Halaman

Rabu, Disember 12, 2007

hendak merokok atau membaca buku?

PEKAN lepas, hari Isnin saya membawa anak saya ke klinik untuk pemeriksaan rutin giginya. Sambil berdiri dan duduk menunggu hal itu selesai, saya mengeluarkan novel Arus, karya Anwar Ridhwan, baca. Entah kali ke berapa saya membaca Arus sejak tahun 1988. Membaca buku di tengah khalayak sudah menjadi kebiasaan saya. Memang tidak ada orang lain mengikuti cara saya, tidak ada pun yang membaca majalah atau akhbar dalam kamar menunggu. Orangnya banyak, tidak kurang 50 orang.

Di pejabat pos juga saya terpaksa menunggu lebih 40 minit, namun tidak ada orang membaca buku sementara gilirannya tiba. Ada dua orang membaca akhbar harian. Yang lain, melayan lamunan dan menjadi pemerhati sekeliling.

Kemudian, saya berlegar ke tempat lain dinamakan Taman Kerang, yang juga menjadi tempat berkumpul orang yang sudah bersara. Di sana juga pusat jualan lambak cincin, lukisan, barangan kulit dan ubat kuat! Saya mendapati ada seorang lelaki duduk membaca buku berjudul ‘Solat Jemaah’. Saya perhatikan dari jauh. Dia tekun membaca, hanya sesekali memandang orang lalu lalang. Seorang di tepinya tidak perduli pun orang yang membaca itu.

Entah berapa tahun dahulu ada hasil kajian mengatakan rakyat Malaysia hanya membaca satu muka surat buku setahun! Itu puratalah. Mungkinkah semakin lama berganjak kepada dua muka surat atau semakin susut kepada setengah muka surat. Membaca satu muka surat setahun dilakukan sebelum ada TV astro, sekarang sudah ada pelbagai macam media termasuk SMS. Masih sesuaikah membaca buku?

Perpustakaan awam pun bukan padat dengan pengunjung, lapang saja. Kedai buku kelihatan sesak sebaik saja buka sekolah sebab pelajar-pelajar mencari buku-buku rujukan ringkas atau panduan peperiksaan. Orang dewasa membaca apa? Nak baca apa lagi? Zaman membaca sudah berlalu……

Orang kita tidak menjadikan membaca buku sama ada di rumah atau di khalayak seperti budaya menghisap rokok! Merokok, sehari RM5.00 dua hari RM10.00 sebulan RM150.00. Mereka boleh merokok di mana-mana sekalipun banyak orang tidak suka asap rokok. Remaja perasan menjadi orang hebat dengan merokok di depan khalayak, tapi terasa malu dan bodoh jika di tempat itu dia membaca buku. Remaja itu akan menjadi orang dewasa dengan tabiatnya, kemudian tua. Tempatnya akan diganti oleh generasi baru. Putaran ini menjadi nilai dan budaya bangsa.

Membaca buku di depan khalayak seperti yang saya dan seorang itu lakukan belum membudaya, atau tidak akan menjadi budaya. Beberapa ketika dahulu ada menteri menyarankan rakyat menunggang basikal ke tempat kerja, sedangkan dia sendiri terus naik kereta. Hanya orang kampung yang menyahut saranannya, ke kebun naik basikal. Saya kepingin ada mana-mana menteri menyaran agar membaca buku di mana-mana tempat sebagai budaya baru masyarakat yang ada wawasan. Kalau ada menteri, anak raja, artis-artis seksi, pensyarah, ustaz dan ulama membaca buku di khalayak, sedikit sebanyak paradigma awam akan berubah juga.

Bacalah, membaca buku sambil menunggu giliran naik bas, di bank, pejabat pos atau sementara menunggu anak balik sekolah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan