadun mereka. Dalam hal mencari ilmu, Arab dahulu tidak beretorik. Tawanan perang dapat menebus dirinya dengan mengajarkan ilmu kepada umat Islam!

Dalam hal kebobrokan sosial, apabila ditegah memutuskan silatur rahim, diharam membunuh saudara Islamnya dan dikeji hal-hal kekotoran, mereka bangkit meninggalkannya. Kita terlalu perlahan atau tidak peduli mengenai kesatuan ukhwah, malah ada yang menajamkan lagi atas nama parti, organisasi, kabilah dakwah atau aliran fikrah. Sedih apabila yang bercakap mengenai perpaduan, dimaksudkan dengan perpaduan dalam parti menghadapi parti lawan yang juga sahabat dan saudaranya yang Islam. Sampai bila-bila pun Islam hanya sebagai retorik penyelesai masalah umah.

Pemahaman Islam kita juga agak mengelirukan. Ada sebahagian yang menuduh segolongan lain sebagai ahli sekular dan wajib dilawan demi Islam yang syumul. Pada waktu yang sama ada kumpulan mengatakan sebagai Islam tetapi tidak perdulikan hal kemajuan dunia. Namun kumpulan ini tidak pula diserang sebagai sekular. Jika maksud sekular mengasingkan agama dan dunia, ahli ibadah yang menolak keduniaan atas nama zuhud dan sufi juga sekular.

Inilah dunia Islam di mana-mana pun. Menetapkan semua tarikh ibadah sebagai sama untuk umah sedunia pun gagal. Aneh sekali sekali 1 Ramadan dan 1 Syawal berbeda harinya, tetapi tarikh 1 Muharam sama di mana-mana. Set minda menyatukan umah terutama hal-hal keduniaan yang tiada halangan politik patut digerakkan dan dijadikan pandangan umum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan