Halaman

Ahad, Disember 30, 2007

Pakistan meraung-raung!

PAKISTAN menangis dan meraung! Kehilangan nyawa yang menyayat bukan kerana banjir dan bumi gempa lagi, tetapi manusia dilihat oleh musuh-musuhnya seperti nyamuk berterbangan. Jika nyamuk akan ditepuk supaya mati, maka manusia di Pakistan (dan beberapa anegara lain) juga dilihat seperti nyamuk. Kerana itu, nyawa pemimpin sudah susut sangat nilainya.

Jangankan nama ketua-ketua organisasi kecil, malah nyawa Zulfikar Ali Bhutto, Mohamed Zia Ul-Haq dan Benazir juga jadi sesedap menepuk nyamuk. Daripada jutaan manusia, Allah lahirkan sedikit sangat yang layak menjadi pemimpin, namun pemimpin yang jumlahnya sedia kecil senang-senang pula dibunuh. Apa, mereka yang kerjanya asyik membunuh pemimpin mempunyai stok pemimpin yang lebih hebat?

Apa jihad orang-orang ini, kerjanya membelasah dan membunuh orang Islam? Marahkan tentera dan polis, lanyaklah tentera dan polis. Ajaran mana yang membenarkan marahkan tentera dan polis, lalu hancurkan masjid dan segala isinya. Orang berkumpul di pasar, di stadium dan di mana-mana yang bukan menjadi musuhnya dihancurkan sekali.

Ini tidak lain konspirasi dunia Barat terhadap umat Islam sedunia sejak zaman penjajahan lagi. Barat menjaja demokrasi dan pilihan raya di negara-negara Islam. Kita, dunia Islam menerima demokrasi Barat seperti Islam ketandusan system pemerintahan dan hak asasi. Akhirnya selain menyembah Allah swt, demokrasi pilihan raya juga disembah sama. Hei, berapa banyak umat Islam berjihad dan mati bertembung dengan parti-parti lain yang sama Islam atas nama demokrasi pilihan raya. Adakah ini ajaran Islam?

Al Quran dan hadis nabi konon dijadikan sumber pegangan, tetapi gesaan dua sumber itu supaya mentaati pemerintah dipandang sinis. Dicari dan ditafsir sebanyak-banyaknya untuk menghalalkan pertembungan dengan pemerintah yang Islam atas nama demokrasi pilihan raya.

Memanglah, dalam berkeluarga suami isteri pun, kalau hendak dicari sebab untuk bergaduh-bercerai pasti dapat disusun berapa puluh dalil. Tapi mengapa kebanyakan mahu mempertahankan hidup bersuami isteri? Jawabnya mencari seribu dalil mengelak bergaduh-bercerai!

Selepas pemerintahan Rasululah dan Khulafa ar Rasyidin (termasuk Khalifah Umar Abd Aziz al Umayyah), khalifah dan pemerintahan mana yang memuaskan hati semua penduduk? Memang semua pemerintah Islam selepas itu mempunyai masalah dan senang-senang didakwa zalim atau tidak adil. Namun tidakkah Rasulullah meninggalkan pesan supaya mentaati juga mereka? Ertinya carilah seribu dalil mentaati mereka seperti memcari seribu dalil menjaga hubungan suami-isteri. Kalau memang hendak mencari seribu dalil menentang pemerintah-pemerintah itu, nah, lihat saja Pakistan dan yang senasibnya. Orang Melayu cakap: Dengar guruh di langit, air di tempayan di curah jangan. Lagi, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Maka Pakistan terus menangis dan meraung. Tangisan dan raungan ini tidak akan berhenti di negara itu, tetapi akan merebak ke negara-negara yang sudah nekad menyembah demokrasi pilihan raya. Pembentukan parti atau asabiah wajib dan melawan parti lain jadi wajib. Maka, permusuhan jadi wajib. Kalau sudah bermusuh, nikmatnya ialah membunuh musuh itu. Jadilah anarki.

Harap negaraku Malaysia dan jiran-jirannya tidak ke sana!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan