Halaman

Khamis, Disember 27, 2007

Seputar kaedah mengenal Tuhan

APA bedanya seorang muslim dengan penganut agama-agama lain? Di mana-mana kelihatan manusia bergaul dan bekerja bersama-sama dan memerlukan asas kehidupan yang serupa pula. Seorang muslim sebagaimana manusia lain, perlukan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Manusia lain menganut agama dalam ikhtiarnya mencari Tuhan, begitu juga sebagai muslim.

Akidah atau tauhid menjadi pembeda antara seseorang muslim dengan manusia-manusia yang bukan muslim. Akidah juga sebagai pintu masuk seseorang ke dalam agama pilihannya. Islam dan semua agama mempunyai prinsip akidahnya masing-masing.

Oleh kerana akidah merupakan pintu masuk dalam Islam, maka pintu masuk ini mestilah sesuatu yang mudah dilalui supaya seseorang dapat terus masuk dan menikmati rahmat dalam ‘rumah’ bernama Islam. Akidah Islam tetap sama sejak manusia terawal, Nabi Adam hingga masa kiamat kelak. Jika diperhatikan cerita sejarah perjuangan para nabi dalam al Quran, jelaslah para nabi mengajar manusia mengesakan Allah dan meminta manusia hanya menyembah Allah, Tuhan yang satu, yang maha berkuasa dalam segala perkara. Tidak bisa sama sekali unsur syirik, kerana itu merupakan perlanggaran akidah.

Perubahan zaman dan budaya tidak mengubah prinsip akidah Islam. Yang berubah hanya cara atau kaedah memahami akidah Islam. Menghadapi masyarakat yang buta huruf tentulah berbeda dengan memberi penerangan mengenai akidah kepada intelektual atau golongan pemikir. Memberi penjelasan akidah Islam kepada sesuatu bangsa atau kaum juga sudah memerlukan kaedah yang berbeda-beda asalkan matlamatnya menjelaskan prinsip akidah Islam sebagaimana yang diketahui dan difahami berdasarkan al Quran dan sunah Nabi.

Barangkali seseorang pendakwah perlu berdialog, membuat perbandingan atau ke tahap melakukan perdebatan. Berapa banyak manusia memeluk Islam setelah melewati sesi perdebatan akidah oleh almarhum Syeikh Ahmed Deedat.

Memahami akidah berdasarkan metodologi ‘Sifat 20’ juga bukan hanya itu satu-satunya mengenali akidah Islam. Malah berdasarkan sejarah, Syeikh Abu Hasan Asya’ari (lahir di Basrah, wafat 330H) sebaik saja meninggalkan fahaman Muktazilah baru memperkenalkan tujuh sifat Allah saja. Kemudian ditambah 13 sifat Allah oleh Syeikh Imam al Maturidi (lahir di Samarqand, wafat 333H). Ini bermakna keperluan itu berdasarkan kehendak khalayak pada zaman itu.

Sekalipun kaedah Sifat 20 itu menjadi ikon kebanyakan muslim Nusantara mengenali Allah, namun jika dibuat kajian kita yakin peratusannya sangat kecil untuk yang menghafal Sifat 20 itu! Untuk membuktikan kenyataan ini, sesiapa saja bisa melakukan ujikaji terhadap 10 orang di sekeliling kita seperti ahli keluarga dan rakan-rakan. Siapakah antara dalam 10 orang itu yang menghafal Sifat 20. Jika mereka tidak menghafal semuanya, katakan saja hanya dapat menghafal 19 sifat, adakah orang ini digambarkan sebagai tidak sempurna akidahnya?

Sekalipun kebanyakan kita menyandarkan pembelajaran akidah dengan “Sifat 20’ namun sebenarnya kebanyakan kita ini menggunakan apa-apa kaedah yang paling mudah untuk memasuki pintu Islam ini. Sebab itulah kita masih seorang muslim walaupun tidak menghafal Sifat 20. Oleh itu sangat keterlaluan jika seseorang muslim dikira cacat akidahnya hanya kegagalannya menjawab atau menghafal sifat 20 ini.

Sifat 20 ini sebenarnya satu kaedah mengenali sifat-sifat Allah, sebagai Tuhan yang satu, yang maha agung! Asas seseorang dalam usaha megenali Allah sebagai Tuhan ialah ayat 11 surah as-Syuura bermaksud, “…..Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dialah yang maha mendengar lagi maha melihat.”

Hal lain yang penting ialah seseorang dapat mengenali Allah sebagai Tuhannya berdasarkan apa yang “Allah perkenalkan diri-Nya dalam al Quran dan hadis nabi-Nya.”

Selain itu mengamalkan pemahaman adalah terpenting dalam akidah para muslim. Tahu, hafal dan faham tidak berguna jika tidak dapat dibuktikan dalam kehidupan semasa. Tahu kuasa agung hanya ada pada Allah, tetapi masih menggantung tangkal di leher kerana percaya tangkal dapat memberi manfaat kepada pemakai. Ini perlanggaran. Perlanggaran akidah juga berlaku apabila seseorang mempercayai ramalan nasib dirinya pada masa hadapan! Jaga-jaga sebab buku Feng Shui banyak disebarkan dan dibaca oleh banyak pihak.
wallahu 'aklam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan