Halaman

Isnin, Disember 03, 2007

manakah terjemahan al-Quran itu?


RUMAH muslim manakah yang tidak ada naskhah al-Quran? Bukan semua rumah muslim di Malaysia ada al Quran. Betul, maknanya ada rumah yang satu ayat al Quran pun tidak ada. Itu tidak mustahil. Tapi semua muslim percayakan al Quran, sekalipun tidak tahu membacanya atau tahu membacanya tetapi tidak tahu apa maksud bacaannya.

Kalau hendak mengetahui budaya muslim kita terhadap al Quran, kunjungi tiga tempat iaitu kedai buku agama, masjid dan rumah-rumah. Selain itu lihat apabila ada majlis perkahwinan dan penghujung bulan Ramadan. Di masjid dan kedai buku memang banyak al Quran, itu sahaja. Di rumah, sekurang-kurangnya ada satu naskhah al Quran, itu pun sudah bagus. Ya, kita banyak membaca al Quran sebagai satu ibadah khusus terhadap Allah. Al Quran juga dijadikan hadiah hantaran perkahwinan dan ada majlis khatam al quran sekali.

Kebanyakan kita sekalipun mengatakan al Quran sebagai panduan hidup, sebenarnya tidak memahami maksud bacaannya. Itulah budaya kita orang Melayu, sejak lama turun-temurun. Sebenarnya al Quran yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu telah lama diterbitkan, sama ada tulisan jawi atau rumi. Kini yang tulisan rumi menjadi keutamaan. Namun di mana al Quran dan terjemahan ini? Di kebanyakan masjid ada berpuluh-puluh al Quran dalam versi asal: bahasa Arab, namun mencari sebuah al Quran yang ada terjemahan bahasa Melayu seperti mencari sebatang jarum dalam hutan! Di kedai buku agama pun tidak banyak kuantiti al Quran terjemahan yang dijual. Di rumah lagilah…., kalau al Quran versi Arab pun tidak ada, mana hendak cari yang ada terjemahannya. Keadaan-keadaan ini sepatutnya menjadi petanda masyarakat Melayu sudah mahir dengan kandungan al Quran versi Bahasa Arab sehingga tidak memerlukan terjemahan dalam bahasa Melayu. Maksudnya, seolah-olah Bahasa Arab menjadi bahasa kedua selepas bahasa Melayu. Tidak, tidak sama sekali. Keadaan adalah sebaliknya. Masyarakat Melayu hampir kesemuanya buta faham bahasa Arab. Buta maksud Bahasa Arab bererti buta memahami maksud ayat-ayat al Quran.

Melihat susunan al Quran versi Arab tanpa sebuah pun yang ada terjemahan dalam Bahasa Melayu sedangkan masyarakat Melayu buta faham Bahasa Arab, memberi maksud masyarakat Melayu hanya melayan al Quran sebagai bacaan yang menyeronokkan. Masjid-masjid yang menghimpunkan al Quran tanpa mengimbangi yang ada terjemahannya juga menggambarkan tidak ada bedanya pemikiran pihak pentadbiran masjid dengan masyarakat biasa. Sepatutnya pantadbiran masjid mempunyai visi atau tasawur yang lebih maju dengan orang awam supaya masjid kelihatan lebih bervisi daripada rumah orang awam.

Menyoroti lebih jauh isu ini, pihak berkuasa agama adalah punca mengapa masyarakat Melayu Islam ini terus buta memahami makksud ayat-ayat al Quran. Di Malaysia yang hal-hal ‘agama’ termasuk membaca dan memahami isi al Quran di bawah jabatan agama, maka orang-orang di jabatan agamalah yang perlu memikul beban ini. Terlalu sukarkah mana-mana pihak berkuasa agama menjelaskan atau mengarahkan 50 peratus al Quran dalam masjid mesti yang ada terjemahannya. Al Quran dan terjemahan ini mesti diletakkan di ruang terbuka supaya jemaah khasnya hari Jumaat dapat menelaah sewaktu iktikaf. Setelah 50 tahun merdeka, entah masjid manalah yang telah membuat kerja minimum ini dalam usaha menyedarkan masyarakat Melayu terhadap maksud ayat-ayat al Quran.

Bukan tidak ada pandangan pemimpin dan gesaan supaya masyarakat Melayu memahami maksud al Quran. Semasa Majlis Tilawah al Quran atau sambutan Nuzulul Quran kerap didengar seruan itu. Tetapi gesaan ini terhenti semasa majlis minum kopi.

Namun syukur ada segelintir masyarakat Melayu yang sedar isu ini. Mereka memahami maksud al Quran Bahasa Arab dengan membaca terjemahan dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Tidak keterlaluan jika dikatakan mereka yang kecil ini terdiri daripada kelas menengah Melayu dan golongan profesional yang tidak terdidik secara formal dalam ‘pendidikan agama’. Masalah lain pula ditimbulkan apabila ada segolongan ustaz memperli (baca menyalahkan) pihak yang memahami al Quran melalui terjemahan sebagai memahami al Quran secara membaca, tidak melalui guru. Bagi golongan ustaz ini, belajar jika tidak menghadap guru, bererti berguru dengan syaitan.

Jadi beginilah sajalah keadaan masyarakat Melayu dalam memahami bacaan al Quran. Ustaz-ustaz terus secara eksklusif memonopoli pemahaman ayat-ayat al Quran. Namun bilangan ustaz dan ustaz yang sanggup berpeluh-peluh menyebarkan ilmu memahami al Quran sangat kecil jika dinisbahkan dengan orang awam Melayu. Orang yang sanggup menghadap guru atau ustaz pun semakin kecil kerana masalah masing-masing.

Sampailah masanya ada satu anjakan paradigma dalam kalangan para ustaz, pentadbir masjid, pegawai-pegawai agama dan individu yang berkesedaran agar masyarakat didedahkan dengan bentuk pemahaman maksud bacaan al Quran secara mudah dan praktikal. Contoh isu yang dibawa di sini ialah, banyakkan naskhah al Quran terjemahan Melayu di mana-mana, khasnya di masjid, surau dan rumah-rumah. Soalnya sekarang, hendak atau tidak. Carilah seribu sebab untuk melakukannya, bukan seribu alasan untuk menolaknya.

2 ulasan:

  1. Saya setuju dengan pandangan sedemikian. Kebanyakkan orang Islam di Malaysia, Al-Quran hanya dijadikan sebagai azimat di rumah-rumah.

    Saya secara peribadi memiliki satu terjemahan Al-Quran yang portable, membaca dengan memahami apa yang dibaca.Disamping itu saya juga menggalakkan isteri dan anak-anak saya memiliki dan membaca Al-Quran terjemahan bitafsir.

    Beruntunglah sesiapa yang menguasai bahasa Arab samada dari segi nahu, balaghah dan uslub bahasa Arab, mereka mampu memahami apa yang dibaca, tanpa terjemahan.Saya amat kesal dahulunya ketika di sekolah Arab tidak bersungguh-sungguh menguasai matapelajaran bahasa Arab.

    Patutkah disamping itu kita mewujudkan satu masyarakat yang menguasai bahasa Arab dan menjadikan bahasa Arab, bahasa yang ketiga atau kedua pentingnya selepas bahasa Melayu ? Saya melihat usaha ini sebenarnya telah dijalankan oleh kerajaan melalui kaedah pembelajaran bahasa Arab yang bermula di sekolah-sekolah rendah. Ini sesuatu usaha yang positif.

    Mudahan-mudahan masyarakat akan melahirkan generasi yang celik Al-Quran.

    Wassalamualaikum

    BalasPadam
  2. Sosh, saya tidak berani hendak kata kebanyakan orang kita menjadikan alquran sebagai azimat, tetapi kalau hendak kata mereka sangat 'menghormati' secara fizikal agak setuju. Kan banyak ayat alquran dijadikan hiasan di rumah, kitab itu juga diletakkan di tempat tinggi, dikucup, didakap, tak boleh langkah, kalau nak baca kena letak di tempat tinggi dari lantai, nak sentuh perlu berwudhu, dll. Namun kebanyakan mereka tidak memahami maksud hatta surah fatihah dan surah yg kerap dibaca semasa solat.

    BalasPadam