Pengikut

Isnin, Disember 31, 2007

Selamat tahun 2008

SELAMAT datang 2008! Sekadar itu saja yang dirasakan sekalipun saya juga membayangkan kehidupan yang akan ditempuh selama setahun mendatang. Seperti orang lain, saya juga menyimpan beberapa keinginan untuk diraih atau yang patut ditinggalkan pada tahun 2008.

Sejak kecil, menjadi remaja dan dewasa (patut juga disebut tua), saya tidak merasa countdown dengan detik 12 malam. Tidak pernah juga berhuha-huha di mana-mana tapak pesta menjelang jam 12. Menghadap di TV untuk merasakan ghairah 12 malam juga antara ada dan tidak. Bolehlah dibuat kesimpulan inilah lambang kekolotan saya.

Pun bukan bermakna saya menentang aktiviti menjelang 12 malam. Buatlah jika mampu merasakan itu satu kelainan dan dapat menimbulkan mood baru. Kemudian, pulang ke rumah masih terbayang cerita rakan-rakan dan harapan masing-masing. Dengan itu semangat untuk menempuh 2008 dengan lebih gagah muncul. Baguslah, teruskan!

Yang salah dan berdosa dalam aktiviti tetaplah tidak dipersetujui oleh sesiapa pun. Selain yang klise iaitu pergaulan dan aktiviti bebas yang membawa pada minum arak dan berhibur terlampau, jangan lupa mencemar alam sekitar dengan sampah sarap juga haram dan berdosa. Kemudian jika berlumba atau memandu kenderaan yang luar biasa gayanya semata-mata menyambut tahun baru, haram dan berdosa juga. Pokoknya Islam masih membenarkan aktiviti sosial tetapi jika melanggar prinsip-prinsip alquran dan sunah, Islam pun tegas melarangnya.

Kepada pembaca blog saya, selamat tahun 2008. Lepas ini awal muharam pula!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan